Sekumpulan Orang Gila dan ikhlas

Pemegang gelaran Anugerah Juara Lagu Ke-36, Sekumpulan Orang Gila atau SOG kembali lebih kuat dan lebih mantap sebagai sebuah kumpulan anak seni yang luar biasa pada Konsert SOG Reimaginasi 2023

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Sekitar lebih setahun yang lepas, sebuah kumpulan muzik ‘indie’ yang menggelar diri mereka SOG atau Sekumpulan Orang Gila, telah menggegar dunia muzik tanah air kerana meraih Anugerah Juara Lagu dengan lagu Pelukan Angkasa. Karya itu adalah hasil air tangan SOG sendiri bersama seorang lagi anak seni yang cukup puitis dalam tutur bicara dan madah, iaitu Fazleena Hishamuddin. Baru-baru ini, SOG telah kembali untuk menghiburkan peminat-peminat mereka dengan sebuah konsert iaitu SOG Reimaginasi yang telah diadakan di Jio Space, Petaling Jaya.

Namun begitu, BASKL berpeluang untuk berbicara seketika bersama Raja Nazrin Shah, antara orang kuat yang paling lama di dalam kumpulan SOG untuk mendengar sendiri kisah-kisah di sebalik tabir kejayaan dan perjalanan hidup mereka ini yang penuh onak duri serta cabaran.

Bukan mudah ya, sebuah kumpulan muzik indie untuk berada di tahap mereka pada hari ini dan kesukaran serta kepayahan ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya adalah kekangan kewangan, tentangan kerana genre muzik SOG itu sendiri dan apabila telah berjaya pula, cabarannya adalah menjadi selesa, hingga lalai dengan kejayaan serta kemahsyuran yang diperolehi. Namun Nazrin berkongsi, kesabaran adalah kunci paling utama. “Mungkin kita rasa kita dah hebat dalam bersabar sebelum-sebelum ini tetapi ujian dan dugaan kali ini lebih mencabar.”

Seperti biasa, manusia secara amnya akan melihat kejayaan dan kesenangan orang lain sahaja. Seperti sebuah pepatah Inggeris yang berbunyi “the grass is always greener on the other side” bermaksud, kehidupan atau perolehan orang lain akan sentiasa kelihatan lebih indah daripada apa yang kita ada dan di dalam konteks SOG pula kita akan hanya lihat kemenangan besar mereka itu sahaja. Tidak ramai yang tahu akan cabaran-cabaran yang mereka lalui bersama secara individu mahupun berkumpulan. 

Antara cabaran terbesar yang dilalui oleh Nazrin sendiri pada tahun ini adalah apabila beliau yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun lepas telah kehilangan cahaya mata yang pertama. Oleh sebab beberapa komplikasi kesihatan, anak mereka hanya sempat berada di dalam kandungan isterinya selama 5 bulan setengah. Sebuah nukilan jujur yang cukup menyayat hati daripada pasangan Nazrin dan Resya tentang anak sulung mereka Raja Emir Khalid ini ada dikongsi di laman instragram mereka.

Berkarya bukan mudah dan pernah sebelum ini dikatakan, berkarya itu ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi ruang di sekeliling. Namun bagi kumpulan muzik unggul seperti SOG ini, mereka bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. “SOG harus berkarya, dan bukan lagi SOG hendak berkarya,” kongsi Nazrin yang sentiasa jujur, ikhlas dan penuh sifat rendah diri. Nazrin juga berkongsi bahawa mungkin pada hari ini mereka kini banyak duit di dalam poket tetapi kosong di dalam jiwa kerana telah agak lama berdiam diri selepas meraih kejayaan besar mereka pada tahun lepas. 

Apabila ditanya berkenaan kekuatan SOG, Nazrin berkongsi “kami tidak kata SOG ini kuat tetapi lebih kepada keunikan dan kelainan SOG sendiri membuatkan kami sedikit kehadapan. Kalau kumpulan lain atau anak seni lain meletakkan usaha 100% tetapi kami sebagai sebuah kumpulan meletakkan usaha 1,000% terhadap karya kami.” Walaupun nombor yang dituturkan Nazrin itu secara seloroh dan hanya sekadar gurauan serta penuh metafora tetapi kesungguhan dan dedikasi SOG itu memang terserlah dari dulu sehingga kini dan sememangnya usaha mereka bersama ini telah membuahkan hasil yang cukup lumayan buat mereka sekumpulan.

Walaupun Nazrin terus menidakkan dan tidak akan mengiyakan kenyataan bahawa SOG merupakan sebuah kumpulan muzik yang unggul namun pada hati para peminat, Sekumpulan Orang Gila tetap sebuah kumpulan muzik yang amat cukup sifatnya. Konsert SOG Reimaginasi baru-baru ini menyajikan lagu-lagu mereka yang bersifat metal moden dan disaluti dengan iringan orkestra sebesar 30 orang. Ia kelainan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana kumpulan seangkatan dengan mereka sebelum ini. 

Semoga SOG terus menempah kejayaan demi kejayaan dan kekal lain daripada yang lain.

Semua gambar di atas adalah sewaktu Konsert SOG Reimaginasi 2023 di Jio Space, Petaling Jaya daripada laman instagram SOG

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di laman BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites