Kenali Adiguru CENDANA ini yang cukup menghayati irama muzik Melayu asli dan amat menitikberatkan kepentingan untuk meneruskan dan memperkukuhkan lagi pendidikan muzik Melayu asli.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Seorang yang cukup bersemangat dan mempunyai rasa cinta yang tinggi buat alunan merdu lagu-lagu Melayu asli. Zin Bin Ngah atau sering disapa oleh rakan dan taulan dunia seni sebagai Pak Zin mula berkecimpung dalam arena muzik Melayu asli ini sejak di bangku sekolah lagi. “Zaman dahulu sewaktu saya di kampung, tak macam sekarang. Hiburan yang ada pada masa itu hanyalah Ghazal Parti dan Bangsawan. Itu sahajalah hiburan yang ada dan pada ketika itu saya bermain gambus untuk mengiringi penari dan pelakon dalam sebuah persembahan Ghazal Parti. Di situlah saya bermula jatuh cinta pada irama muzik Melayu asli,” luah seorang pejuang budaya tanah air yang cukup berdedikasi dan tekun dalam menimba serta berkongsi ilmu muzik Melayu asli ini.
Bak kata pepatah Melayu lama ‘tak kenal maka tak cinta‘, maka sebagai seorang yang amat mengenali muzik Melayu asli ini, sudah tentunya cinta seorang insan bernama Zin Bin Ngah terhadap muzik Melayu asli ini tidak dapat disangkal sama sekali. “Orang dulu-dulu kata lagu Melayu asli ini lagu untuk orang tidur dan sebagainya tetapi saya percaya semua ini sebab mereka tak kenal jadi mereka tidaklah mencintainya. Mereka cuma dengar begitu sahaja” kata Pak Zin.
“Tapi sekarang ini cukup bagus. Semenjak adanya fakulti muzik dan pendidikan muzik Melayu asli di universiti-universiti tempatan, ada pula pembelajaran muzik dan alatan muzik tradisional, maka kita dapat lihat anak-anak muda yang boleh bermain alat muzik dan menyanyi lagu tradisional dengan cukup baik. Tidak lagi seperti dahulu,” tambah beliau.
Alunan merdu sebuah lagu, teknik penyampaian, peralatan muzik malah kemahiran dalam pernafasan seseorang vokalis dalam mempersembahkan sebuah muzik Melayu asli ini cukup istimewa dan lain daripada yang lain. Pak Zin juga mengulas serba sedikit berkenaan asal usul muzik Melayu asli ini.
“Muzik Melayu asli ini memang mempunyai ciri istimewanya yang tersendiri. Walaupun kebanyakkannya datang daripada tempat lain seperti Nusantara dan Indonesia, namun apabila muzik ini sampai ke negeri ini, sedikit demi sedikit kita telah mengolah dan mengubah alunan lagu ini mengikut citarasa kita dan keluaran akhirnya terjadilah muzik Melayu asli. Antara contoh yang lain seperti Ghazal yang datang daripada Arab dan India” kata Pak Zin.
Apabila irama luar tiba di pesisiran pantai kita, lalu orang Melayu pada ketika itu telah mengambil khazanah-khazanah seni ini dan menyuntik secebis penceritaan dan jiwa yang amat unik lalu membuatkan lagu-lagu ini serasi dengan sanubari orang Melayu.
Pak Zin merupakan seorang seniman lagenda tanah air yang telah mempelajari ilmu muzik daripada seniman-seniman lain yang datang daripada pelbagai bentuk latar belakang. Namun apa yang lebih menariknya ialah, hampir kesemua ilmu yang diturunkan kepada Pak Zin ini tidak melalui kaedah pendidikan formal seperti yang ada pada hari ini, “Cabaran orang dulu-dulu nak belajar memang susah dan bukanlah macam apa yang ada sekarang. Sekarang kita ada internet, ada Youtube. Dahulu kalau kita hendak belajar perlulah bersemuka.”
Pak Zin juga sempat untuk berkongsi telatah dan cara guru-gurunya mengajar pada waktu dahulu. Ada gurunya yang garang, ada gurunya yang lembut dan ada juga gurunya yang bengis. Namun iltizam Pak Zin hanya untuk menjadi seorang pelajar yang berdedikasi menuntut ilmu dunia muzik. “Kita nak belajar, kita kena terima lah semua itu,” tambahnya lagi.
Selain dari menjadi seorang seniman yang cukup terkenal dalam dunia muzik tradisional Malaysia ini, Pak Zin juga merupakan seorang ayah kepada 7 orang anak. Hingga ke hari ini, hampir kesemua anak-anak Pak Zin telah mengikut jejak langkah ayah mereka dan melibatkan diri dalam bidang muzik.
“Saya memang ajar semua anak saya untuk main muzik. Ada yang saya ajar main gendang, ada yang saya ajar main flut, ada yang saya ajar main violin dan ada yang saya ajarkan mereka bermain gambus. Walaupun tidak semua menjadi seorang tenaga pengajar muzik, namun kesemua mereka pandai untuk menggunakan peralatan muzik,” kata beliau sebagai seorang ayah seni yang cukup berbangga dengan pencapaian anak-anaknya.
“Ajar dahulu anak-anak kita ini lagu tradisional. Jangan kita ajar international dahulu barulah kita mengajar mereka lagu tradisional, kerana pada waktu itu, semuanya telah terlambat,” ujar Pak Zin yang amat risau akan pemuzik-pemuzik Melayu yang ada pada hari ini.
Rambahnya, “Nak main muzik, carilah muzik yang sihat. Pak Zin selalu nasihatkan anak-anak, belajar muzik biarlah yang sihat dan belajar betul-betul.” Selain itu, Adiguru CENDANA ini amatlah prihatin berkenaan persepsi dan pandangan sesetengah pihak pada hari ini yang menggelarkan muzik Melayu asli dan muzik tradisional ini seolah-olah sebuah muzik yang ‘low-class’. Namun Pak Zin telah memberikan pendapatnya bahawa muzik ini tidak ada ‘high class’ atau ‘low class’ sama sekali dan bagi dirinya secara peribadi, kalau seseorang ahli muzik itu pandai bermain, tidak banyak membuat kesilapan dan mengeluarkan alunan merdu yang sedap untuk didengari maka itulah muzik yang bagus.
“Program Adiguru CENDANA ini memang sebuah inisiatif yang cukup baik dan patut diteruskan!” Begitulah pendapat penggiat dan peminat seni muzik Melayu asli yang cukup tersohor ini. “Sepatutnya dah lama dah kita ada program-program seperti ini!” ujar seorang Pak Zin yang cukup bersemangat.
“Daripada dahulu lagi, saya selalu menyampaikan pendapat saya bahawa kita sepatutnya menyerapkan pendidikan muzik tradisional ini di usia yang cukup muda iaitu seawal sekolah rendah. Contoh seperti Seni Ghazal, Kerajaan Negeri Johor telah mula memperkenalkannya di sekolah-sekolah namun ini juga berkemungkinan kerana Ghazal itu lebih sinonim dengan rakyat di Johor. Tetapi tidak buat muzik asli, muzik Melayu asli ini amat luas, sesuai untuk kita rangkumkan di seluruh negara sampailah ke Sabah dan Sarawak.”
“Jadi harapan Pak Zin, kalau boleh diteruskan program-program seperti ini maka teruskanlah. Masuklah sampai ke sekolah-sekolah kerana sekurang-kurangnya anak muda kita akan kenal apa itu alat muzik melayu asli, apa itu alunan lagu muzik asli dan buat Adiguru CENDANA yang lain, sebarkanlah pendidikan budaya kepada semua anak-anak muda kita.” Begitulah kata-kata akhir daripada seorang seniman lagenda dan Adiguru CENDANA bernama Zin Bin Ngah agar seni dan budaya tanah air Malaysia ini terus dikekalkan, ditambah baik dan berterusan sehingga ke akhirnya nanti.
Zin Bin Ngah merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam Muzik Melayu Asli. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.
Anda juga boleh membaca artikel-artikel lain di sini: