Bina keyakinan anak kecil dengan mencuba perkara baharu. Jxi tidak gugup menjadi wartawan cilik buat pertama kali.
Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI
Bakat kanak-kanak harus diasah agar mereka dapat dicorak di awal usia. Selain dapat mengesan kebolehan mereka dari kecil, ia sedikit sebanyak dapat membina keyakinan diri serta memberi ruang buat mereka, melalui kitaran pembelajaran iaitu melakukan kesilapan dan memperbaiki diri.
Dalam Seni Cilik yang terakhir ini BASKL telah memilih Leong Jxi, 6 tahun, untuk menjadi wartawan cilik kami dan membuat liputan berkenaan cara pembuatan kostum kepala singa. Jxi merupakan cucu kepada seorang pembuat kostum tarian singa yang terkenal, Siow Ho Phiew atau lebih dikenali dengan panggilan Master Siow. Di usia yang sangat muda si cilik ini kelihatan terlalu tenang dalam mengeluarkan bait-bait kata dari mulutnya walaupun jelas kelihatan dia sebenarnya pemalu.
Sejujurnya pernah beberapa kali penulis bersua muka dengan Master Siow, nama yang tidak asing lagi dalam dunia tarian naga dan pembuatannya. Namun ini merupakan pertama kali melihat Jxi menambat hati datuknya dengan gelagat si cilik ini.
“Ya saya faham apa itu tarian singa, pembuatan kepala singa dan badanya, apabila siap dibuat ia akan dimainkan sewaktu perayaan Tahun Baru Cina,” kata Jxi bersahaja walaupun kelihatan agak malu apabila ditanyakan melalui perbualan Zoom kami.
Katanya dia tahu bahawa datuknya seorang pembuat kepala singa yang terkenal, mungkin kerana sering diberitahu keluarga dan melihat datuknya bekerja. Menurut Jxi, selepas menjadi wartawan cilik dia lebih mengetahui akan cara pembuatan kepala singa.
“Sekarang saya tahu Gòng Gòng (Datuk) membuat kepala singa dan badanya. Setiap singa mempunya reka bentuk yang berbeza dan tanduknya pun lain,” tambah Jxi yang berkongsi pengalaman pertamanya dalam menemubual atau menjadi wartawan cilik.
“Saya seronok bercakap depan kamera dan suka untuk temu buah bersama Gòng Gòng (Datuk), kerana saya rasa ia menyeronokkan dan saya belajar banyak perkara. Apabila saya besar saya nak jadi penyanyi dan membuat persembahan dengan Atok,” kata Jxi lagi.
BASKL juga sempat menemuramah Siow Hooi Leng, 39 tahun ibu kepada Jxi yang merupakan generasi kedua dari keluarga seni pembuatan kepala singa yang dibina Master Siow. Walaupun tidak mewarisi kerjaya bapanya, Siow mempunyai pegangan yang tersendiri.
“Sebagai seorang ibu saya berasa keutamaannya adalah minat. Jika dia menunjukkan minat terhadap seni ini dan ingin meneruskan legasi bapa, saya mesti akan menggalakkannya, tiada guna untuk kita menyuruhnya tetapi dia tidak mempunyai minat.”
Siow menambah, untuk masa sekarang apabila ditanya minat Jxi lebih kepada menyanyi, namun dia tetap akan menyokong apa sahaja pilihan dan minat anak-anaknya.
Bercakap mengenai keberanian Jxi, walaupun kelihatan malu namun keberaniannya untuk bercakap dihadap kamera buat pertama kali dianggap suatu yang positif buat Siow.
“Mula-mula saya juga sedikit terkejut kerana Jxi sukarela bagi melibatkan diri untuk menjadi wartawan cilik ini. Apabila kami tunjukkan skrip, dia boleh dengar dan cuba untuk hafal skrip.”
Pastinya terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki tetapi untuk cubaan yang pertama Siow berasa bahawa ia adalah cubaan yang baik kerana pada usia Jxi dia juga tidak berani untuk bercakap di hadapan kamera. Semestinya ini merupakan pengalaman yang baik untuk kanak-kanak di usia 6 tahun seperti anak sulungnya ini.
Dalam dunia yang semakin hari semakin pantas bergerak dengan arus kemodenan zaman, penulis BASKL merasakan bahawa Jxi sememangnya bertuah mempunyai seorang Datuk yang merupakan legasi yang dikenali di Malaysia mahupun luar negara dalam bidangnya.
Dalam berkongsi pada orang ramai, saya juga terpanggil untuk menyatakan bahawa kanak-kanak zaman sekarang perlu diterapkan elemen asal usul, tradisi dan budaya dalam diri mereka. Kalau bukan kita yang hendak menanam rasa ini pada mereka, siapa lagi? Kerana usaha kita hari ini, menentukan masa depan negara dalam hala tuju warisan seni kita. Tanpa kita mengajar anak kecil ini, budaya kita mungkin bakal lapuk ditelan zaman.
“Saya harap tradisi ini akan pergi lebih jauh, ayah saya memulakan ini dari hasil titik peluhnya sendiri. Ya memang asal usulnya daripada China, tetapi ayah saya telah mula dari usia yang muda, dan meletakkan banyak usaha dan tenaga dalam membuat penyelidikan dan akhirnya memulakan kumpulan ini di Malaysia, yang mana ia telah di ubah dengan gaya tersendiri supaya lebih mencerminkan Malaysia. Apabila kita lihat hasil ayah saya, kita akan tahu ia dari Malaysia,” tambah Siow yang bangga berkongsi tentang kerjaya ayahnya.
Sungguh mengagumkan, di usia ayahnya mencecah 66 tahun,dia kekal berada dalam industri seni persembahan tarian singa dan empayar yang dibinanya sejak lebih tiga dekad yang lalu.
Master Siow juga berkata: “Saya gembira dapat kongsikan kemahiran yang saya ada kepada rakan dan keluarga. Saya juga gembira dapat luangkan masa bersama Jxi dan seronok melihat dia bertanya tentang budaya ini.”
Keluarga Siow berharap usaha ini dapat diteruskan supaya dapat menyampaikan budaya ini kepada semua lapisan masyarakat sama ada dalam mahupun luar Malaysia. Seringkali orang luar mengenali kita kerana makanan, namun sebenarnya banyak lagi budaya kita yang menarik untuk dipertontonkan kepada semua. Generasi seterusnya juga perlu ada pembaharuan untuk meneruskan seni dan budaya ini.
Dikesempatan ini juga, kami dari BASKL ingin mengucapkan Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia buat semua! Kitalah yang patut membentuk mereka dari kecil agar mereka mengenali dan menghargai budaya. Biarkan mereka berimaginasi dan mengenal dunia, supaya mereka mengembangkan bakat dan pengetahuan mereka.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Master Siow anda boleh layari laman ini atau klik di sini. Dan bagi anda yang berminat untuk menonton kesemua siri Seni Cilik, anda boleh menonton di BASKL Seni Cilik.