Tahun Ke-50 penganjuran Anugerah Seri Angkasa

Setelah 6 tahun tidak ada sebarang penganjuran diadakan, Anugerah Seri Angkasa kembali lagi untuk mengangkat karyawan dan siarawan tanah air di tahap yang tertinggi

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Anugerah Seri Angkasa merupakan sebuah anugerah yang cukup berprestij buat rancangan-rancangan terbitan TV, TV Satelit, TV Platform Internet seperti Youtube dan juga Radio. Pencalonan bagi anugerah ini terbuka kepada semua organisasi penerbitan tidak kira kerajaan mahupun swasta tempatan yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam penerbitan rancangan masing-masing. 

Persembahan pembukaan oleh Datuk Syafinaz Selamat

Terdapat 3 kategori besar yang dipertandingkan iaitu Kategori TV, Kategori Radio & juga Kategori Media Sosial. Kategori TV mempertandingkan sebanyak 43 anugerah dan Kategori Radio pula mempertandingkan 22 anugerah kesemuanya. Bagi Kategori Media Sosial pula, terdapat sebanyak 5 anugerah yang menjadi rebutan para karyawan dan siarawan tempatan yang telah bertungkus lumus dalam menerbitkan rancangan mereka yang mempunyai ciri-ciri istimewa mereka yang tersendiri.

Anugerah yang telah diperkenalkan pada tahun 1972 yang cukup gilang gemilang ini turut dihadiri oleh YB Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa dan isteri serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dan juga agensi. “Pemenang bukan sahaja membawa pulang trofi kemenangan masing-masing bahkan buat julung kalinya mereka bakal menerima hadiah berbentuk wang tunai bagi setiap kategori yang dimenangi,” umum Annuar.

Pada tahun 1972, Anugerah Seri Angkasa ini hanya dipertandingkan di antara rancangan-racangan dalaman RTM sahaja namun sejak tahun 2004, anugerah ini telah dibuka kepada syarikat-syarikat penyiaran swasta lain dan telah mendapat sambutan yang cukup baik daripada warga kreatif tanah air. Ini juga membuktikan pengiktirafan kerajaan ke atas usaha mereka dan sekaligus dapat mempertingkatkan usaha dalam menerbitkan rancangan-rancangan yang berkualiti tinggi buat santapan dan kenikmatan rakyat Malaysia. 

Terowong red carpet Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022

Sebuah kisah yang cukup menyentuh hati pada malam kemuncak acara ini adalah apabila Fauziah Nawi seorang lagenda tanah air telah dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa 2022. Beliau telah dianugerahkan trofi kemenangan dan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 oleh YB MenKOMM sendiri. Pihak penganjur dan penaja juga telah membuat kejutan untuk menghadiahkan beliau sebuah kereta Mitsubishi Expander tajaan EON. Fauziah berkongsi, “sebenarnya Allah sedang baik dengan saya. Saya tiada kereta kerana pernah terbakar dahulu dan kini tidak mampu membeli kereta baharu kerana sudah tua. Malam ini, Alhamdulillah Allah makbulkan kereta untuk saya. Terima kasih.”

Selain itu, dua anugerah utama Anugerah Seri Angkasa iaitu Anugerah Drama TV Terbaik dan Anugerah Dokumentari Terbaik juga turut membawa pulang hadiah tambahan lumayan iaitu peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM200,000 bagi drama terbaik dan RM150,000 bagi dokumentari terbaik. Drama TV Terbaik telah dimenangi oleh drama Pencipta Pegang Waktu terbitan Primeworks Studios manakala Dokumentari Terbaik telah dinotbatkan kepada dokumentari Social Playlist terbitan Herbert Pua Kuo Jie.

Puan Nor Shahila Harun Shah, Pengurus Besar Kanan Penerbitan Program Dalaman di Rangkaian Televisyen Media Prima telah mewakili Primework Studios untuk menerima anugerah terbesar malam tadi. Shahila telah merakamkan ucapan syukur dan terima kasih kepada Anugerah Seri Angkasa kerana telah mengangkat dan mengiktiraf ‘Pencipta Pegang Waktu’ sebagai drama terbaik tahun ini. “Dengan anugerah dan dana yang diberi ini, kami lebih bersemangat untuk menghasilkan drama buat ‘kaki drama’ Malaysia, ujar Shahila. 

Malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa telah diadakan pada malam tadi secara langsung dari Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan telah menampilkan barisan artis-artis tanah air yang telah lama tidak dapat merasai kemeriahan malam anugerah seperti ini. Antara artis yang telah membuat persembahan termasuk Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar, Ella, Noraniza Idris, Haqiem Rusli, Tajol, Wani Kayrie dan ramai lagi. Penonton dan para tetamu juga turut disajikan dengan persembahan penutup yang cukup mantap daripada tiga jejaka lagenda iaitu Dato’ M. Nasir, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Hattan.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites