Siapa Si Pembunuh? Teka-teki di Teater ‘BODY X: The Culprit’

BODY X: The Culprit adalah produksi teater digital unik yang melibatkan anda dalam penyelesaian sebuah misteri pembunuhan.

Oleh ADRIANA NORDIN MANAN

Bersempena George Town Festival (10-18 Julai), teater maya BODY X: The Culprit menjamu penonton dengan persembahan yang menggabungkan misteri dan interaksi audiens yang membuat kita tertanya-tanya kesudahan sebenar sehingga saat akhir.

Dibawa oleh BODY X Productions dari Singapura, BODY X: The Culprit disuaikan kepada pelantar Zoom mengikut keperluan semasa. Pada persembahan asal tahun lalu di Singapura, persembahan berlangsung di The Arts House, bangunan Parlimen lama yang kini menjadi lokasi persembahan pelbagai disiplin. Namun, boleh dikatakan yang medium digital di versi terkini tidak menjejaskan peluang audiens untuk diulit rapi oleh rentetan kisah yang dipersembahkan.

Bertempat di sebuah kopitiam kecil di Singapura, persembahan berlatarkan tempoh krisis ekonomi pada tahun 1980-an ini bertitik tolak dari misteri pembunuhan seorang pelanggan di premis kopitiam tersebut. Peter Lim, dikenali juga sebagai Pelanggan Lama, ditemui mati pada suatu pagi dengan mulut yang berbuih, dipercayai akibat diracun.

Persoalannya adalah: siapa yang membunuhnya? Bermula dari situ, kita dipelawa  menjadi detektif Zoom, dan babak demi babak, diperkenalkan kepada konflik yang menghubungkan Peter Lim dengan para pekerja kopitiam. Ramai rupanya seteru Peter, seorang yang berperangai agak memualkan dan tidak beradab. Tauke, Adik Tauke, Makcik Kopi, Penjual Mi, dan Gadis Arak masing-masing ada sebab untuk tidak berpuas hati dengan Peter.

Berpandukan niat untuk tidak mendedahkan “spoiler”, kita beralih sekarang kepada ulasan tentang teknologi dan kejayaan pasukan kreatif dalam menghidupkan efek dimensi ruang khususnya. Perhatian audiens tidak terganggu, jauh sekali lesu seperti yang kadang-kadang berlaku apabila menonton teater di layar dua dimensi.

Umumnya, kejayaan ini bertunjangkan penggunaan teknologi yang bijak dan membantu meningkatkan pengalaman audiens.

Di ruang utama persembahan iaitu bilik Zoom utama, audiens yang berhimpun diberi arahan jelas untuk mengambil masa dan memasuki ruang persembahan (bilik Zoom) yang lain, yang persis ruang sebenar yang ditemui di mana-mana kopitiam. Ada Gerai Mi, Meja Kaunter Juruwang, Lorong Belakang dan Meja Bulat di mana konflik-konflik kecil dipersembahkan, membantu kita menggarap dinamik perhubungan antara watak sekaligus membina teori masing-masing tentang identiti si pembunuh.

Selain skrip yang mantap dan barisan pelakon yang cekap, kehadiran watak pengisah iaitu Inspektor Polis membantu menerangkan konteks kejadian dan alat bantuan yang tersedia, seperti tanda “X” di skrin untuk memaklumkan audiens yang akan ada pergerakan keluar watak dari ruang tontonan. Oleh itu, audiens tidak terkapai-kapai dalam menelusuri ruang penceritaan.

Sebelum persembahan bermula, masa juga diperuntukkan untuk membaca borang saksi jenayah yang dipaparkan di skrin, supaya kita sedikit sebanyak dapat memahami kisah latar setiap watak dan tercetus minat untuk mengikuti apa yang bakal berlaku. Keputusan juga diletakkan di tangan audiens untuk memilih ruang persembahan yang dilawat, lalu memilih plot sampingan yang ditonton.

Pergerakan kamera memberi perspektif audiens yang mirip pemain di permainan video berperanan, di mana kita berasa diri bergerak ke setiap ruang dan menjadi saksi senyap persembahan.

Interaksi sesama audiens dan interaksi audiens-penganjur juga dijayakan melalui tempoh diskusi di tingkap sembang, di mana pelbagai teori dan hujah dibentangkan olah audiens yang masing-masing bersemangat menegakkan perspektif masing-masing. Di akhir persembahan, setiap audiens diberi pilihan untuk mengundi satu watak, dan identiti sebenar pelaku akan dikongsi melalui e-mel seminggu selepas persembahan. Sekadar berkongsi, pada persembahan yang ditonton penulis, Gadis Arak mendapat undi terbanyak, termasuk dari penulis.

Unsur seni dan teknologi seperti berdansa dengan koreografi mahir di BODY X: The Culprit, menjanjikan pengalaman teater yang tidak mungkin dilupakan.

BODY X: The Culprit berlangsung dari 10-18 Julai, pada waktu 8pm. Persembahan dalam Bahasa Mandarin, dengan sarikata Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris. Tiket boleh didapati di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites