Simposium Muzik Ipoh, IMS2022 PORT bawa tema Pop 60-an

Simposium Muzik Ipoh kali keempat yang disusun kemas oleh People of Remarkable Talents (PORT) ini berlangsung selama tiga hari bermula 21 Oktober 2022.

Oleh NABILA AZLAN

“Tiada yang baru tanpa yang lama,” sejenak kata-kata dari Nur Hanim Mohamed Khairuddin, pengurus besar PORT atau People of Remarkable Talents yang berpusat di Ipoh, Perak selaku tulang belakang Simposium Muzik Ipoh 2022 (Ipoh Music Symposium 2022 atau IMS2022) ini. Dalam mengenali serba sedikit tentang program-program menarik yang dihimpunkan buat acara ini, BASKL berbual bersama Hanim diiringi pengurus projek, Zulhamizan Samsudin (Mizan).

Seperti tahun-tahun sebelumnya, IMS2022 merupakan acara hibrid yang merangkumi bengkel muzik, forum dan sesi perkongsian bersama nama-nama yang cukup dikenali bukan sahaja dalam industri seni tanah air tetapi juga dari negara-negara seberang! Bertujuan untuk mewujudkan suasana berhibur sambil berilmu, simposium yang turut memuatkan pameran dan konsert serta pesta mini ini memakan masa lapan bulan untuk siap sepenuhnya. Simposium ini menyediakan peluang yang bernas buat para penyelidik, ahli akademik dan penggiat seni untuk berhimpun dalam pertukaran buah fikiran. Namun begitu, IMS2022 bukan untuk warga akademik sahaja – ia terbuka untuk semua peminat muzik! Pada tahun ini, pengunjung akan disajikan dengan Konsert Malam Pesta 60-an pada malam kedua simposium ini yang bertempat di Auditorium RTM Perak.

Tahun 2022 merangkap tahun keempat penganjuran simposium ini dan kali ini, PORT menggunakan Pop 1960-an: Emulasi, Revolusi, Legasi sebagai tema utama. Jelas Hanim lagi, “Tunjang utama IMS2022 adalah pembentangan makalah oleh lebih daripada 20 orang ahli akademik, penggiat dan peminat muzik dan budaya yang akan menyentuh bermacam-macam aspek berkaitan muzik pada era 1960-an. Setiap kertas yang dibentangkan akan dikumpulkan buat tujuan penerbitan pada tahun hadapan.” Buat pengetahuan umum, PORT setakat ini telahpun menerbitkan buku untuk tiga edisi terdahulu, iaitu muzik independen, rock kapak dan Nusantara.

Tidak dinafikan lagi, IMS2022 terdapat keistimewaannya yang tersendiri, termasuklah ucaptama program yang akan dibawa oleh maestro muzik tempatan iaitu Datuk Johari Salleh. Penyelidik bebas, kolektor dan DJ dari Amerika Syarikat, Carl Hamm akan turut menayangkan dokumnetarinya yang bertajuk Pop Yeh Yeh: Documenting The Golden Age of Pop Music in Singapore and Malaysia!

“Dengan tema yang berlainan ini, kami berjaya melibatkan ramai seniman veteran. Banyak maklumat yang dapat diperolehi dari segi pensejarahan muzik tempatan,” kata Hanim. Barisan para pembentang yang akan menyumbangkan idea dan berkongsi pengalaman antaranya merupakan pemuzik, jurnalis, pensyarah dan pengkritik seni yang masing-masing membawa nilai tambah buat arus progresif negara.

Kekangan dan cabaran semestinya lumrah penganjuran acara. Mengikut Hanim dan Mizan tentang belakang tabir penyusunan IMS2022, PORT menghadapi permasalahan besar dalam mengunci dana yang mencukupi bagi mengatur program berimpak tinggi seperti ini. Kurangnya ruang persembahan berkapasiti besar pada masa berlangsungnya acara ini turut merumitkan keadaan, namun kata Hanim, “Sokongan kerajaan negeri dan MOTAC amat memadai.” IMS2022 turut disempurnakan dengan semangat orang-orang kuat program ini, iaitu penasihat IMS2022, Dr Raja Iskandar Raja Halid dan anggota Gerakan Seni Ipoh yang terdiri daripada ahli-ahli seni yang mahir dalam pelbagai cabang dan bidang.

Orang ramai yang berminat untuk menambah ilmu pengetahuan mereka tentang pengaruh dan perkembangan muzik di rantau ini semestinya dijemput hadir! Pemahaman tentang evolusi muzik ini sememangnya untuk dikongsi.

IMS2022 berlangsung selama tiga hari iaitu 21 – 23 Oktober 2022. Info lanjut ada di laman Instagram PORT.

Anda juga boleh baca artikel lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites