Temu bual juri Pameran maya Antusiasme + Covid

Oleh Wan NUR AQMAR ZULKIFLI untuk Lensa Seni

Dalam keadaan pendamik yang kian meningkat tahun lalu, seni mungkin dianggap sepi, dengan kurangnya aktiviti serta pameran seni untuk dipertontonkan kepada khalayak umum. Sememangnya, impak Covid-19 sangat memberi kesan terhadap industri, termasuk bidang seni kreatif. Kegusaran tentang merosotnya ekonomi ini bukan hanya dirasai oleh ahli perniagaan tetapi seniman serta artis seni visual juga terkait sama. Hal ini mungkin berlaku disebabkan kurangnya pendedahan tentang seni itu sendiri.

Oleh itu, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang mengambil pendekatan untuk melakukan pameran secara dalam talian sebagai alternatif terbaik untuk memberi peluang kepada industri seni bagi berkongsikan karya mereka.  Dengan adanya platform sebegini, ia membuka ruang bagi menaikkan lagi martabat industri seni khasnya dalam kalangan masyarakat dan artis muda.

Usaha ini diwujudkan untuk menyokong perjalanan seni dan memberikan peluang serta ruang bagi mereka yang bersemangat dalam menghasilkan karya seni atau karya kreatif dengan lebih baik pada masa akan datang seterusnya dapat menonjolkan bakat yang terpendam dalam kalangan para pengkarya baru.

Dengan menghimpunkan sejumlah 25 hasil karya dari para artis baru dan pelajar institusi. Inisiatif ini juga dijalankan bagi mendekatkan seni dengan masyarakat. Ternyata pameran ini telah memberi kesan yang positif bukan sahaja buat pengunjung, namun buat pelukis, seniman dan peminat seni terutamanya dalam dunia yang sedang kemurungan menghadapi pendamik ini.

Penulis menemu bual Mohd Safwan yang merupakan juri bagi Program Antusiasme.

Dikesempatan ini, penulis dapat menemu bual Mohd Safwan, yang merupakan antara juri bagi Program Antusiasme. Menurut Safwan, pameran seni visual secara maya ini menjadi medium untuk berinspirasi dan bereksplorasi dengan berfikiran secara luar kotak serta dibantu oleh elemen dan prinsip seni.  Ia merupakan medium terbaik untuk eksperimentasi dengan bahan, teknik, imaginasi, kreativiti sebelum individu itu mengambil keputusan untuk ke peringkat akhir dalam penghasilan karya mahupun reka bentuk. 

Selain itu, ianya juga untuk memberi ruang yang luas kepada penggiat seni agar tidak terpinggir sunyi dan industry seni perlu belajar untuk membudayakan norma yang baharu agar kita boleh meningkatkan lagi perkembangan seni dengan sebaiknya.

Menurutnya, penggunaan media social merupakan kaedah terbaik buat masa ini dan pasca PKP untuk galeri serta artis muda dalam mencapai peminat karya mereka kerana pameran fizikal tidak dapat diadakan. Safwan turut menegaskan dan berharap agar para artis tidak berputus asa dan kecewa hingga tidak lagi menghasilkan karya kerana tidak ada pameran secara fizikal.

Berdepan dengan keadaan ekonomi yang kemungkinan merundum teruk akibat pandemik Covid-19 ini, Fakulti Seni Halus ASWARA sentiasa membantu para artis untuk memberi peluang dalam menyerlahkan bakat yang ada.  Penggiat seni seharusnya diberi peluang dan ruang untuk mereka berkongsi wadah kesenian mereka kepada masyarakat.

Kita sebagai rakyat juga harus sedar bahawa di waktu ini penggiat seni adalah permata negara dan seharusnyalah mereka dihargai dan diangkat sebagai duta kecil bagi memperkenalkan Malaysia dimata dunia, khususnya artis baru untuk meneruskan usaha kemajuan seni Negara.

Safwan juga percaya pelukis atau penggiat seni seharusnya mengadakan pameran sebegini kerana dari situ mereka dapat mengukur kadar banding negatif dan positif, kondisi ruang, perspektif atau sebagainya yang mempunyai nilai estetika tersendiri.

Dia akur bahawa pandemik memberi cabaran getir kepada usahanya, bukan sahaja dalam mengembangkan karya. Malah ia juga telah memberi tamparan terhadap kerjayanya sebagai seorang pensyarah, terutamanya dalam pembelajaran dan pameran secara fizikal.

Sebagai usaha untuk menyokong pemain industri tempatan, Safwan juga berharap, walau apa sekalipun halangan dan kekangan, pameran sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memudahkan usaha memajukan seni visual Negara. Perhargaan kepada seni atau apresiasi seni juga merupakan satu kritikan seni dan merupakan asas disiplin yang memerlukan penglibatan sepenuhnya dari semua pihak.

Battle of Existence Series: EP 1 “Final Attack! Independence Beam!”, oleh Ammar Idris, 2021.

Contohnya apabila menghayati karya Ammar Idris, kita dapat merasai kesan-kesan dramatik terhadap catan itu. Melihat kepada gerak aksi dan postur badan yang dihasilkan oleh karakter utama telah diterap olehnya dan secara tidak langsung semangat tidak putus asa yang dibawa Amar dalam hasil karyanya mampu diterap ke dalam jiwanya.

Watak Ultraman telah memberi Antusiasme kepadanya dalam membantu menghadapi situasi pandemik dan perjalanan karier beliau sebagai seorang seniman visual. Selain itu, beliau juga ingin membuat interpretasi peribadi terhadap makna kemerdekaan sebagai satu bentuk peringatan kepada diri.

Simbol- simbol yang dilukis mempunyai pelbagai rujukan alam semula jadi.  Kombinasi yang tepat dan serasi terhadap subjek yang dipilih itu menjadikan karya seni ini menarik untuk dipandang. Pelukis tidak menitikberatkan keseimbangan dalam catan ini. Apa yang dipentingkan adalah kombinasi warna, susunan bentuk, jalinan dan pengolahan imej yang tepat.

Sudah pasti penambahan idea, konsep dan kreativiti dapat di lihat menerusi karya-karya yang dipamerkan oleh peserta. Bagi memastikan karya-karya terbaik dan bakal menjadi pendorong kepada para penggiat seni lain untuk lebih maju dan berdaya saing dalam menghasilkan seni visual.

Raja Nur Sazlin, Listening Music, 2021.

Selain mengetengahkan kekuatan visual, ia juga bertujuan untuk mendidik dan menyatakan aras pemikiran penyampai ilmu seni visual berlimitasikan pemikiran kreatif setiap peserta. Pandangan Safwan, setiap karya yang dipamerkan mempunyai idea visual yang berbeza-beza namun ia disertakan dengan konsep dan kepakaran setiap individu. Pendapat Safwan lagi, semua orang boleh berkarya dengan baik tapi belum tentu karya itu memenuhi prinsip dan elemen seni itu tersendiri. Di mata juri amat penting prinsip dan elemen seni itu diterapkan dalam penilaian karya yang berjaya.

Pihak juri juga sangat mengagumi setiap karya yang dihasilkan peserta, termasuklah karya oleh Balqis Bakri (Gambar utama). Penglibatan karya berbentuk fotografi dan seni cetak menjadikan pameran ini sebuah pameran yang diversiti, di mana ia melibatkan teknik dalam berkarya seperti teknik timbulan asemblaj, kolaj dan digital.

Penggunaan bahan kering seperti pen mata bola, pensil dan juga arang pula menjadi pilihan pengkarya Raja Nur Sazlin, yang merupakan salah seorang pemenang dalam projek ini. Dalam karya ini, artis mengaitkan warna dengan psikologi. Dia menggunakan warna oren dalam karya seninya kerana mengikut psikologi warna, ia adalah warna kegembiraan dan kreativiti. Oren menggalakkan warna umum yang harus dikongsi, seperti belas kasihan dan kemesraan. Garapan teknologi dalam berkarya juga diketengahkan di dalam pameran ini dalam bentuk media baru. Tidak kurang juga seni cetakan yang menggunakan teknikal monoprint, tekapan ‘woodcut’ dan cetakan digital seperti karya Awal Sabri yang bertajuk Nostalgia “Mok“.

Awal Sabri, Mok, monoprint, 2020.

Menyedari bahawa terdapat golongan individu yang mungkin hanya ingin melakukan lebih daripada sekadar menghasilkan, memperolehi, melihat seni, dan berkongsi idea, maka projek Antusiasme merupakan platform yang sesuai secara komprehensif menyediakan keperluan tersebut. Berkongsi secara langsung dari pengkarya dan penggiat seni lainnya untuk melihat karya-karya dalam aplikasi ArtStep dapat membuka ruang hubungan dan menggabungkan rangkaian komuniti yang lebih luas secara atas talian.

ASWARA sentiasa mengalu-alukan kerjasama semua pihak selagi ianya bersesuaian dengan kehendak ilmiah dan bertujuan mengembangkan lagi sayap kesenian negara. Pameran sebegini bukan sahaja akan meningkatkan kefahaman umum tentang seni, malah menajamkan lagi kreativiti pengamal-pengamal seni visual di tanah air kita. Lanjutan ini, usaha pihak Fakulti Seni Halus, ASWARA memenuhi hasrat untuk kita menghargai dan mencintai hasil seni kreatif tempatan tanpa mengira agama, bangsa, mahupun gender.

Kesimpulannya, pameran ini secara tidak langsung membawa peranan yang sangat penting untuk membentuk inspirasi sosial bagi masyarakat terutamanya penggiat seni muda. Namun begitu, anak seni perlu memberi penekanan dan hala tuju yang tepat supaya persepsi budaya dapat diterapkan dengan nilai-nilai estetika dalam penghasilan karya.

Wan Nur Aqmar merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021.

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau ,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites