Penghasilan Arca 'The 3 Graces of Malaysia' merupakan luahan perasaan kasih Alice Chang daripada Lai Lai Art Galeri, terhadap Malaysia bersempena Hari Kebangsaan ini.
Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI
Melalui pandangan penulis, seni dilihat sebagai sesuatu yang telah diterokai oleh semua lapisan generasi di Malaysia tidak kira usia, sama ada sebagai hobi mahupun kerjaya. Dalam bidang pendidikan pula, pendedahan terhadap seni semakin luas dan terbuka kepada beberapa cabang mengikut minat dan pilihan masing-masing.
Melalui platform zoom, penulis BASKL berpeluang menemu bual Alice Chang, seorang anak jati Pahang yang meminati seni sejak kecil lagi. Berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan, sewaktu kecil keluarganya tidak berpeluang untuk membeli keperluan bagi menghasilkan seni. Beliau harus menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti melukis menggunakan pasir untuk memenuhi kehendak hatinya.
Kesusahan bukanlah penghalang buat minat dan cita-cita Chang. Di sebabkan kepayahan itu, Chang memilih untuk belajar seni secara sampingan. Setelah menghabiskan banyak masa dalam perniagaan menjual beg dan barangan untuk melancong, pada tahun 2009 Alice akhirnya nekad untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang seni sepenuh masa.
Anak sulung daripada tiga adik beradik ini sangat meminati seni lukisan cat minyak. Baginya lukisan cat minyak mempunyai tekstur yang menarik membuatkan beliau menjiwai hasil seni itu lebih 10 tahun. Pada tahun 2019, Chang mula beralih minatnya kepada seni penghasilanarca (sculpture). Perjalanan seni Chang telah menarik minat penulis untuk terus mendalami jiwa seorang anak seni bernama Alice Chang.
“Selalunya didapur, apabila kita masak, kita sering terpecahkan pinggan mangkuk, dan situasi ini buat saya berasa sayang untuk membuang serpihan kaca ini kerana coraknya sangat cantik. Dari situ tercetus idea untuk menggunakan serpihan ini dipadankan dengan sculpture yang telah saya buat. Saya boleh guna simen untuk lekatkan kaca-kaca ini pada sculpture saya.” Jelas Chang tentang bagaimana dia mula mengalihkan pandangan seni beliau.
Menurutnya, seni repurposed atau upcycle ini sememangnya menggunakan bahan terpakai untuk menghasilkan sesuatu yang baharu. Dari sudut pandangannya sebagai seorang artis, dia melihat karyanya upcycle-nya bagai memberi kehidupan buat kali kedua (second life) buat bahan- bahan yang telah pecah itu. Oleh kerana sayang untuk membuangnya, Chang berasa ini juga sebagai salah satu langkah untuk memelihara alam sekitar dengan cara kitar semula.
Beliau juga mendapat ilham ini daripada lawatannya ke Barcelona beberapa tahun lalu dan melihat hasil seni menggunakan kaca yang pecah untuk membuat hiasan taman dan perabot, sekali gus memberi Alice arah baharu dalam perjalanan kariernya.
Sempena Hari Kebangsaan ke-64, Chang turut berkongsi projek terbaharunya The 3 Graces of Malaysia yang mendapat ilham daripada patung Antonio Canova. Tiga patung ini dinamakan Siti, Ah Lian and Shanti dan setiap satu dari mereka dipakaikan dengan pakaian tradisional hasil tampalan mozek atau kaca yang dibuat dengan penuh teliti. Baginya, wanita memainkan peranan yang penting dan dianggap sebagai unsung hero.
Contohnya seperti seorang ibu yang mengandung, berjuang mempertaruhkan nyawa demi kesejahteraan anaknya dan meneruskan legasi serta zuriat untuk negara kita. Tambahan pula dengan keadaan dunia yang dilanda pandemik, membawa kandungan selama sembilan bulan merupakan perjuangan dan pengorbanan seorang wanita. Seorang kakak pula, sanggup berkorban demi adik-beradik, seorang anak perempuan yang hadir menceriakan ibu dan bapa. Memang tidak dapat dinafikan, peranan wanita adalah amat penting dalam hidup semua untuk memelihara dan menjadi tulang belakang penguat institusi kekeluargaan.
Bagi seorang yang mementingkan kualiti dan kepuasan dalam setiap karya, persiapannya dalam membuat The 3 Graces of Malaysia sebenarnya memakan masa lebih satu tahun, termasuk proses melakar, merancang dan proses untuk menyiapkan arca tersebut. Patung bersaiz manusia ini bakal dipertontonkan di Four Points by Sheraton, Kuala Lumpur.
Selain itu, Chang juga bakal menghantar salah satu arcanya berjudul Aurouch ke Italy untuk dipamerkan di sana sebagai salah satu tanda untuk menaikkan semangat dan menceriakan mereka di sana dalam keadaan dunia yang sedang dilanda pandemik.
Ceria dan mesra nada Chang dalam berkongsi pandangannya apabila ditanya tentang pencapaian tertinggi. Sesungguhnya Chang seorang artis yang sangat rendah diri. Beliau tidak merasakan bahawa perjalanan seninya sudah berada di satu tahap yang memuaskan. Sebaliknya, pada setiap titik pencapaian yang dipandang masyarakat, beliau merasakan bahawa dia mampu menolak dirinya untuk pergi lebih jauh. Kata-kata salah seorang guru seni beliau yang merupakan seorang Professor dari Canada, Yves Larocque, sentiasa bermain difikirannya.
“Alice push a little bit harder, bila you sudah siap satu projek atau gaya, ambil masa untuk melihat karya kamu, jangan tengok dari sudut pandangan yang memuaskan, sebaliknya lihat pada sudut mana yang boleh diperbaiki semula.”
Kejayaan tidak akan datang bergolek, jika tiada usaha dan keinginan, pastinya anda masih akan berada di takuk yang sama. Bagi anda yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Chang, anda boleh pergi terus ke website, Instagram sera Facebook Lai Lai Art.