Selamat tinggal Aman Shah, perginya lagenda tanah air

Di usia 68 tahun, penyanyi era 80-an ini telah pergi bertemu sang pencipta akibat komplikasi jantung kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Sayup kedengaran di telinga penulis, bait-bait lirik dari lagu nyanyian Aman Shah, Kepulangan Yang Di Nanti, “Kiranya perpisahan terjadi lagi, anakmu pergi mencurahkan bakti, doamu teriring selalu, Semoga bertemu kembali,” yang sering diputarkan ketika Hari Raya.

Hilangnya seorang lagi permata seni. Difahamkan Allahyarham yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi, telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak minggu lalu.

Menurut Lizawati Hamdan, rakan artis dan juga pelakon di ruangan komen media sosial, “Saya baru melihat jenazahnya sebentar tadi. Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak Rabu lalu dan punca kematiannya akibat masalah jantung.”

Menurut adik Allahyarham Amirudin Mokhtar, buat masa ini keluarga terdekat masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak pengurusan hospital.

Selain perkongsian rakan artis, ramai peminat turut memberikan ucapan serta salam takziah buat Allahyarham serta keluarga.

“Beliau sentiasa mengimbau kembali nostalgia hari raya bersama keluarga tercinta sampai sekarang, moga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, Al-Fatihah,” kata @melty.misu.

“Tiada lagi leftenan arif hero darah satria, al-fatihah, takziah buat seluruh keluarga arwah, Semoga arwah ditempatkan dikalangan para solihin, diampunkan segala dosanya, dilapangkan dan diterangi kuburnya. Amin2,” @atehanurfatihah.

“Allahuakhbar.. mcm x caya plk.. al fatihah salam takziah.. kenangan darah satria Lt. Muda Arif,” @mohdnorhisham85.

Selain putaran lagu raya dimainkan di radio dan serata platform, Aman Shah memang terkenal dengan lakonan dalam filem pertamanya Darah Satria sebagai Leftenan Ariff. Anak kelahiran Johor Baru ini kemudian telah membuat kemunculan dalam beberapa filem dan drama seperti Azura, Aku Bukan Gila, Gerak Khas dan sebagainya.

Dia yang juga merupakan artis di bawah naungan syarikat rakaman EMI pada tahun 1980 hingga 1987 telah banyak mengeluarkan lagu-lagu lain dan antara yang mendapat sambutan ramai ialah Adikku Pandai Menari.

Menurut petikan Kosmo, Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Johor Baru ini difahamkan sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang disenangi oleh wartawan-wartawan senior. Difahamkan jenazah akan dikebumikan selepas Maghrib. Semoga Allahyarham Aman Shah tenang disana. Al-Fatihah.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites