Adiguru CENDANA: Abd Muhaimin Bin Hasbollah

Muhaimin, seorang pengukir kayu tradisional, bercakap tentang kerjayanya dan falsafah budaya yang mendalam dalam seni ukiran kayu.

Oleh CHIN JIAN WEI | Terjemahan NABILA AZLAN

Abd Muhaimin Bin Hasbollah merupakan seorang pengukir kayu tradisional Melayu. Jelas ternampak hasil kraf tangannya dari seorang pengukir yang mahir, corak bunga dan tumbuh-tumbuhan yang diukirnya kelihatan rumit dengan aliran dengan lancar. Berasal dari Pontian, Johor, beliau memulakan seni ukir kayu pada tahun 1985 setelah menyertai program latihan di cawangan Kraftangan Malaysia di Temerloh, Pahang. Beliau kemudiannya melanjutkan latihan dengan Abd Latiff Bin Long, seorang pengukir kayu diraja Kelantan. Berbekalkan ilmu, kemahiran dan modal yang kecil, beliau menubuhkan Inakraf pada 1991 dan sejak itu mula menjual rekaan bunga tradisionalnya yang kini menjadi tanda dagangannya sebagai pengukir kayu.

Sejak itu, kejayaan demi kejayaan mula datang kepadanya. Pada tahun 2021, beliau telah mengadakan pameran solo yang bertajuk Bahkolektion , mempamerkan hasil kerja kayu yang telah dipulihkan daripada banjir besar yang berlaku pada tahun 2014 di Pahang. Sebelum itu, Muhaimin telah memenangi Anugerah Ketukangan Terbaik pada 2012 di Pertunjukan dan Pertandingan Ukiran Kayu Langsung Antarabangsa di China, langsung menyoroti industri pertukangan kayu Malaysia, di samping menjadikan dirinya seorang pengukir kayu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Saya sukakan motif dan reka bentuk yang kontemporari namun mengandungi unsur atau nilai tradisional,” kata Muhaimin. “Dalam ukiran kayu Melayu, setiap rekaan mengandungi nilai falsafahnya yang tersendiri.” Baca Muhaimin, “Tumbuh berpunca, Punca penuh rahsia, Tajam tidak menikam kawan, Tetapi melingkar penuh mesra”. Walaupun kesemuanya merupakan elemen yang boleh dilihat dalam ukiran kayu, ia juga boleh digunakan untuk pengalaman manusia. Tumbuh berpunca (akar) merujuk kepada kita sebagai manusia yang berwarisan. Tajam merujuk kepada hujung daun tajam yang perlu dilipat supaya tidak bercucuk-cucuk antara satu sama lain. Menurut Muhaimin, ini adalah analogi yang menjelaskan bagaimana orang Melayu harus “melipat” kata-kata tusukan dengan sopan, lagi-lagi apabila memarahi atau mengkritik seorang rakan.

Tidak hairanlah jika budaya Melayu dan ukiran kayu saling berkaitan kerana bentuk seni ini telahpun wujud dalam budaya itu seawal abad ke-14. Ia adalah kraf yang sangat terkenal di Semenanjung Malaysia, terutamanya di negeri-negeri pantai timur seperti Pahang, Kelantan, dan Terengganu. Sehingga hari ini, ia boleh dilihat di rumah, istana, dan masjid tradisional Melayu, satu warisan seni bina yang tidak dapat disangkal lagi.

“Kami lakarkan dahulu reka bentuk yang sering diilhamkan dari bunga-bungaan atau unsur semula jadi yang dapat kami lihat di sekeliling kami,” jelas Muhaimin. “Orang-orang dahulu sering menggunakan daun sirih kerana daunnya mempunyai khasiat kuratif (ubatan). Ia juga mempunyai akar yang kuat. Kekuatan itulah yang dimasukkan ke dalam motif ukiran. Orang-orang dahulu akan mengkaji setiap unsur tumbuhan yang mereka masukkan ke dalam reka bentuk ukiran kayu”. Kayu yang digunakan dalam ukiran biasanya mudah didapati di kawasan pengukir. Muhaimin mengatakan bahawa kayu yang digunakan tidak boleh terlalu keras komposisinya. “Meranti, Merbau, Cengal adalah beberapa jenis kayu tropika yang sesuai digunakan dalam ukiran,” kata Muhaimin.

“Banyak yang saya pelajari daripada mentor saya,” kata Muhaimin, merujuk kepada Abd Latiff Bin Long yang melatihnya di Kelantan. “Di sana, saya meluaskan ilmu dan kemahiran dalam seni ukir dan mewarisi sikap memajukan diri yang saya pegang sehingga kini. Sepanjang tempoh pembelajaran, perkara pertama yang perlu ada ialah minat. Apabila anda mempunyai minat, anda akan merasai motivasi untuk bekerja keras.”

Bagaimanakah Muhaimin mengembangkan minatnya sendiri? Katanya, “Saya merasakan bahawa seni ukiran kayu adalah warisan penting yang perlu dipelihara. Tidak ramai orang dalam generasi ini yang berminat untuk mempelajari ukiran kayu. Di situlah minat saya bermula, juga sebab saya terus bekerja dan berkembang dalam bidang seni ini; supaya generasi muda dan yang akan datang dapat memahami apa itu seni ukir kayu, sejauh mana kita boleh pergi dengan bentuk seni ini dan bagaimana kita boleh mengekalkannya supaya warisannya kekal melangkaui masa kini.”

“Pada pendapat saya, seni ukiran kayu adalah seni yang berbeza daripada bentuk seni yang lain,” kata Muhaimin. “Ini kerana ukiran kayu berasal dari jiwa. Apabila kita mengukir, ia adalah ‘perkahwinan’ antara kemahiran, gerak hati dan tenaga. Ukiran juga merupakan satu bentuk kepuasan: apabila kita mencipta sesuatu tepat seperti yang dikehendaki, kemudiannya kita mempamerkannya dan menerima pengiktirafan, ianya sangat memuaskan.”

“Permodenan (bentuk seni) adalah suatu cabaran bagi penggiat ukiran tradisional,” kata Muhaimin. “Alatan moden mampu membantu untuk menjadikan kerja kita lebih kemas, cantik dan cekap. Tetapi bagi saya, walaupun kita dilengkapi teknologi, kita masih perlu mengekalkan nilai-nilai tradisional. Kita masih perlu mengetahui asas ukiran kayu.”

Bagaimanapun, Muhaimin optimis dengan masa depan profesion pilihannya. “Saya fikir, masa depan ukiran kayu adalah cerah; kami mendapat sokongan kerajaan, dan semakin ramai orang yang mengenali bentuk seni ini. Mereka boleh membezakan antara ukiran kayu Malaysia dan luar negara. Ukiran kayu yang diajar di sekolah menengah membolehkan generasi muda mempelajarinya. Ini satu perkembangan yang sangat baik. Terdapat banyak prospek untuk ukiran kayu pada masa hadapan.” Malah, beberapa orang pelajar Muhaimin telah pun menjadi pengukir kayu sepenuhnya dan telah membuka studio sendiri. Semoga bentuk seni yang indah ini akan terus memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia pada generasi akan datang seterusnya mampu mencurahkan kebijaksanaan generasi terdahulu kepada mereka.

Abd Muhaimin Bin Hasbollah ialah penerima geran Adiguru CENDANA fasa ke-2 untuk seni ukiran kayu tradisional Melayu, yang dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Jika anda ingin membaca lebih banyak cerita, klik pada pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites