Oleh NABILA AZLAN
Sempena satu dekad MyCreative Ventures (MyCV) Sdn Bhd sejak penubuhannya pada tahun 2012, banyak yang telah dikecapi bersama. 10 tahun bukan suatu masa yang singkat – namun bila dilihat pada sudut dan peluang yang ada untuk mengangkat industri seni di Malaysia, tempoh ini sarat dengan nilainya. Di sinilah perlunya keutuhan semangat keluarga MyCV dengan barisan penggiat seni berbilang disiplin demi menyumbang kepada prestasi industri ini!
MyCV yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan dibentuk melalui gerak kerja Kementerian Komunikasi dan Digital ditubuhkan untuk menyemarakkan industri kreatif tempatan melalui pekerjaan, seterusnya meningkatkan status industri ini melalui kesedaran umum dan impak sosial. Kata Noor Azmi Mat Said, iaitu pengerusi kumpulan MyCV dalam ucapannya sewaktu majlis ini berlangsung,
Pada 13 Disember 2022, keluarga MyCV telah mengadakan majlis sambutan satu dekad ini di Rumah Tangsi yang bertempat di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Bersama memeriahkan suasana dan menjadi sebahagian besar sambutan ini, Majlis Ulang Tahun Ke-10 MyCreative Ventures yang bertemakan ‘Together: Shaping A Creative Future’ telah dihadiri oleh rakan-rakan industri – ahli-ahli media, para penggiat seni, budaya dan warisan, golongan pemikir dan perintis, serta wakil-wakil dari badan kerajaan dan swasta yang telah saban tahun menyalurkan sokongan dan pendapat. Di kesempatan inilah wajah-wajah yang bersama bergandingan tangan berpeluang untuk beramah mesra dalam sambutan yang sama!
10 tahun yang disambut ini melihat kepada 10 cabang seni selaku teras utama yang dibangunkan oleh keluarga MyCV, iaitu seni visual, muzik, persembahan (performing arts), fesyen, seni budaya dan tradisi, sastera, penerbitan kandungan, seni reka, pendidikan seni kreatif dan seni kulinari.
Dengan ini, tentunya sambutan ulang tahun ini tidak lengkap tanpa persembahan dan pameran dari penggiat seni tempatan!
Pada malam itu, hadirin majlis disajikan dengan persembahan istimewa iaitu nyanyian, tarian dan persembahan muzik dari Orang Orang Drum Theater, Alun Tradisi, Nyala Dance Theater, Misha Omar, Claudia dan Ning Baizura.
Di tingkat atas Rumah Tangsi pula, hadirin boleh menjamu mata dan jiwa dengan alatan muzik buatan ‘luthier’ tempatan, Jeffrey Yong, serta pameran seni kecil ber{SEMANGAT} yang memaparkan barisan beberapa orang artis seni visual yang makin meningkat naik.
Sedekad pencapaian kumpulan MyCV dapat dilihat melalui tiga komponen besarnya iaitu CENDANA, RIUH dan BASKL! Sejak penubuhannya, bantuan seni berupa geran, pinjaman dan pelaburan yang disalurkan melebihi RM500 juta, dengan lebih 10 ribu anak seni merangkap penggiat dan ahli niaga dalam industri mendapat faedah ini.
Geran saluran CENDANA (Cultural Economy Development Agency) yang disatukan dalam kumpulan besar MyCV pada tahun 2016 yang melebihi jumlah RM100 juta (bersama-sama program PENJANA) telah mengangkat pekerja dan pengamal seni merentasi segmen dah disiplin. Melalui kerjasama CENDANA dapat kita saksikan susunan kreatif seni budaya (seperti Panggung Rakyat yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2019). Pada tahun yang sama, RIUH disatukan dalam kumpulan yang sama dan pada Ogos 2017, acara RIUH In The City yang pertama telah diadakan. Tahun ini, rata-rata di Malaysia dapat menyaksikan dan menjadi sebahagian daripada sambutan seni yang digelar Kembara RIUH! Masing-masing membawakan persembahan, perniagaan, bengkel dan sebagainya demi mendekatkan jurang antara masyarakat dan seni.
Tidak dilupakan juga, BASKL – laman seni yang anda kenali pada hari ini atau nama penuhnya Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur ditubuhkan dan diperkenalkan pada tahun 2020. Dari tahun 2021, kumpulan editorial BASKL gigih dalam membawakan anda berita dan cerita-cerita menarik tentang ekosistem seni tempatan.
Antara sumbangan dan sokongan MyCV yang diam-diam berisi – membuahkan hasil tetapi mungkin tidak diketahui umum – mengambil rupa pengiktirafan, kemenangan dan kolaborasi yang tidak ternilai. Contohnya, kemenangan band indie Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah melalui lagu Pelukan Angkasa di Anugerah Juara Lagu 36, kemasukan karya syarikat Lil Critter Workshop di Netflix untuk tontonan global dan pengenalan koleksi fesyen Khoon Hooi tahun 2017 ke mata dunia menerusi filem Crazy Rich Asians. Selain itu, sokongan terhadap Oyez! Books oleh Integra Creative Media Sdn Bhd yang bangga memaparkan nilai-nilai budaya tempatan menerusi karya-karya artis seperti Emila Yusof, Awang Fadilah, Quek Sue Yian dan Yusof Gajah telah meningkatkan pasaran judul-judul terpilih, lagi-lagi dengan siri terjemahan ke bahasa Jerman, Cina dan Arab.
Banyak pencapaian yang telah dikaut – dan masih banyak lagi yang masih belum dikecapi!
Terima kasih kepada para pendokong seni yang bersama-sama dalam tahun-tahun kemenangan dan perjuangan ini – termasuk para pembaca BASKL!
Selamat ulang tahun ke-10 kami ucapkan kepada kumpulan dan keluarga besar MyCreative Ventures.
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: