Pangrok Sulap, kolektif yang merayakan pengalaman akar umbi

Pangrok Sulap merupakan sebuah kolektif yang dianggotai pelukis, pemuzik dan aktivis sosial yang mempunyai misi untuk memperkasakan komuniti luar bandar dan terpinggir.

Oleh DANIAL FUAD

Pada bulan Mac 2023, kolektif seni Pangrok Sulap dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan LightUp Borneo telah berjaya memasang sebuah penjana hidroelektrik mini di Kampung Penulangon di Ranau, pedalaman Sabah. Melalui projek ini, sebanyak 27 buah rumah yang sebelum ini tiada bekalan elektrik telah menerima manfaat. Untuk merealisasikan projek ini, Pangrok Sulap dengan kerjasama penduduk kampung di sana telah menghasilkan sebuah karya cetakan kayu gergasi berukuran 137 x 275 cm yang berjudul Cahaya Kehidupan. Sebanyak 10 edisi karya telah dihasilkan dan telah dipamerkan di ILHAM Art Show pada tahun lepas di mana karya tersebut telah dijual dengan harga RM7,500 satu edisi bagi tujuan pengumpulan dana projek. Sembilan karya telah terjual dan penjana hidroelektrik mini tersebut kini sudah dipasang, namun masih terdapat kerja penyelenggaraan yang harus dibuat sebelum projek tersebut siap.

BASKL telah berpeluang untuk menemu ramah Pangrok Sulap untuk bercerita perihal projek hidroelektrik mini tersebut dan berikut adalah hasil perbualan yang kami dapati.

Boleh ceritakan tentang bagaimana projek penjana hidroelektrik mini di Kampung Penulangon ini bermula?

Kerjasama kami bersama LightUp Borneo bermula semenjak tahun 2016 lagi, di mana kami telah menjadi sukarelawan di beberapa kampung di bahagian Ranau dan Pensiangan. Semasa terdapat projek berhampiran, orang kampung Penulangon telah menjemput LightUp Borneo ke sana untuk melihat kawasan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang empat jam menaiki motosikal melalui jalan kerikil.

Kami telah memberitahu pengurus projek LightUp Borneo, Encik Ong bahawa kami ingin mengetuai projek ini dengan beliau sebagai penasihat. Beliau yang sudah sedia maklum dengan gerak kerja kami telah bersetuju dan dari situlah bermulanya projek ini.

Kami telah meluangkan tiga hari pada permulaan projek bersama komuniti Kampung Penulangon di mana kami menganjurkan bengkel asas cetakan kayu di samping menerangkan tentang projek janaan hidroelektrik mini yang bakal berlangsung. Selain itu, kami juga telah memberitahu mereka bahawa kami akan kembali untuk menghasilkan sebuah karya besar yang bertujuan untuk mengumpul dana.

Kali kedua kami kembali, dua minggu telah diluangkan di sana dan memang menjadi kebiasaan Pangrok Sulap apabila masuk ke sesebuah komuniti, kami akan cuba sehabis baik untuk melalui pengalaman komuniti tersebut. Kami akan ikut bahasa mereka, makan apa yang mereka makan dan mendengar cerita mereka. Walaupun pada ketika itu musim mengetam padi dan mereka sedang sibuk, orang kampung di sana tetap memberikan komitmen yang tinggi dalam penyiapan karya Cahaya Kehidupan ini.

Bagaimanakah karya Cahaya Kehidupan diilhamkan untuk projek penjana hidroelektrik mini ini?

Isi penceritaan yang kami dapati melalui perkongsian orang kampung seperti sejarah kampung tersebut dan kegiatan utama kampung tersebut, kami masukkan semuanya ke dalam karya. Jadi, karya itu bukanlah kami yang tentukan visualnya 100 peratus tetapi ia merupakan kolaborasi dengan penduduk kampung juga kerana kami mahukan suara mereka di dalam karya itu.

Sebelum menghasilkan visual ke atas papan untuk dicungkil, kami akan menghasilkan lakaran dahulu untuk menentukan elemen-elemen penting di dalam karya. Sebagai contoh, bagi Kampung Penulangon, kami paparkan cara padi bermula dan juga bagaimana proses pemasangan penjana hidroelektrik mini itu berlaku. Selain itu, terdapat satu keunikan yang terdapat di kampung itu; mereka mempunyai pondok Internet, jadi kami memuatkan perkara tersebut di dalam karya.

Apabila orang kampung datang untuk membantu, mereka akan dapat mengenali rumah mereka dan kadangkala, apa yang dilukis tidak sama sepenuhnya, jadi kami mengubah lakaran mengikut panduan tuan rumah sendiri. Proses menghasilkan karya Pangrok Sulap memang begitu, di mana kami akan berkomunikasi secara langsung bersama komuniti untuk mengetahui apa yang mereka inginkan dalam karya.

Semasa di Kampung Penulangon, kami bekerja di balai raya, jadi kami telah menyediakan dapur di bahagian depan balai raya tersebut. Kami berada di sana semasa cuti sekolah jadi terdapat ramai budak-budak kampung yang meluangkan masa di situ. Merekalah yang menghiburkan kami dengan bernyanyi, berkongsi cerita dan sebagainya. Terdapat juga cerita-cerita mereka yang kami masukkan ke dalam karya, contohnya bagaimana mereka berjalan kaki berjam-jam lamanya untuk ke sekolah.

Album mini Orang Kampung merupakan inisiatif lain Pangrok Sulap untuk mengumpul dana, boleh kongsikan bagaimana album ini boleh terhasil?

Apabila kami menghasilkan sesebuah karya, proses cetakan akan berlangsung secara gotong-royong di mana kami bersama orang kampung akan memijak-mijak blok kayu ke atas kanvas. Untuk memeriahkan suasana, proses ini sering diiringi muzik yang telah dikarang oleh Rizo Leong. Goethe Institute telah memberikan peluang kepada kami untuk merakam lagu-lagu tersebut. Album tersebut telah dilancarkan tahu lepas sempena ulang tahun ke-60 organisasi tersebut di KongsiKL.

Sebuah lagu telah kami persembahkan sempena pelancaran itu di hadapan kakitangan dan teman-teman dari Goethe Institute jadi kami amatlah berterima kasih kepada mereka. Sampai sekarang kami akan bawa lagu-lagu ini ke mana sahaja, malahan semasa kami di Korea pun kami mempersembahkan lagu-lagu ini, kini ia sangat sinonim dengan Pangrok Sulap.

Kumpulan muzik No Good juga telah bekerjasama dengan Pangrok Sulap untuk mengumpul dana projek ini, boleh kongsikan bagaimana kolaborasi ini tercetus?

No Good telah hadir ke Sabah untuk jelajah konsert mereka pada tahun lepas dan kami ingin bekerjasama dengan mereka untuk menghasilkan barang dagangan. Mereka telah memberitahu kami bahawa mereka teruja dengan projek ini dan ingin menyumbangkan semua hasil jualan barang dagangan tersebut untuk projek ini. Mereka mengakui bahawa mereka bukanlah golongan yang mampu untuk masuk ke hutan menyertai projek pemasangan, jadi mereka memilih untuk menyumbang dana melalui kerjasama tersebut sebagai sokongan.

Apakah projek lain yang sedang diusahakan oleh Pangrok Sulap?

Kini kami sedang merancang untuk mewujudkan satu pusat residensi di studio kami yang terletak di Sabah, di mana ia juga merupakan pusat bagi seniman-seniman tempatan untuk belajar pelbagai perkara serta memberi peluang kepada mereka untuk ke luar negara. Salah satu sebab kenapa kami sering berjalan-jalan ke luar negara— sebenarnya kini kami di Seoul dan bulan depan, mungkin akan ke Tokyo— adalah untuk membina jaringan antarabangsa.

Melalui jaringan tersebut, kami ingin menghantar seniman yang terlibat dengan residensi kami ke luar negara juga untuk belajar bersama seniman di sana dan membawa pengalaman itu kembali ke Sabah. Tujuan utama kami berbuat begitu adalah untuk memperkayakan lagi seni di negeri ini melalui pertukaran idea dan maklumat. Setakat pengetahuan kami, masih belum ada lagi tempat sebegini di Sabah, jadi jika kami berjaya mengadakannya, ia mungkin menjadi sebuah anjakan paradigma kepada latar seni di sini.

Kami telah merantau ke banyak tempat, jadi sayang jika tidak memobilisasikan pengalaman dan jaringan yang telah dibina kepada teman-teman seniman kami di Sabah kerana kami mahu mereka rasa apa yang kami rasa.

Melalui pengalaman bekerja dengan pelbagai komuniti, kami percaya bahawa akan ada banyak peluang pembelajaran yang boleh didapati. Seperti contoh, terdapat banyak benda yang kami rasai dan belajar melalui pengalaman bekerjasama dengan LightUp Borneo yang tidak boleh didapati di mana-mana kecuali melalui orang-orang kampung; mereka juga mengamalkan sikap kolektif dan kemandirian yang kami praktikkan sepanjang komuniti Pangrok Sulap terbina.

Selain itu, ahli-ahli Pangrok Sulap juga memang suka mengembara, jadi melalui cara ini kami dapat pergi ke tempat-tempat yang sukar diakses dengan cara biasa. Kami sangat berterima kasih kepada LightUp Borneo kerana telah banyak membantu Pangrok Sulap bertemu dengan pelbagai jenis komuniti. Kampung Penulangon juga merupakan komuniti yang pertama telah kami putuskan untuk menjadi kampung angkat, di mana kami akan sentiasa berusaha untuk memajukannya.

Secara tidak sengaja, kami merupakan seniman yang suka bekerja dengan komuniti; ini memungkinkan kami untuk berjumpa dengan pelbagai jenis komuniti. Akan tetapi, perkara ini akan kami lakukan juga walaupun kami bukan seniman kerana perasaan itu memang wujud dalam diri kami.

Bukan sekadar komuniti luar bandar sahaja, kami juga cuba mengumpulkan komuniti di bandar juga, seperti sekarang ini di Kota Kinbalu, terdapat satu konsep dipanggil Ruang Tamu di mana kami mengumpulkan pelbagai kolektif dan komuniti sekitar di bawah satu bumbung. Pangrok Sulap percaya akan konsep kolaborasi, gotong-royong dan kolektif kerana terdapat pelbagai benda yang boleh dipelajari melalui konsep sebegitu dan ia juga memanusiakan kami.

Mengapakah Pangrok Sulap kuat bekerja bersama pelbagai komuniti?

Dengan turun padang bersama komuniti, kami akan dapat pengalaman secara terus yang mungkin tidak dapat melalui pembacaan. Seperti contoh, ramai teman-teman kami yang banyak membaca stereotaip negatif terhadap komuniti tanpa kerakyatan di Semporna, tetapi apabila kami pergi ke sana secara fizikal, ia dapat meruntuhkan segala pandangan negatif yang ada sendiri. Mereka tidak seperti apa yang kita baca dan tonton di media apabila kita sendiri menyelami dengan lebih dalam kehidupan mereka sendiri di depan mata.

Seperti baru-baru ini untuk projek pemasangan penjana hidroelektrik mini ini, kami menjemput seberapa banyak teman-teman untuk mengalami sendiri apa yang kami alami. Benda ini merupakan jantung Pangrok Sulap di mana kami sentiasa ingin berkongsi apa yang kami alami kepada teman-teman yang ada. Kami percaya, pengalaman inilah yang akan membuatkan mereka lebih manusia dan semangat setia kawan yang dipupuk inilah yang membuatkan kolektif kami kuat. Pembelajaran datang dari pengalaman, jadi sebab itu kami lebih suka turun padang untuk bertemu komuniti akar umbi kerana kebiasaannya apa yang ditulis hanya dapat menterjemahkan 30 atau 50 peratus sahaja pengalaman sendiri.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan karya Cahaya Kehidupan yang terakhir, anda boleh menghubungi galeri A+ Works of Art yang menguruskan perihal jualan karya tersebut bagi pihak Pangrok Sulap. Anda boleh menghubungi mereka melalui Instagram ataupun hantarkan emel ke info@aplusart.asia. Untuk yang ingin mendapatkan album mini Orang Kampung, sila layari laman sesawang Pangrok Sulap.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites