Terpesona diulit Taman Pesona: Perihal Ketokohan Cik Siti Wan Kembang

Peninggalan Cik Siti Wan Kembang inspirasi buat hasil seni terbaharu Mastura Abdul Rahman dalam 'Taman Pesona' pasti memukau penonton dengan karya yang mendapat ilham dari ikon hebat, lagi kaya dengan nilai-nilai kewanitaan ini.

Oleh FAZRINA JASMIN

“Daku cuma mahu melukis kembali inspirasi dahulu supaya ia terus hidup untuk merangsang kecemerlangan masa kini dan masa depan kita. Di mana lagi kita harus berpijak kalau tidak pada tanah nenek moyang kita?”

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong, Kelantan sekitar April 2021, keterujaan yang pada awalnya memuncak disahut rasa hiba dan sayu, mengiringi setiap detapan langkah dan helaan nafas yang diambil dan dilepaskan berselang-seli. Ingatan Mastura Abdul Rahman terus melayang pada babak terakhir drama sejarah yang ditelaah dan dihayatinya sebelum ini – Paduka Seri Maharaja akhirnya kehilangan tunang yang dikasihi akibat perbuatan khianat pihak musuh. Natijahnya, hanya kijang kesayangan yang ditinggalkan sebagai kenang-kenangan.

Sepanjang pengamatannya di sekitar taman, sungguhpun banyak tinggalan telah musnah, lokasi yang pada mula disangkakan khayalan ternyata benar-benar wujud dan telah diwartakan sebagai salah sebuah kawasan bersejarah oleh kerajaan negeri. Dari awal, impian Mastura tidak lain dan tidak bukan mahu merasai dan menjiwai sisi keperwiraan, ketokohan dan kesan pengaruh Paduka Seri Maharaja Cik Siti Wan Kembang (CSWK) – pemerintah ulung merangkap tokoh legenda negeri Kelantan Darul Naim pada abad ke-17 SM yang dianggapnya sebagai ikon hebat lagi kaya dengan nilai-nilai kewanitaan.

Daripada lakaran mengenai CSWK, hasil kerja tangan suaminya yang juga merupakan kurator pameran, Tengku Sabri Ibrahim, lalu digabungkan dan diperkukuh dengan babak-babak dan perihal drama sejarah CSWK, nukilan Mohamed Zahir Haji Ismail (MZHI) (1992, KL: DBP), maka terhasillah pameran seni visual berjudul Taman Pesona: Lima Catan Baru karya Mastura yang berlangsung dari 15 hingga 31 Ogos 2021, dengan kerjasama CENDANA, Rumah Seni Selangor dan Fakulti Multimedia Kreatif & CISDAC Universiti Multimedia.

Bermula dengan peristiwa di gelanggang silat sehinggalah ke aktiviti pemburuan di hutan, Mastura bijak bermain sentimen dan emosi menggunakan kolaj motif-motif dari batik, songket serta subjek-subjek lama yang bersesuaian dengan tema, lalu dipersembahkan dalam bentuk ilustrasi catan menggunakan bahan campuran di atas kanvas.

Secara umum, setiap satu visual berjaya “dihidupkan” dengan olahan puisi-puisi Melayu lama bagi membolehkan penonton menyelami antara sisi kehidupan CSWK melalui penceritaan peristiwa atau variasi rutin yang sinonim dengan aktiviti hariannya. Seperti yang sering diaplikasikan menerusi karya-karya siri “interior” yang terdahulu, Mastura masih lagi mengekalkan teknik “hard edge” menggunakan pita pelekat bagi memperolehi hasil sapuan warna yang rata dan lurus.

Perincian komponen-komponen utama seperti gubahan, skema warna, lukisan objek alam bercirikan flora dan fauna, corak dekoratif berbentuk seni hias selain pertukangan bercirikan Melayu tradisional juga diperlihatkan menerusi Taman Pesona ini.

“Ke hulu seaib semalu, ke kuala seadat selembaga / ke laut sama seturut, ke darat sama sepakat, / ke tengah seiring langkah, ke tepi seayun kaki, / ke bukit sama bersakit, ke lurah sama bersusah”

  • Pantun pada Catan Dua

Selain gambaran seni pertahanan diri, keberanian dan keperwiraan menerusi Catan Satu (gambar diatas) yang memperlihatkan alatan seperti keris, perisai dan tetuang yang diperbuat dari tanduk kerbau, penonton kemudiannya dibawa kepada persiapan atau pemilihan kumpulan Mak Yong, iaitu sejenis teater tradisional Melayu di istana. Secara peribadi, saya amat senang dengan elemen dekoratif yang disuaipadan dengan keseragaman tona warna dan motif Melayu tradisional yang menghiasi segenap ruang visual.

Catan Dua Taman Pesona pula membayangkan kesepakatan mahupun keseragaman gerak tari ahli-ahli Mak Yong dalam mengasah bakat dan kecintaan masing-masing terhadap bidang kesenian itu sendiri. Peristiwa perebutan durian di dusun buah-buahan menuntut kepada pengadilan yang saksama oleh penguasa atau pemerintah.

Catan Dua

Menerusi Catan Tiga, visual secara simboliknya menggambarkan penjagaan harta benda disusuli dengan bibit pertelingkahan antara dua orang yang berjiran yang akhirnya berjaya diadili secara berhikmah setelah dirujuk kepada CSWK. Penekanan terhadap konsep keadilan dan kebenaran digambarkan menerusi bait-bait nasihat yang mengiringi visual. Imej-imej berkaitan persekitaran mahupun alam benda atau “still-life” yang digabung dan diserlahkan lagi dengan corak-corak batik tampak elegan dan menawan, selain memperkemas dan mengukuhkan lagi gubahan catan yang terpapar di skrin.

“Yang kaya pemurah, yang miskin rajin / Yang berpangkat ingat, yang berkuasa berjasa / Yang tinggi berbudi, yang besar penyabar / Yang senang mengenang, yang kuat cermat / Yang berani berbakti, yang tua amanah / Yang muda menakah”

Catan Tiga
  • Pantun pada Catan Empat

Berlatar belakangkan warna biru yang umumnya sinonim dengan elemen air atau lautan, Catan Empat menggambarkan suasana atau peristiwa yang lazim berlaku di sesebuah jeti. Catatan sejarah menyaksikan kehadiran peniaga atau pedagang-pedagang dari negara luar seperti Tanah Arab, India dan sebagainya. Masing-masing membawa barang dagangan seperti kitab-kitab, buah tamar, buah zaitun, minyak wangi, celak dan lain-lain lagi. Keriuhan aktiviti perdagangan atau urusan jual beli sudah pasti memacu kemakmuran sesebuah kawasan atau negeri di samping menggerakkan proses asimilasi budaya. Mastura cuba menonjolkan keharmonian dan kesepakatan yang barangkali wujud di kalangan masyarakat setempat dalam ruang lingkup peranan yang didukung dan dimainkan oleh setiap entiti tadi.

Catan Empat

Visual terakhir menyaksikan babak penceritaan yang menjurus kepada aktiviti riadah berbentuk pemburuan, khususnya rusa, yang lazimnya mengambil tempat di sekitar hutan. Umum mengetahui masa lapang yang diisi dengan aktiviti-aktiviti lasak yang bermanfaat seperti berburu bukan sahaja boleh menyihatkan tubuh individu, bahkan mencerdaskan fikiran dan mengasah kemahiran, di samping memupuk sifat-sifat terpuji seperti melatih kesabaran dalam diri. Sungguhpun begitu, bersesuaian dengan keterampilan dan keprihatinan yang ditonjolkan oleh CSWK, tabiat beringat-ingat masih dititikberatkan agar kehijauan dan kelestarian alam sekitar tetap terpelihara dan tidak tergugat oleh sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendatangkan kerosakan atau kemudaratan sejagat. Segala tindak-tanduk kita pada masa sekarang membayangkan bahagia atau sengsara yang bakal dikecapi pada masa hadapan. Di sinilah terletaknya “pesona” atau keteladan CSWK yang boleh dijadikan sebagai pedoman dalam kita mengharungi arus kehidupan sehari-hari.

“Beramu tidak merusak kayu / Berotan tidak merusak hutan / Bergetah tidak merusak rimba / Berumah tidak merusak tanah / Berkebun tidak merusak dusun / Berkampung tidak merusak gunung / Berladang tidak merusak padang”

  • Pantun pada Catan Lima
Catan Lima

Dengar podcast BFM “Everyone’s A Critic” disini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites