Ulasan mengenai karya Wan Muhammad Eiman dalam Pameran Bakat Mahasiswa Aswara 2021

Bakat Mahasiswa merupakan program di bawah “ Festival Bitara Seni Kita” yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara bagi mempamerkan karya mahasiswa dan mahasiswi di ke pentas kebangsaan.

Oleh WAN NUR AQMAR ZULKIFLI untuk Lensa Seni

Kekuatan dalam menerapkan pegangan atau ideologi kolektif di dalam pameran Bakat Mahasiswa ASWARA 2021, Kolektif Kampung Batu ini, sangat meraikan kepelbagaian idea yang diterjemah oleh setiap ahli kolektif dalam bentuk karya dengan perletakkan konteks visual yang harmoni. Selain itu, penegasan konteks visual yang diketengahkan setiap karya di dalam pameran ini juga diinspirasikan dari sebuah filem yang bertajuk “Man Laksa” 2006 karya oleh Allahyarham Mamat Khalid.

Sumber : Pembentangan dari Ketua Projek Pesta Keramaian Pendemik.

Projek yang dinamik sebegini mampu memberi impak yang signifikan terhadap artis muda untuk mereka berada pada tahap yang membanggakan. Acara sebegini mampu meningkatkan kreativiti dan mengembangkan idea persembahan secara kolektif antara alumni dan pelajar

Penulis melihat ramai artis muda yang berdaya saing untuk mengembangkan kreativiti dan keunikan mereka. Sememangnya mereka mempunyai mempunyai kemampuan dan kreativiti yang baik dan tinggi.

Pengalaman ini memberi galakkan kepada artis muda supaya mereka lebih berani untuk keluar dari zon selesa studio dan berkarya secara langsung di ruang sosial. Ruang pameran ini seolah-olah memberi pencerahan kepada orang ramai akan factor sekeliling yang mempengaruhi karya mereka seperti politik, ekonomi, sosial dan budaya dalam mengharungi musibah penyebaran wabak Covid 19 berdasarkan tema pilihan masing-masing.  

Inilah yang dipersembahkan oleh para artis muda yang terlibat dalam pameran ini sekaligus berkongsi konteks idea, melalui kepakaran dan pengalaman artis itu sendiri. Dengan adanya pameran sebegini, ia dapat membantu pelajar dan alumni untuk memahami seni dengan lebih baik. Pendidikan estetika juga dapat membantu pelajar-pelajar meningkatkan persepsi dan pemikiran kritis melalui pembentukan kemahiran yang sesuai mewakili generasi artis muda, sekaligus cuba untuk memahami dan menilai falsafah dan estetikanya.

Antara artis Bakat Mahasiswa ASWARA 2021, Wan Muhammad Eiman Kolektif Kampung Batu.

Dalam pameran ini, anak seni tempatan yang lahir pada tahun 1999, Wan Muhammad Eiman merupakan antara artis yang menarik minat penulis. Dia merupakan alumni dan mendapat pendidikan di Akademi Seni Budaya  dan Warisan Kebangsaan  (ASWARA)  dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Persembahan.

Wan Muhammad Eiman, Digital Painting , 60 x 84  Tikam buyong, tajuk  “Pasti ke” 2021.

Pendedahan untuk berfikir secara kreatif sudah dipupuk sewaktu menjadi seorang pelajar seni reka dan kini bergiat aktif dalam menghasilkan karya yang berundur seni cetakan, silk screen dan lukisan. Pemikirannya kelihatan lebih kepada kritikan atau penyampaian moral dan sosial. Karyanya juga tidak mengutamakan bentuk visual yang realistik, namun pesanan yang tertumpu kepada beberapa pihak dan kepentingan ideologinya.

Penulis berpendapat, karya Eiman menggarapkan semula aspek rupa sifat semula jadi yang diolah dengan pengalaman bahasa seni yang bersifat sejagat melalui bentuk, gaya, gerak dan coraknya tersendiri. Karya-karyanya banyak dipengaruhi oleh isu yang melibatkan kritikan sosial.

Setiap karyanya juga menggunakan satira sebagai kaedah untuk menyampaikan mesej sosial tentang perkembangan masyarakat setempat. Beliau seperti tidak kekok untuk terus mencuba dan mencari identiti sendiri.

Tidak ramai lepasan siswazah grafik yang terjun ke dunia seni visual, namun Eiman berjaya mencuri peluang untuk bersama-sama meletakkan dirinya bagi memeriahkan lagi dunia seni tanah air.

Tikam Buyong antara Inspirasi Eiman.

Eiman menggunakan Tikam Buyong sebagai idea asalnya dalam pengolahan karyanya dalam pameran kolektif kampung Batu. Permainan tradisional merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu. Permainan tradisional masih dimainkan, tetapi semakin lama semakin dipinggirkan. 

Tikam buyong merupakan permainan yang cukup popular di Malaysia dan Singapura suatu masa dahulu (era 50an – 70an) dan permainan ini juga boleh dikatakan sebagai permainan rakyat. Walaupun terdapat unsur atau elemen perjudian dan pertaruhan dalam permainan ini, namun yang sememangnya sukar untuk dibendung kerana ia menyeronokkan.

Eiman warna yang sangat terperinci menarik perhatian penulis. Pelukis yang berpengalaman ini berjaya mencipta satu visual menarik untuk dihayati oleh penghayat seni. Dominasi warna- warna terang coklat kekuningan, warna kebiruan dan hijau adalah seimbang dengan faktor harmoni dalam karyanya.

Gaya popular art atau Pop Art yang digunakan oleh pelukis ini mampu memberi kesan unik dan tajam. Keunikan tersebut membuat gaya ini dilihat lebih menarik dan luar pemikiran.

Dia berani dan inovatif dalam mencorak visual dengan menggunakan warna yang ceria dan terang dalam karyanya. Ini menunjukkan terdapatnya pengaruh karya pensyarah Bakir Baharom dan Aizat Amir di dalam karya Eiman. Mereka ini merupakan tenaga pengajar dari bidang grafik di ASWARA yang turut mewarnai dunia seni visual dan antarabangsa. Sentuhan dan gaya pelukis terkenal ini diadaptasikan oleh Eiman dengan penghasilan karya yang tersendiri.

Bicara Seni Bakat Mahasiswa ASWARA Karya Bakat Mahasiswa Eiman , 2021. Sumber Facebook.

Apa yang dilihat dalam seni visual adalah simbol dan lambang yang boleh ditafsirkan tentang kehidupan manusia. Sebelum ini, masyarakat tidak pernah meletakkan kepentingan bahawa setiap simbol dan lambang yang terdapat dalam sesuatu karya seni itu mempunyai makna. Bentuk- bentuk yang dilukis adalah imej yang dikutip daripada alam semula jadi dan manusia.

Untuk memahami karya seni visual, salah satu perkara utama ialah dua objek penting iaitu isi dan makna. Bentuk dalam erti kata seni segala tata cara, pertuturan, peraturan, kaedah dan sesebuah karya seni. Isi bermakna sesebuah lukisan itu. Prinsip rekaan dalam karyanya melibatkan unsur-unsur penegasan, keseimbangan, kepercayaan, kehidupan, sosial. Beliau menerjemahkan karya itu kepada susunan bentuk yang padu terisi.

Eiman menemui 3 konsep peniruan atau imitasi berdasarkan 3 perkara iaitu, meniru alam, pengalaman, meniru keindahan alam. Sebagai kaedah dalam percetakan moden yang melibatkan teknik digital sebagai media transfer, dia menggunakan proses cetak gambar yang direka dan dicetakkan melalui media fisik. Sumber idea pada penciptaan karya seni pop art menjadi suatu hal yang menarik dalam penggunaan teknik digital print.

Keunggulan teknik digital adalah dapat menghasilkan karya yang dibuat dan komposisi warna menghasilkan visual hidup. Pendapat penulis, Eiman telah mengembangkan bakatnya dalam teknik digital print dengan menggunakan rujukan karya seni Pop Art.

Kebesaran Tuhan mencipta alam itu sukar ditafsirkan dengan kata-kata. Apa yang boleh dikaitkan adalah intipati setiap sesuatu kejadian itu. Bagi penulis, karya Eiman berjaya menggabungkan bentuk dan isi atau makna dalam karyanya. Isi dalam konteks catannya adalah luahan emosi dan pengalamanya sendiri.

Menurut Eiman, ekspresi wajah dalam karyanya yang berjudul, ‘Pasti-ke?’merupakan ekspresi dalaman pelukis. Karyanya adalah mengenai kehidupan di mana suatu pertanyaan dari pengkarya kepada audiens. Adakah ia bernasib baik dengan pilihan kita?

Secara keseluruhan, karya Eiman menyatakan perhubungan antara permainan tikam buyong yang dianggap  judi dan aspek nasib di dalam kehidupan. Perjudian adalah suatu permainan yang meletakkan nasib sebagai penentu untuk kemenangan dalam kekalahan judi.

Kebanyakkan individu itu akan berbalah sesama sendiri, berpecah belah serta mengalami masalah kewangan kerana tidak dapat menerima nasib yang ditentukan. Begitu juga dengan aspek kehidupan, individu akan mengejar kemahuan mereka, namun takdir sahaja yang menentukan apa yang terbaik. Sama ada menerima, bergaduh, merapatkan, berpecah belah, itu semua adalah bergantung pada penerimaan individu dalam menghadapi nasib hidup mereka.

Selain itu, Pameran Kampung Batu ini juga mempertemukan artis muda dan menampilkan karya-karya dengan idea yang berbeza, walaupun menggunakan tema yang sama. Pameran ini juga membuka minda kita untuk meneroka, meneliti , menganalisis, memahami, menilai dalam pengalaman sehari-hari dan melalui pelbagai ilmu pengetahuan. Pameran kolektif ini memberikan pengalaman yang sangat berkesan kepada artis muda (pelajar ASWARA).

Penulis juga percaya, pameran ini telah memupuk komuniti di mana penggiat seni dapat menggunakan peluang ini untuk mengembangkan bakat baru atau kepakaran mereka ke dalam industri kreatif. Penulis sangat meminati cara fikirannya yang lebih terbuka dan kebanyakan karyanya bersifat ketuhanan dan kehidupan. Penerokaan terhadap tema-tema baharu yang segar dan memberikan cabaran kepada peminat seni untuk menghayati  karya -karyanya yang lebih mencabar.

Wan Nur Aqmar Zulkifli ialah peserta PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau ,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites