Adiguru CENDANA: Yusuf Awang Isa

Seni silat Melayu selalu dikaitkan dengan persoalan spiritual dan mistik. Namun di zaman yang bergantung berat pada teknologi ini, ilmu perang lama ini masih mendapat tempat di kalangan anak-anak muda di zaman ini. Yusuf Awang Isa, adiguru CENDANA dalam dunia persilatan sudah mengamalkan ilmu ini lebih daripada 60 tahun. Berikut merupakan hasil temubual dengan guru berpengalaman ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Yusuf Awang Isa, 81 berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan telah belajar ilmu silat semenjak berusia 18 tahun lagi.  Silat yang dibawa oleh Yusuf adalah dari aliran Silat Jawi atau ada yang memanggilnya sebagai Silat Pulut. Uniknya mengenai seni silat aliran ini adalah ia bukan jenis silat tempur seperti aliran silat yang lain. Yusuf menerangkan bahawa faktor lahir daripada sebuah keluarga pendekar membuatkan dia mendapat pendedahan mengenai silat sejak usia kanak-kanak lagi.

Yusuf mula belajar silat dari ayah saudaranya yang dipanggil orang kampung dengan gelaran Pendekar Hasan Naga Ibu selain daripada guru-guru silat yang ada di sekitar kampungnya. Dia kemudian pergi mengembara ke Selatan Thailand ketika usia remaja untuk berguru dengan guru-guru silat di sana dengan tujuan untuk menambah ilmu. Ketika berusia 28 tahun, dia mula membuka gelanggang silat yang diketuai oleh beliau sendiri dan terus mengembangkan seni silat Jawi sehingga ke hari ini. 

Sedikit mengenai seni Silat Jawi atau Silat Pulut ini, ia boleh dikategorikan kepada dua kategori iaitu pertandingan dan persembahan. Bagi kategori persembahan, aliran seni ini selalu dipersembahkan sebagai tarian silat tradisional yang lembut, unik dan menarik. Persembahan tarian silat ini mendapat sambutan dan menarik minat ramai orang terutama di Kelantan sehingga ia berkembang dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Malah, aliran silat ini menjadi kegemaran berbanding aliran silat yang lain. Seperti yang disebut mengenai keunikan aliran ini yang bukan jenis tempur, tendangan dan tumbukan tidak dibenarkan sama sekali. Pemenang bagi kategori pertandingan akan ditentukan melalui jatuhan pemain lawan yang berjaya dilakukan. Selalunya di Kelantan, persembahan dan pertandingan aliran silat ini akan diiringi dengan gendang dan serunai.

Yusuf menggayakan buah silat Jawi.

Berbalik kepada Yusuf dalam mengingati timbulnya minatnya dalam seni silat selain daripada faktor keturunan, dia mengatakan bahawa silat ini menyihatkan tubuh badan. “Kalau rasa nak demam, bersilat sikit terus rasa segar,” ujar Yusuf. Namun lebih besar daripada itu, dia mahu terus mempertahankan warisan keturunannya untuk diteruskan oleh generasinya dan generasi yang akan datang. Walaubagaimanapun, dia mengakui bahawa semakin sukar untuk mencari anak-anak muda yang ingin belajar warisan ini. Oleh kerana aliran Silat Jawi ini semakin berkurangan, dia sedar dia harus meneruskan tanggungjawab sebagai guru walaupun beliau semakin berusia.

Dalam upacara tamat pengajian bagi penuntut ilmu silat ini yang disebut sebagai ‘Plima Silat’ atau tutup gelanggang, menurut Yusuf akan ada sedikit upacara. Ia merupakan sebahagian daripada adat untuk meraikan tamat latihan sambil sedikit kenduri makan yang diserikan dengan pulut kuning yang sinonim dengan adat Melayu. Di samping itu, terdapat juga satu penampilan khas dimana pesilat daripada aliran lain juga dijemput untuk menguji ilmu pelajar yang menamatkan latihan tadi. “Satu kumpulan pesilat luar akan dijemput untuk ‘berlawan’ dengan kita supaya dapat memantapkan kemahiran. Semua yang datang itu akan bersilat mengikut aliran masing-masing. Yang dilihat adalah kemampuan untuk mempertahankan diri,” katanya.

Sebagai perbandingan dalam cara mengajar dan keadaan seni silat Jawi ini waktu dahulu dan sekarang Yusuf mengatakan bahawa terdapat banyak perubahan. Menurut kata Yusuf, kalau dibandingkan dahulu 70% murid yang datang memang berminat untuk belajar tetapi sekarang sekitar 30% sahaja. “Untuk menarik minat anak muda kadang-kadang kita buat latihan tersebut dipasangkan sekali dengan makan-makan. Mula-mula mereka tengok-tengok sahaja dulu. Lama-lama mereka minat,” ujarnya.  Adiguru ini juga menceritakan bahawa pendekatan mereka juga tidak terlalu serius berbanding aliran silat lain yang ada elemen tempur dan bermain senjata. Pakaian pula mereka diwajibkan untuk memakai kain batik lepas sebagai samping dan ikat kepala.

Yusuf bersama anaknya yang membantu sepanjang ditemubual.

Variasi aliran silat ini juga bergantung kepada guru masing-masing. Setiap guru akan mempunyai bentuk bunga yang berbeza dalam silat mereka. Ini disebabkan kerana buah yang terdapat dalam silat ini adalah banyak. Pentingnya berguru dengan ramai orang setelah selesai pengajian dengan seorang guru sangat digalakkan. Setiap perguruan dikatakan mempunyai lebih kurang 5 bentuk bunga. Masa yang diperlukan seorang pelajar untuk menghabiskan pengajian bergantung kepada pelbagai faktor. “Biasanya seorang pelajar mengambil masa 3-4 bulan untuk dikatakan mahir dalam seni ini. Ia bergantung kepada faktor umur dan waktu yang dihabiskan untuk latihan,” jelasnya. Purata pelajar yang datang berguru dengan Yusuf bermula seawal 7 tahun sehingga 40 tahun.

Pada akhir perbualan, Yusuf ditanya tentang pandangannya mengenai pengangkatan sebagai Adiguru Cendana. Jawabnya ringkas, “saya sangat berbesar hati dengan anugerah ini walaupun umur saya sudah mencecah sangat tua. Ini adalah pengiktirafan untuk seni silat dan terima kasih saya sampai tak boleh tidur (ketawa). Kalau tidak ada sokongan dari pihak lain untuk membuka gelanggang memang susah”. Anugerah ini baginya adalah kenangan paling manis yang dia sendiri dapati sepanjang penglibatan dalam seni silat.

Anda boleh mengikuti kisah-kisah lain yang menarik di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites