Walk In Silence, Don’t Walk Away In Silence bersama Saiful Razman

Oleh FAZRINA JASMIN

Penempatan atau tempat tinggal secara harfiahnya membawa maksud kediaman – berakar dari kata dasar “diam”. Tempoh pandemik yang berterusan dan memakan masa bertahun lamanya menempa pengalaman norma baharu dan keperluan yang mendesak agar masing-masing duduk diam di rumah untuk suatu sela masa tertentu.

Ironinya, rumah yang merupakan ruang selamat dan tempat berlindung seakan bertukar wajah tatkala timbul rasa terkongkong seolah-olah terpenjara dalam diam di kediaman sendiri sambil ternanti saat segalanya kembali normal seperti sedia kala tidak berapa lama dahulu.

Saiful Razman menerusi karya seni monokromatik minimalis berjudul Walk In Silence, Don’t Walk Away In Silence telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang peraduan 2021 UOB Southeast Asian Painting of the Year anjuran United Overseas Bank (UOB) pada 26 November baru-baru ini di Singapura. Mengambil inspirasi sempena dengan keadaan semasa yang menyaksikan suasana pengasingan diri menerusi tempat berlindung atau kediaman masing-masing sepanjang berlangsungnya tempoh kawalan pergerakan atau perintah berkurung.

Hasil kerja tangan Razman menampilkan struktur ringkas kombinasi simbol sebuah rumah dan terowong dengan menggunakan material berupa kertas tisu bergulung nipis dan kain kasa perubatan atau medical gauze. Karya tersebut merupakan lanjutan daripada pameran solo Razman berjudul Future Love di Chan + Hori Contemporary, Singapura 2019 yang diilhamkan daripada salah satu tajuk lagu kumpulan muzik rockkegemarannya, iaitu Ride.

Walk In Silence, Don’t Walk Away In Silence, 2020. 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia)

“Pameran 2019 bercerita tentang sebuah rumah dari segi konsep dan idea dalam struktur yang paling ringkas melibatkan bumbung, atap, dinding serta lantai. Waktu itu saya masih menghasilkan karya dalam bentuk kolaj. Selepas habis pameran, kita mula bergelut dengan pandemik dan keadaan menjadi semakin gusar.

Lazimnya rutin harian saya ialah pergi ke studio dari pagi hingga petang. Apabila lockdown, mula rasa terkurung dan timbul persoalan sama ada rumah sebagai tempat yang paling selamat untuk didiami atau sebaliknya – seperti sebuah penjara,” jelas Razman yang sebelum ini pernah memenangi beberapa anugerah berprestij, antara lainnya Honorable Mention di Philip Morris Malaysia-Asean Arts Awards (2003) dan hadiah utama  Bakat Muda Sezaman di Balai Seni Lukis Negara  (2016).

“Apabila sudah boleh mula keluar, saya sempat balik ke kampung halaman di Teluk Intan, Perak. Waktu itu ada kematian ahli keluarga. Ketika berpeluang bersiar-siar di bandar, kelihatan suasana lanskap tanpa manusia dan kosong. Dari situ saya terpanggil untuk menghasilkan lukisan yang menggambarkan suasana sepi dan bagaimana kita mendakap ketenangan yang hadir bersama rasa risau akibat ketidak tentuan keadaan semasa. Sejak dari itu sehinggalah kembali semula ke Kuala Lumpur, saya terus bekerja dan menghasilkan kerja seni.” Tambahnya.

Menelusuri pengalaman dalam berkarya, Razman yang suatu ketika pernah bekerja sebagai pembantu galeri di The Annexe Gallery Central Market sekitar tahun 2007-2008, telah mendapat pendedahan seawal 1998 – 2003 sewaktu menyiapkan tesis tahun akhirnya di peringkat ijazah sarjana muda (Seni Halus) yang mengetengahkan penggunaan bahan-bahan semula jadi dalam penghasilan karya kontemporari.

“Pada awalnya, saya menggunakan dahan batang pisang sebagai serat atau fibre kepada kerja seni dan mengadakan kajian di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Sepanjang tempoh tersebut, saya belajar dan buat kajian tentang proses penghasilan kertas (berserta kaedah bagi mendapatkan transparency atau lutsinar) daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit di USM. Setelah terhasilnya jenis kertas yang dikehendaki, saya perlukan sokongan pada kertas tersebut. Jadi, saya menggunakan medical gauze yang merupakan sejenis fabrik dan bersifat menyerap dan memberi rangka pengikat pada fibre yang melekat atas permukaan gauze itu.”

“Dari situ saya meneruskan eksplorasi kajian dan penambahbaikan kepada bentuk karya seni saya. Pada 2015, saya menggunakan kertas bahan siap atau “readymades” seperti rolled tissue paper atau apa-apa jenis kertas yang pembuatannya berasal dari kilang, di mana saya menghasilkan seni instalasi. Apabila saya dapat menyempurnakan cara pembinaan dan pembuatan, saya beralih pula ke dua dimensi, iaitu kolaj di atas kanvas. Sememangnya saya mengambil masa yang agak lama  – untuk melaksanakan kerja seni, seseorang artis perlu berdepan dan menyelesaikan masalah berkaitan material. Kita ada idea, kita ada material dan kita selesaikan. Itulah cara atau jalan kerja yang saya lakukan.”

Bercakap soal inspirasi, Razman yang meminati seni multi-disiplin mengakui banyak mendapat ilham menerusi muzik, filem dan teater yang turut sama dihasilkan oleh rakan-rakan seangkatan dalam industri kreatif tanahair. Menurutnya lagi, setiap perkara seni “mengalir dan menyerap” ilham dan kreativiti yang boleh membuatkan masing-masing memberi dan mendapatkan reaksi atau bertindak balas, selain membantu dalam pembinaan karakter dan kerjaya seni seseorang artis.

“Inspirasi saya ialah seniman yang pernah kita jumpa, orang-orang kreatif yang kita hendak tengok hasil kerja mereka, kawan-kawan yang menghasilkan filem indie, band/muzik indie yang sering kita dengar lagu/lirik atau pernah pergi ke konsert mereka. Semuanya memainkan peranan penting dalam industri,” ujar Razman yang meminati genre rock/punk rock, selain pernah menganggotai sebuah band punk rock,Gasoline Grenadesekitar awal 2000.

Ditanya tentang perancangan menjelang tahun baharu, Razman bakal mengadakan pameran di Rissim Contemporary Art Gallery sekitar Mac 2022, di samping berpeluang menjalani residensi sama ada di Fukuoka Asian Art Museum, Jepun atau UOB Art Gallery, Shanghai menerusi anugerah UOB Southeast Asian Painting of the Year yang dimenangi olehnya tempoh hari.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites