Adiguru CENDANA: Mohd Zukri Mohd Yusoff

Oleh NABILA AZLAN

Sejak usianya 12 tahun lagi, Adiguru CENDANA yang diberi nama Mohd Zukri Mohd Yusoff ini sudah pun terlibat dengan gerak Tari Inai. Zukri merupakan generasi kelapan mengikut susur galur keluarganya yang sudah lama memperjuangkan tarian ini di kampung halaman, iaitu di Pasir Mas, Kelantan. Giat dalam mempertahankan kelangsungan seni ini, dia pernah bekerjasama dengan nama-nama terkenal dalam industri seni dan budaya seperti ASWARA dan JKKN Kelantan sebagai tenaga pengajar, misalnya menerusi bengkel asas tari baik secara fizikal mahupun atas talian.

Untuk pengetahuan para pembaca, Tari Inai atau Terinai merupakan satu bentuk tari tradisional kaum Melayu yang dikenali di negeri-negeri seperti Perlis, bahagian utara Kedah dan Kelantan. Ia dahulunya ditunjukkan sebagai persembahan lazim sewaktu majlis berkhatan yang diadakan di istana, khas buat kaum kerabat diraja. Namun, Tari Inai yang merupakan sejenis tarian rakyat sering juga hadir sebagai penghias majlis-majlis rakyat lain seperti majlis perkahwinan dan majlis menyambut menantu khususnya pada sekitar tahun 80-an. Ia mengambil namanya kerana malam sebelum persandingan, kata Zukri, “Para lelaki akan memakai inai.”

Komponen yang dilihat sebagai paling penting tetapi juga yang paling sukar dalam mempersembahkan Tari Inai menurut Adiguru ini adalah gerak geri akrobatik atau ‘meliut’ yang banyak membentuk tarian ini. Perkataan meliut mengikut Kamus Dewan memberi maksud lembut, tetapi tidak dapat dipatahkan. Kepakaran para penari dalam melentur-lentur tubuh badan inilah yang menjadi teras Tari Inai. “Tarian ini biasanya dipersembahkan oleh lelaki,” kata Zukri. Dalam Tari Inai, gerakan lembut yang seakan-akan ‘melawan’ cerminan kejantanan menjadi bukti seni bahawa lelaki juga mampu mementaskan gerakan yang sebegitu rupa. Tidak semudah itu untuk meliut, katanya lagi. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya – lebih awal para penari didedahkan kepada teknik dan gerak-geri meliut, lebih cantik gerak tarinya. “Orang dulu-dulu ajar meliut dahulu, baru menari, tapi cara saya pula terbalik. Kira-kira sebulan latihan asas menari mungkin sudah mencukupi; nak mengajar menari tak lama, nak pandai meliut yang lama.”

Tarian ini memerlukan koordinasi badan yang halus lagi teliti. Meliut dalam Tari Inai memerlukan para penari untuk ‘melentur’ belakang badan, ‘berjalan’ menggunakan jari-jemari tangan sambil mengumpulkan duit kertas di atas permukaan lantai tari. Keadaan otot yang tidak dilatih akan mudah berasa sakit, sebab itulah teknik dan tempoh meliut yang betul menjadi tunjang tarian ini. Antara latihan kebolehan meliut adalah pusingan para penari di tiang-tiang tempat mengajar sebagai sokongan gerak tari ini.

Walaupun tarian ini dapat ditemui jejaknya di tanah Patani di selatan Thailand, akui Zukri, “Bentuk Tari Inai mereka tidak betul-betul serupa dengan kita. Bahagian meliut itu mereka tak amalkan.” Tari Inai di sana ada elemen lakon, seiras Tarian Asyik yang juga dipersembahkan di istana-istana di Kelantan.

Mengikut langkah tarinya, Tarian Inai sekilas pandangan mungkin kelihatan seperti silat. Dendangan lagu iringannya seperti seakan-akan Mak Yong dan Wayang Kulit yang mengguna pakai alatan muzik seperti gendang, gong, kesi dan serunai; namun corak paluannya sedikit berbeza. “Di sini (Pasir Mas), kita ada pasukan tari yang cukup. Ada penari, ada juga pemain alat muzik.”

Zukri mendapat pengetahuan awal Tari Inai melalui ajaran bapa saudaranya yang juga seorang ahli tari yang terkenal di kawasan kediamannya iaitu tokoh Tarian Inai Kelantan, Che Hasan Tari Inai yang mempelajari tarian yang sama melalui bapanya (datuk kepada Zukri). “Dulu saya seorang sahaja (yang berminat) dalam tarian ini pada tahun 70-an berbanding adik-beradik saya yang lain. Mereka tak minat; tak tentu juga darah daging (yang membesar dengan seni menunjukkan minat), sebab itulah saya buka pengetahuan saya kepada orang luar. Biar satu dunia tahu tentang kewujudan Tarian Inai,” katanya. Antara anak didiknya yang turut bersemangat dalam penyebaran ilmu seni pentas ini adalah Dekan Fakulti Tari ASWARA selaku Adiguru CENDANA terdahulu, Zamzuriah Zahari. Zukri yakin, dia tidak seharusnya mengehadkan ilmu Tari Inai kepada pelajar lelaki sahaja.

“Kalau saya tak kembangkan (pengetahuan seni persembahan ini), habislah ia dengan peredaran zaman,” kata Zukri. Dia berpendapat bahawa generasi pelapis tarian ini harus bersungguh-sungguh dalam mengekalkan seni yang makin lama makin sukar untuk dikenali ini. Sebagai anak seni yang terkesan dengan kekurangan peluang persembahan turutan penularan COVID-19, dia bersyukur dengan pengiktirafan dan sokongan menerusi program Adiguru CENDANA ini. Harapannya adalah untuk membina kawasan latihan yang lebih tertutup, sesuai buat pelajar perempuan yang berguru dengannya di kampung halaman. Bangsal terbuka tempatnya mengendalikan bengkel latihan terbuka buat semua dan di lembaran baharu ini, dia berhasrat untuk membeli pakaian persembahan dan alat muzik baru buat pelajar Tari Inainya.

Impian Zukri adalah semoga Tari Inai berkekalan dan dirinya bukan generasi terakhir yang mewarisi lenggok tari ini. Anak-anaknya Hafiz, Helmi dan Zulaika diberikan ilmu dan pendedahan awal seni ini dengan harapan ia akan dikenali segenap lapisan masyakarat. “Pengekalan seni ini mestilah selari dengan hubungan (para penggiat) dengan kerajaan negara dan luar negara. Dengan izin-Nya, jemputan persembahan Tari Inai tidak akan putus!”

Mohd Zukri Mohd Yusoff merupakan penerima dana Adiguru CENDANA fasa ke-2 dalam Tari Inai. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites