Borneo Native Festival: Mengangkat martabat Malaysia Timur!

Sebuah festival yang bertemakan Borneo akan diadakan di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Terdapat pelbagai jualan barangan borneo dan acara akan mempromosi budaya dan warisan Sabah dan Sarawak.

Oleh AZUWAN AHMAD

Sukaseni sebuah organisasi yang menyediakan platform untuk seniman dan pengkarya bagi tujuan pengembangankan seni dan budaya, akan mengadakan sebuah acara, Borneo Native Festival atau BNF selama 3 hari bermula dari 20 hingga 22 Mei 2022 bertempat di Pasar Seni, Kuala Lumpur. BNF merupakan sebuah acara yang menghimpunkan pameran dari pelbagai sektor budaya daripada 2 buah negeri di Malaysia timur iaitu, Sabah dan Sarawak.

Untuk makluman, Sukaseni sudah hampir 6 tahun berada dalam industri tempatan dan aktif dalam membantu serta mencari peluang untuk artis tempatan meneroka industri ekonomi kreatif. Menurut mereka BNF bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang budaya di Sabah dan Sarawak terutamanya buat pengunjung acara ini. Selain itu, ia juga dapat merapatkan jurang antara semenanjung dan tanah Borneo dalam apa-apa jua informasi, kelastarian kebudayaan dan juga impak komuniti berkelompok.

Menurut mereka lagi, ada kebimbangan terhadap isu terjejasnya identiti dan pengenalan masyarakat Malaysia di Borneo apabila pentadbiran utama Kerajaan Indonesia dipindahkan ke daerah Kalimantan kelak. Ia dipercayai akan menyebabkan persaingan dalam sektor pelancongan antara 2 buah negara di wilayah itu.  Oleh itu, penting untuk mempromosi budaya dan seni masyarakat di sana agar tidak tenggelam.

Antara pameran dan acara yang bakal berlangsung selama tiga hari ini adalah bengkel pembuatan seni dan kraf, bazar makanan, pertandingan tarian Borneo, persembahan kebudayaan, peragaan kostum Borneo dan sesi bersama Fransisca Luhong, Miss Universe Malaysia 2020 dalam BNF Talk. Selain itu selebriti seperti Nikki Palikat dan Marsha Milan juga akan turut hadir bagi memeriahkan BNF tahun ini.

Foto: Fransisca Luhong, Miss Universe Malaysia 2020

BNF yang bakal disertai oleh usahawan pelbagai produk tempatan dari Sabah dan Sarawak ini mempunyai visi untuk menggalakkan lebih banyak kolaborasi bersama serta pelaburan dalam sektor masing-masing  dan memupuk budaya saing dalam kalangan usahawan supaya mereka dapat melangkah maju menjadi lebih inovatif dan kreatif.

Anda semua dijemput untuk memeriahkan acara ini dan digalakkan untuk memakai baju adat masyarakat dari Sabah dan Sarawak pada 21 Mei sebagai tanda sokongan terhadap usaha yang dijalankan oleh Sukaseni ini. Bagi anda yang ingin menyertai festival ini sebagai ‘vendor’, anda boleh klik di pautan ini. Maklumat lanjut mengenai acara ini boleh didapati di laman web Sukaseni.

Jumpa di sana!

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites