Semangat Gawai dan Kaamatan di Semenanjung selama tiga hari

Borneo Native Festival berjaya menarik tiga kali ganda pengunjung berbanding tahun lepas.

Oleh DANIAL FUAD

Ahad lalu, Borneo Native Festival (BNF) telah melabuhkan tirainya setelah tiga hari berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Ini merupakan tahun kedua festival anjuran SukaSeni diadakan dan ia bertujuan mempromosikan budaya serta kesenian tradisional masyarakat Sabah dan Sarawak. Rafie Syazwan Apandi, presiden SukaSeni telah menyatakan sebab di sebalik pengajuran BNF ini, “kebelakangan ini kita dapat lihat pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi oleh golongan pengamal seni kraf Sabah dan Sarawak dalam mempromosi bakat mereka kerana kekurangan permintaan di sana.”

Festival tiga hari ini sarat dengan pelbagai aktiviti seperti bengkel yang diusahakan oleh Universiti Malaysia Sarawak, persembahan muzik dan juga pertandingan tarian, ratu cantik dan juga sape. “Kita melihat apa yang relevan dengan anak muda sekarang dan kami membuat pengisian aktiviti yang menarik untuk mereka. Dengan mengadakan pertandingan menari contohnya, tentu banyak universiti akan turut serta dan sedikit sebanyak mampu memberi penari-penari muda ini dedahan yang lebih luas. Barisan penyanyi juga kami pilih untuk memberi ruang bagi mereka yang masih muda dan baru meningkat naik,” ulas Rafie. Turut tidak dilupakan adalah reruai jualan yang disertai oleh 84 peniaga.

Beliau menambah, “Walaupun nama festival adalah Borneo Native Festival, tetapi kami juga ingin meniup elemen moden untuk menarik minat orang muda kerana tidak semua boleh menerima konsep tradisional sepenuhnya terutama dengan kemunculan bermacam unsur barat. Contohnya, kami telah memanggil seorang penyanyi yang walaupun tidak menyanyikan lagu tradisional tetapi ada menggunakan elemen sape dalam lagunya.”

“Bagi saya, kita tidak boleh berseorangan jika ingin menganjurkan festival jadi kamdi SukaSeni cuba sebaik mungkin untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak,” ulas Rafie. Untuk festival kali ini, SukaSeni telah bekerjasama dengan beberapa rakan industri seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, MyCreative Ventures, Sabah Tourism Board, TikTok dan juga Pasar Seni.

Untuk tahun lepas, BNF telah menerima sehingga 24,000 pengunjung sepanjang tiga hari di sana, untuk tahun ini pula, Rafie telah menyatakan, “Kami telah menerima hampir 13,000 pengunjung untuk hari pertama dan 19,000 pada hari kedua. Hasil jualan tahun ini masih belum diterima tetapi untuk tahun lepas kita berjaya mengumpul RM300,000 daripada 70 lebih usahawan.” Semestinya satu sambutan yang sangat meriah kerana menurut laman Instagram SukaSeni, seramai 72,000 orang telah hadir selama tiga hari festival tahun ini berlangsung, tiga kali ganda daripada tahun lepas.

Mengulas tentang peluang hadir melalui BNF ini, Rafie berkongsi tentang festival tahun lepas, “kita telah memberi subsidi empat reruai untuk pelajar Unimas dan mereka telah mendapat perhatian daripada pereka fesyen tersohor, Melinda Looi dan beliau telah bekerjasama dengan mereka untuk mendapatkan bahan untuknya.”

“Untuk penjual juga, ada di antara mereka yang telah mendapat peluang untuk membuat servis dropship di Semenanjung malahan ada juga yang telah membuka kedai sendiri di sini,” tambahnya lagi.

Menurut Rafie, apa yang beliau harapkan melalui festival ini adalah, “Secara umumnya, saya harap para pengunjung dapat lebih mendalami kebudayaan yang ada di Borneo. Melalui festival ini, diharapkan mereka dapat lebih cakna tentang muzik, pemakaian, makanan malahan dialek kami dan ia juga sejajar dengan kempen Malaysia Madani untuk meraikan kepelbagaian.”

Tambahnya lagi, “Di mana saja anda berada, janganlah lupa dengan tradisi akar umbi budaya kita dan sentiasa bawalah ke mana saja anda berada. Bukanlah kita perlu menghidupkannya setiap hari, tetapi cukuplah dengan mengetahui sedikit sebanyak tentang kesenian tradisional kita.”

Setelah selesai tiga hari berkampung di Pasar Seni, kini SukaSeni sedang merancang program seterusnya yang merupakan kesinambungan daripada tahun lepas juga iaitu Youth Craft for Asians. “Kami bercadang untuk menganjurkannya lagi pada bulan Oktober tahun ini tetapi dalam skala yang lebih kecil. Terdapat penyertaan daripada Indonesia, Filipina dan Thailand tahun lepas dan kami berharap tahun ini juga sama walaupun lebih kecil tetapi kami masih lagi ingin menyampaikan mesej utama mempromosi kraf terutamanya Malaysia,” Rafie memberi komen.

SukaSeni merupakan sebuah persatuan yang berdaftar di bawah Registrar of Society (RoS) semenjak tahun 2019 di mana mereka merupakan sebuah organisasi yang menumpukan usaha membangunkan kraf dan aktiviti kebudayaan dalam bentuk acara seperti bengkel, pasar dan festival. Untuk maklumat lanjut berkenaan mereka dan sebarang kemaskini tentang acara mereka, boleh layari Facebook dan Instagram mereka.

Ikuti kisah menarik yang ada di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites