Seni tradisional Kompang Jidor 12 pukulan mempunyai gaya, rentak dan cara pukulan sendiri, namun apabila kesemuanya dimainkan ia menjadi irama yang sekata.
Oleh DANNY ADAM
Kemeriahan sesuatu upacara majlis perkahwinan itu pasti ada serinya jika diiringi alat muzik tradisional seperti kompang. Pukulan kompang mengiringi ketibaan ‘Raja Sehari dan pasangannya’ membuatkan suasana bertambah meriah ditambah pula dengan rentak paluan kompang. Tetapi adakah anda pernah mendengar atau mengetahui mengenai Kompang Jidor? BASKL minggu ini akan membawa anda mengenali seni tradisional ini iaitu Kompang Jidor yang semakin jarang mendapat perhatian dan sambutan dalam kalangan masyarakat hari ini.
Kompang Jidor adalah salah satu seni tradisional yang amat popular di negeri Johor. Kompang Jidor ini merangkumi 12 pukulan kompang yang bergabung mencipta irama bertindih (interlocking rhythm) yang mana iramanya diiringi alunan selawat.
Menurut Pengarah Kreatif PUSAKA Pauline Fan, Persatuan Kompang Kampung Parit Madirono, Johor yang dipimpin oleh Mahni Jais ketika ini diasaskan oleh Allahyarham Selamat Ahmad, sejak era pra-Merdeka, merupakan kumpulan kompang terakhir di Johor yang giat mengamalkan seni Kompang Jidor 12 pukulan.
12 pukulan yang diterapkan dalam seni Kompang Jidor tradisional adalah: Jidor, Babon, Banggen, Nelon, Ngelimo, Ngorapati, Anak Babon, Paron, Ngapati, Ngentong, Nyalahi, Nyelangi. Setiap 12 pukulan ini mempunyai gaya, rentak dan cara pukulan sendiri, namun apabila kesemuanya dimainkan ia menyatu menjadi sekata.
“Oleh itu, ahli-ahli Persatuan Kompang Kampung Parit Madirono tekun mengajar pelapis generasi muda di komuniti mereka serta mengendalikan beberapa bengkel untuk kumpulan-kumpulan kompang dari daerah lain di negeri Johor.”
“Seni tradisional Kompang Jidor 12 pukulan memerlukan lebih banyak masa untuk dipelajari kerana rentak iramanya yang agak rumit berbanding Kompang Melayu yang biasanya menerapkan empat pukulan,” katanya.
Jelas Pauline lagi, pada suatu ketika dahulu Persatuan Kompang Kampung Parit menggunakan kompang dan jidor yang dibuat sendiri tanpa menggunakan mesin moden. Seni tradisional yang digunakan dalam seni Kompang Jidor terdiri daripada sekurang-kurangnya 12 biji kompang dan sebuah jidor.
“Kompang Jidor lazimnya dimainkan dengan iringan selawat berdasarkan Kitab Barzanji, sebuah buku pujian kepada Nabi Muhammad SAW yang dikarang oleh penyair Medina, Ja’afar b. Hasan b. Abdul Karim al-Barzanji, pada abad ke-18. Dalam seni Kompang Jidor, bait-bait pujian dari Kitab Barzanji disusun dalam nyanyian selawat sebagai ‘rawi’ dan ‘jawapan’. Walaupun kebanyakan selawat ini dinyanyikan dalam bahasa Arab, terdapat beberapa selawat yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Pauline tidak menafikan bahawa Kompang Jidor kurang dikenali oleh generasi muda kini, kerana rata-rata daripada mereka lebih mengenali dan mengetahui mengenai Kompang Melayu yang sering digunakan dalam upacara-upacara keramaian, perkahwinan dan sebagainya. Dalam usaha mengembalikan minat masyarakat untuk meminati seni tradisional ini, Pauline bersama PUSAKA terus mempergiatkan pelbagai aktiviti untuk mengetengahkan Kompang Jidor.
“Sebenarnya terlalu banyak seni muzik tradisional di negara ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang unik dari segi agama, latar belakang kaum, adat dan budaya. Tidak hairanlah jika negara ini mempunyai seni dan alat muzik yang berbeza-beza. Jadi salah satunya adalah Kompang Jidor yang tidak ramai mengetahuinya. Kompang Jidor ini mempunyai tarikannya yang tersendiri dari segi pembuatan, muzik dan rentaknya. Bahkan setiap pukulan ini mempunyai namanya yang tersendiri yang sangat unik,” katanya.
Bagi Pauline seni tradisional ini perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat baik individu mahupun agensi-agensi berkepentingan agar kompang Jidor ini tidak pupus dihanyut arus kemodenan. Alat-alat muzik sebegini perlu mendapat liputan meluas dari dalam dan luar negara. Bukan sahaja mengadakan pertandingan, malah perlu lebih banyak maklumat dan informasi perlu direncanakan semula untuk memastikan masyarakat dapat mengetahui kompang Jidor ini dengan lebih dekat lagi.
“Saya berharap lebih ramai lagi masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama supaya meminati dan mengetahui mengenai Kompang Jidor ini agar tidak diabaikan sehingga menyebabkan seni tradisional ini semakin dilupakan.”
“Pada 9 Oktober ini, Pusaka dengan rakan kerjasama Persatuan Kompang Kampung Parit Madirono akan mengadakan Panggung Rakyat anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur secara dalam talian. Ini adalah salah satu usaha kami untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai Kompang Jidor. Sekiranya anda tidak keberatan dan mempunyai masa terluang, boleh sertai kami Sabtu ini, 9 Oktober, jam 8.30 malam di Facebook CENDANA Malaysia,” Katanya lagi.
Pauline berharap dengan penglibatan PUSAKA dan Persatuan Kompang Kampung Parit Madirono ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada masyarakat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kompang Jidor ini atau boleh layari laman sosial media menerusi Facebook Persatuan Kompang Kg. Parit Madirono dan PUSAKA.