Rahmat Bahgia telah berlangsung daripada 9 - 30 Sept lalu meraikan kerencaman Malaysia.
Oleh DANIAL FUAD
Seni dan komuniti merupakan suatu yang sukar dipisahkan sejak dari dahulu lagi. Ini mungkin datang daripada sifat seniman yang sering ingin menabur bakti terhadap sesebuah komuniti yang rapat dengan mereka. Pangrok Sulap merupakan satu contoh kumpulan seniman yang sering bekerja dalam sesebuah komuniti untuk membangunkan mereka. Salah satu lagi contoh baik adalah ketika Klang dilanda banjir, Komuniti Seni Batu Belah telah bersatu hati membantu orang ramai dengan sedaya mampu.
Di sebalik itu, seni dalam lingkungan galeri sedikit terpinggir dengan masyarakat. Ada sedikit kegerunan hadir dalam diri apabila ingin menjejak kaki ke sesebuah galeri untuk menikmati pameran. Untuk menangani isu ini, AP Art Gallery mempersembahkan sebuah program yang berjudul Rahmat Bahgia sepanjang September lampau. Buah fikiran bagi program ini datang dari Anderson Ee yang berkongsi idea untuk mempamerkan objek-objek yang mengingatkan kita tentang apa yang membuatkan kita bergelar rakyat Malaysia kepada Nazura Rahime, pemilik AP Art Gallery.
Tercetus idea
“Saya mula berkenalan dengan Anderson ketika pameran I Want To Be A Bridge yang menceritakan bagaimana Rahime Harun menjadi jambatan kepada seniman. Perkara itu membuat saya berfikir bagaimana pula saya ingin menyambung legasi tersebut dan menjadi jambatan di antara seni dengan komuniti,” ujar Nazura yang juga merupakan anak kepada Allahyarham Rahime Harun, seorang yang sangat penting dalam pembangunan seni Malaysia.
Objek harian seperti Tiger Balm, Minyak Cap Kapak dan juga Burger Ramly telah dipamerkan di galeri yang terletak di Melawati ini. Semua objek yang dipamerkan merupakan koleksi Anderson sendiri. Nazura mengulas lagi, “kita kini hidup dalam keadaan yang sedikit berpecah dek pelbagai aspek seperti fahaman politik, jadi kami ingin mencari perkara yang dapat menyatukan semua orang. Perkara seperti ini memudahkan orang ramai untuk lebih mengaitkan diri mereka dengan pameran di mana walaupun ia adalah objek yang mudah, ia secara tidak langsung mampu merapatkan khalayak dengan galeri.”
Tambahnya lagi, “Daripada idea tersebut, saya dapat melihat bagaimana perkara ini boleh berkembang di luar lingkungan galeri sahaja kerana idea utama projek ini adalah untuk merapatkan khalayak dengan seni visual. Hakikat yang saya hadapi adalah tidak ramai yang selesa, tidak kira dari latar belakang mana pun untuk menjejak kaki ke dalam galeri; jadi cabaran utama adalah untuk menggerakkan mereka untuk masuk ke galeri.”
Kepentingan rentas disiplin
Tidak hanya mahu terpekung di dalam galeri sahaja, Nazura merasakan perlu untuk bekerjasama dengan kejiranannya supaya impak program ini lebih kuat. “Saya melihat apakah kekuatan yang ada dalam kejiranan ini dan saya dapati ia merupakan tempat makannya. Sungguh pun kita tidak seperti di Bangsar atau Taman Tun, kita juga mempunyai makanan-makanan yang bagus,” tambah Nazura. Untuk Rahmat Bahgia ini, AP Art Gallery telah bekerjsama dengan tujuh restoran di sekitar Melawati iaitu Tok Mart, B.A.D Cafe, Folk Kofii, BEKWoh, Nostalgia, Paktam Laksa Johor dan juga SSC.
Selain daripada pameran dan juga peluang menikmati makanan sekitar Melawati, Rahmat Bahgia juga menyediakan pelbagai aktiviti hiburan dan riadah. Untuk ini juga AP Art Gallery telah bekerjsama dengan pelbagai pihak seperti bengkel seni bersama Weststar The Art Shop dan juga Rootin by Sejolly serta aktiviti regangan badan bersama Elka Alza. Tidak lupa juga persembahan kompang oleh AK148 serta acara malam puisi dan muzik oleh penyair dan penulis terkemuka Malaysia, Ladin Nauwi, Sani Sudin (Kopratasa), Prof. Madya Hasnul Jamal Saidon dan ramai lagi.
“Saya membesar dengan Anak Alam di mana sifat bermasyarakat dan rentas disiplin itu sangatlah kuat; sedikit berbeza dengan apa yang berlaku di masa sekarang. Walaupun ketika itu saya masih kecil, namun perkara tersebut menarik minat saya kepada seni dan bukanlah hanya kerana kecantikan karya sahaja. Perkara tersebut yang membuatkan saya ingin melibatkan pelbagai komuniti untuk Rahmat Bahgia ini kerana jika kita berada dalam lingkungan kita sahaja, perkembangan idea akan terbantut,” ujar beliau lagi.
Untuk menarik lagi ramai khalayak dari komuniti sekitar, mereka juga telah menjalankan aktiviti funwalk sejauh 2km bermula dari Jalan Negara melalui lokasi menarik di sekitar Taman Melawati termasuk Tebing Sungai Klang di Sungai Melawati, serta Pasar barangan terpakai di tempat letak kereta anjuran Thrifty Weekend dan berakhir di lokasi sama. Nazura merancang acara tamat di galeri supaya lebih ramai orang selesa untuk masuk ke dalamnya akibat program tersebut.
Kenangan indah
Menurut Nazura lagi, “saya yakin jika orang ramai memberanikan diri untuk masuk ke dalam dunia seni visual ini, semestinya mereka akan hanyut jika dapat mengaitkan diri dengan pameran yang berlangsung. Jadi pameran Rahmat Bahgia ini dihasilkan dengan idea di mana ia merupakan suatu yang sangat mudah untuk difahami khalayak dan mereka dapat mengaitkan dengan diri mereka.”
“Terdapat seorang emak yang sangat seronok berkongsi cerita kepada anaknya tentang memorinya bersama objek-objek yang dipamerkan sehinggakan tinggal mereka sahaja di dalam galeri. Perkara ini membuat saya terharu kerana mereka bukanlah dari khalayak yang biasa ke galeri namun sangat seronok apabila masuk ke dalamnya.
Selain daripada itu, saya juga terserempak dengan sebuah keluarga di mana ibunya bermain teka benda bersama anaknya di dalam galeri. Interaksi seperti ini bukan kebiasaan yang kita nampak dalam pameran yang sebelum ini saya anjurkan dan ini membuat saya mendalami bahawa seni bukanlah untuk sesebuah golongan sahaja, namun untuk khalayak lebih besar,” tambah beliau lagi tentang pengalaman yang memberi impak kepadanya semasa melakukan acara funwalk tersebut.
Jalan Negara Kita
Rahmat Bahgia bakal melabuhkan tirainya pada esok hari, 1 Oktober jadi orang ramai masih berkesempatan untuk melawat AP Art Gallery bagi menikmati pameran pada hari terakhir. Namun begitu, ini hanyalah titik permulaan bagi mereka untuk mendekati komuniti dengan seni kerana mereka juga melancarkan Jalan Negara Kita, sebuah lorong berhampiran galeri sebagai pusat seni komuniti. “Kami ingin jadikan kawasan ini sebagai ruang kreatif masyarakat supaya ia menjadi tempat untuk orang ramai merapatkan diri dengan seni kerana untuk terus menjejakkan kaki ke galeri mungkin satu tindakan yang drastik,” ujar Nazura.
Tambah beliau lagi “Kami merancang untuk melakukan aktiviti kreatif paling kurang sebulan sekali. Perkara ini diharap menjadikan seni mudah diakses bukan sahaja masyarakat setempat, malahan untuk sesiapa sahaja. Mereka boleh menggunakan ruangan ini untuk bermacam aktiviti sungguhpun kawasan kecil, diharap impak yang diberi besar.” Orang ramai yang berminat untuk mengetahui kemaskini aktiviti anjuran AP Art Gallery boleh ikuti laman Instagram mereka.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: