7 years bersama The Impatient Sisters

Kumpulan adik beradik Soraya, Nazeera dan Irena menjadikan muzik sebagai wadah luahan segala isi hati dan naluri yang terpendam dan terbuku di hati.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Dikenali dengan nama pentas mereka “The Impatient Sisters”, gabungan tiga adik beradik yang terdiri daripada Soraya, Nazeera dan Irena yang berasal daripada Kuantan, Pahang ini telah melangkaui dan mengharungi segala onak duri dan badai yang mendatang dalam arena muzik tanah air untuk menghasilkan album kedua mereka 7 Years. Pada hujung minggu ini, mereka bakal mengadakan sebuah persembahan di hadapan barisan keluarga, rakan dan juga peminat yang telah sekian lama menjadi tulang belakang sepanjang kerjaya seni mereka ini. 

“Asal usul nama The Impatient Sisters adalah kerana pada waktu itu, kami tidak sabar untuk berkongsi nyanyian kami dengan kawan-kawan di Facebook,” ujar kumpulan ini. Mereka telah mula berkarya sejak hampir 10 tahun yang lalu dan semuanya oleh kerana minat dan dedikasi mereka terhadap menghasilkan sebuah alunan merdu yang sesuai untuk dihayati oleh segenap masyarakat. “Kami hasilkan muzik kerana kami seronok melakukannya dan muzik merupakan sebuah wadah untuk kami berehat sejenak daripada kehidupan seharian.”

Mereka turut berkongsi bahawa proses menghasilkan sebuah karya seni ini sebenarnya suatu aktiviti yang cukup tenang dan merupakan sebuah terapi yang dapat menyembuhkan luka-luka yang terpendam dalam jiwa secara sedar mahupun tidak. Apabila bertanya pula mengenai apakah niat mereka apabila menghasilkan muzik dan adakah mereka akan meneruskan legasi dan tradisi mereka ini, “selagi muzik masih memberi inspirasi kepada kami, kami akan sentiasa terus berkarya. Bagi kami, apa yang penting adalah kepuasan menghasilkan sebuah karya muzik.”

Album kedua mereka ini berjudul, ‘7 Years’ dan mengandungi 13 buah lagu untuk tatapan semua peminat The Impatient Sisters. Bagi mereka, lagu-lagu yang ada di dalam album ini cukup dekat dan mesra serta mudah difahami. “Album ini merupakan sebuah kompilasi cerita dan juga pengalaman peribadi kami dan ditulis dalam nada perspektif yang lebih matang dalam kedua-dua Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris.” Selain itu, album 7 Years ini merupakan sebuah album yang dihasilkan melalui suntikan dana daripada CENDANA melalui Program Pembiayaan Muzik Independen pada tahun lepas dan telah mengadaptasi jenis muzik independen. 

Ketiga adik beradik ini turut memberi setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan dunia muzik mereka yang telah banyak membantu dalam proses menghasilkan album ini. “Apabila kami mendengar album ini menjadi realiti pada sesi rakaman, perasaan kami cukup gembira,” luah Soraya, Nazeera dan Irena. “Perjalanan muzik kami ini merupakan sebuah pengembaraan. Dari segi penulisan, kami senantiasa mementingkan untuk jujur pada diri sendiri dan setia pada jenis muzik yang kami inginkan.”

Soraya, Nazeera dan Irena semuanya mempunyai kerja harian yang perlu mereka lakukan pada hari-hari bekerja namun komitmen dan ketabahan mereka bertiga ini amat disanjungi. “Menghasilkan muzik amat menyeronokkan dan mengujakan, mungkin itulah penyebab kami masih bersemangat untuk terus berkarya. Kami juga sentiasa melihat kumpulan ini sebagai sebuah projek keluarga buat kami,” kongsi kumpulan wanita independen ini. Mereka juga turut berkongsi pandangan mengenai dunia kreatif tanah air dan bagi mereka, industri ini sentiasa berkembang pesat. “Kami sentiasa teruja melihat perkembangan bakat-bakat di dalam dunia seni pada hari ini. Media sosial juga telah banyak berubah pada hari ini berbanding pada waktu dahulu dan untuk mempromosikan muzik, kita perlu membuat banyak penyelidikan dan penyesuaian kepada peredaran zaman hari ini.”

“Kami amat suka untuk membuat persembahan secara langsung dan kami harap untuk bertemu anda semua di persembahan kami nanti. Kami juga amat teruja untuk memainkan lagu-baru baharu kami dan pada hujung minggu ini akan ada beberapa tetamu istimewa!” kata kumpulan adik-beradik ini. Bagi anda yang ingin mendapatkan tiket, anda masih belum terlambat! Sila layari laman web tiket mereka di Peatix untuk mendapatkan tiket anda sekarang pada harga RM60 jika anda menempah awal dan RM70 jika anda membeli di pintu masuk. Persembahan mereka akan diadakan pada hari Ahad 27 November 2022 jam 8 malam di The Bee, Publika.

Anda juga boleh membaca artikel-artikel lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites