“Lukisan-lukisan ini harta kepada ibu kamu apabila ayah tiada kelak.” Siapa sangka itu pesanan terakhir Mass Yusoff atau Mohd Yusof Abdul Wahid sebelum menghembuskan nafas akibat virus Covid-19 pada Julai 2021, sebelum sempat dia melihat impian pameran solo dilaksanakan.
Oleh MIMI SALLEH
Dilahirkan di Klang, Selangor, Mohd Yusof Abdul Wahid aka Mass Yusoff bertugas di Utusan Melayu (Malaysia) selama 30 tahun sebelum bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Kreatif. Selepas bersara, masanya dipenuhi dengan melukis. Awalnya, dia sudah merancang dengan pihak Muzium Seni Buku Bergambar (Museum Picture Book Art) untuk mengadakan pameran ini pada bulan September. Namun, ajal itu tiada siapa boleh menjangka.
Semasa berkongsi perihal bapanya semasa majlis perasmian pameran tersebut, Nur Firdaus Mohd Yusoff (gambar) tidak dapat menahan sebak. Mengesat air mata dari sebalik pelitup muka, anak sulung daripada tiga adik-beradik memberitahu setiap lukisan itu mencerminkan nostalgia zaman kecil arwah ayahnya dikelilingi alam semulajadi.
“Selepas bersara, Ayah fokus melukis sepenuh masa. Dia dan ibu akan pergi sejauh Banting untuk mengambil gambar pemandangan dan suasana alam semulajadi. Kemudian dia akan duduk melukis sehingga siap,” jelasnya.
Malah, anak sulung Mass Yusoff yang lebih mesra dipanggil Fifi itu turut memberitahu mereka sekeluarga sepakat meneruskan hasrat pameran Remembering Mass Yusoff, Malaysiaku Indah apabila teringat pesanan terakhir itu dan melihat koleksi lukisan ayahnya yang banyak di rumah. Mereka tidak mahu karya seni Mass terhenti selepas selesai pameran, sebaliknya mahu melihat koleksi tersebut dapat dinikmati oleh ramai.
Pameran solo yang bermula pada Okt 23 sehingga Nov 7 terletak di aras 2, bangunan GMBB, Jalan Robertson, Kuala Lumpur. Terdapat lebih 100 keping lukisan cat air dan akrilik dalam pelbagai saiz dipamerkan. Serawan negara Dato’ Dr Zurinah Hassan, semasa ucapan perasmian, menjelaskan melihat betapa pentingnya koleksi karya insan seni seperti Mass dianggap sebagai sebahagian khazanah warisan.
Dr Zurinah turut membaca sebuah puisinya yang bertajuk Bunga di Kolam yang kebetulan bertepatan dengan salah satu lukisan Mass bertajuk teratai. Antara bait puisi itu berbunyi, “Kita sepatutnya belajar, dari kembang teratai, yang berlumpur di tangkai, namun tetap terjulang, dalam warna cemerlang.” Bait puisi itu sesuai dengan semangat yang ingin diteruskan oleh anak-anak Mass Yusoff. Fifi mengakui mereka tiada bakat seni sepertimana arwah ayahnya, namun legasi yang ditinggalkan harus dikongsi dengan orang ramai. Justeru, mereka sekeluarga turut mengambil inisiatif mengolah beberapa lukisan Mass Yusoff menjadi barangan memorabilia. Antara yang menarik ialah cawan dan poskad.
Menelusuri setiap lukisan Mass Yusoff kita harus bersetuju dengan pendapat Khairil Anwar Mohd Azhari, kurator pameran di Galeri Prima pada tahun 2016, yang menjelaskan gaya lukisan Mass Yusoff harus dilihat bukan pada teknik mahupun gaya lukisan semata-mata sebaliknya mesej yang ingin disampaikan iaitu mengingati asal-usul, nilai keluarga dan hubungan sesama manusia.
Bertemu dengan Linda Tan Lingard, Pengarah Muzium Seni Buku Bergambar semasa majlis perasmian, dia mengakui Mass Yusoff adalah seorang insan yang menggunakan bakat seninya untuk merakam masa dan saat-saat yang tidak mungkin kita kecapi lagi.
Tan Lingard menunjukkan beberapa keping lukisan di dinding: “Spesis burung itu hampir pupus. Mass Yusoff berjaya merakamkannya.”
Melihat lukisan realism Mass Yusoff kita akan merasa seperti kita berada dalam suasana yang dilakarkan itu. Percikan warna yang digunakan harmoni dengan subjek yang dipilih. Kelebihan Mass Yusoff dia bijak memilih suasana yang biasa-biasa namun meletakkan momen itu menjadi momen yang boleh buat kita tersenyum dan adakala boleh menimbulkan sebak.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan, jika kita berdiri di depan satu-satu lukisan Mass Yusoff, kita boleh terdengar bunyi kicauan burung, suara kanak-kanak ketawa, riuh-rendah di pasar dan bunyi alam semulajadi. Melihat gambar seorang nenek menyikat rambut cucunya membawa kita ke saat nostalgia zaman kecil, duduk berbual dengan orang tersayang. Melihat lukisan dua orang budak duduk di jambatan kayu, kita pasti tersenyum kerana turut teringat zaman nakal di waktu kecil. Ini kelebihan Mass Yusof. Dia bijak melakarkan ekspresi dan mewarnakan emosi pada setiap lukisan.
Malah, jika kita melihat setiap lukisan sebagai satu koleksi kita harus mengakui Mass Yusoff berjaya mengambarkan Malaysia. Dia meluahkan rasa sayangnya pada negara, budaya dan suasana alam semulajadi Malaysia melalui lakaran penduduk berbilang bangsa, keceriaan anak-anak, flora fauna dan nostalgia zaman silam.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia pergi meninggalkan nama. Namun bagi Mass Yusof, walau namanya belum sempat menjadi gah di persada seni, dia telah meninggalkan karya seni yang akan menjadi rujukan generasi zaman berzaman. Semoga nyala rasa seni Mass Yusoff turut menjadi inspirasi kepada artis seni yang lain.
Bagi mengenali insan seni bernama Mass Yusoff ini dengan lebih rapat dan melihat lukisan-lukisannya di Facebook dan Instagram.