Selama manakah pameran Seni Rupa Malaysia akan diadakan secara maya?

Melihat kepada perkembangan yang menarik tentang pameran maya, timbul persoalan tentang ke manakah hala tuju SERUM selepas ini? Adakah ia akan kekal walaupun dunia semakin pulih dan acara-acara kesenian kembali rancak? Atau akan hilang dalam latar belakang SERUM?

Oleh AMIR AMIN untuk Lensa Seni

Apa yang membuatkan sesebuah majlis perasmian pameran itu menarik? Selain daripada untuk menikmati karya-karya yang dipamerkan, sesebuah pameran itu menarik kerana terdapat makanan dan minuman yang disajiakn, interaksi antara artis, penonton dan karya dan semestinya sesi borak santai dan teh tarik selepas perasmian pameran.

Namun, kalau kesemuanya tiada, apakah yang menyeronokkan tentang majlis perasmian pameran? Tetapi itulah yang Malaysia telah alami sejak Mac 2020 sehingga lewat Oktober 2021.

Apabila negara dan seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, terutamanya pada fasa pertama, kesemua sektor diarahkan untuk ditutup. Sektor seni antara yang terjejas kerana sektor ini bukan dalam sektor keperluan utama. Galeri dan muzium diarahkan untuk ditutup, pameran-pameran dan program kesenian terpaksa dibatalkan atau dianjak ke hadapan.

Dalam keadaan yang tidak menentu itu, beberapa buah galeri dan muzium memilih untuk tidak berdiam diri sebaliknya mencari alternatif baharu seperti memfokuskan kepada media sosial. Banyak galeri mula untuk lebih aktif berkongsi dalam media sosial, tak kurang juga yang mengadakan sesi perkongsian seni menggunakan platform seperti Instagram / Facebook Live dan Zoom saban minggu. Antara yang aktif menganjurkan sesi perkongsian seni secara atas talian ialah ARTO Movement, Balai Seni Negara, The Art Seni dan Galeri Ilham.

Selain daripada perkongsian seni, ada beberapa buah galeri dan kolektif yang mencuba teknologi baharu untuk mempamerkan karya-karya seni seperti galeri seni maya. Antaranya ialah AP Art Gallery, Muzium Seni Islam Malaysia dan Maybank Art Gallery. Mereka memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengalami pameran-pameran yang diadakan secara atas talian dengan memberikan ruang galeri menyerupai ruang asal galeri-galeri tersebut.

Object Matters, AP Art Gallery.
Islamic Art Museum Malaysia.

Tak lupa juga, ada beberapa galeri seperti Artemis Art, Galeri Shah Alam, ARTO Movement, Galeri Prima dan G13 Gallery yang menggunakan platform seperti Artsteps, Exhigo  dan Artspaces untuk mengadakan pameran secara maya.

Pameran Maya INSAN+TIF 1.0 by Galeri Shah Alam.
Virtue(al) 2.0 by ARTO Movement.

Tetapi adakah pameran maya ini merupakan satu benda baharu? Adakah ia masa depan bagi dunia Seni Rupa Malaysia (SERUM)? Jika diamati sejarah seni rupa dunia, pameran seni maya ini telah wujud sejak tahun 2017. Antara pelopor awal ialah David Zwirner Gallery dan Gagosian. Pameran maya ini digunakan sebagai tambahan selain untuk membantu dari sudut jualan dan pemasaran. Di Malaysia, sejak pandemik berlaku pada suku pertama 2020, banyak galeri dan muzium mencuba media ‘baharu’ ini. Ia merupakan satu langkah yang positif kerana ia dapat mendemokrasikan sesebuah pameran.

Sesebuah pameran tidak lagi terhad pada sesebuah lokaliti. Kini dengan adanya pameran maya, sesebuah pameran itu dapat dinikmati oleh setiap peminat seni tanpa perlu bimbang tentang jarak dan masa. Sebagai contoh, seorang peminat seni di Malaysia boleh melawat The Lourve tanpa perlu untuk menempah tiket kapal terbang bagi menyaksikan karya Monalisa. Dalam konteks setempat, peminat seni dari Kota Bharu, Sandakan, Kuantan malahan Kuching dapat menikmati pameran yang diadakan di Lembah Klang. Pameran-pameran maya ini boleh dikunjungi di mana-mana dan pada bila-bila masa, namun harus diingat, ia juga bergantung pada tahap rangkaian internet anda.

Petite Gallery, The LourveARTO Movement.

Pameran maya turut memberikan kebebasan kepada orang ramai untuk mengakses maklumat dan melibatkan diri dalam seni. Peminat seni dari segenap peringkat umur boleh meneroka galeri mengikut tahap mereka sendiri sekali gus menjadikan ia sebuah pengalaman yang lebih interaktif. Selain daripada untuk menghiburkan orang ramai, ia juga mampu menarik minat terutamanya para belia untuk lebih mendalami seni.

Memang benar, pameran maya banyak membantu dan memudahkan namun, harus diingat bahawasanya, pameran maya ini tidak dapat menggantikan nikmat melawat dan menghayati sesebuah karya secara fizikal. Menurut Adli Nazrin, mengunjungi pameran maya tidaklah efektif sekalipun ia diadakan dalam ruang metaverse menggunakan VR (Realiti Maya).

Untuk menikmati sesebuah karya seni, pengunjung perlu merasai dan mengalaminya. Analoginya seperti berkunjung ke air terjun adalah lebih mengujakan berbanding melihat air terjun menggunakan komputer riba. Sensasi dan kenikmatan karya-karya tersebut tidak dapat diperolehi dengan melihat daripada skrin telefon ataupun komputer riba. Selain daripada itu,  mustahil untuk melihat kualiti dan kerumitan (jalinan dan lapisan warna serta tekstur) sesuatu karya dengan hanya melihatnya dari skrin sebesar 16 inci apatah lagi 5 inci. Tapi itu adalah ‘the price one has to pay’ untuk kemudahan ini.

Melihat kepada perkembangan yang menarik tentang pameran maya, timbul persoalan tentang ke manakah hala tuju SERUM selepas ini? Adakah ia akan kekal walaupun dunia semakin pulih dan acara-acara kesenian kembali rancak? Atau akan hilang dalam latar belakang SERUM?

Harap penulis agar ia terus kekal terutamanya selepas kita melihat perkembangan menarik ini dan keupayaan pameran maya membantu dunia seni kita. Malaysia perlu mengembangkan lagi dan terus menggunakan platform ini sebagai cara untuk melengkapkan pameran fizikal. Pengalaman digital mungkin tidak dapat menggantikan pengalaman sebenar berada di hadapan sesebuah karya seni, namun dengan pameran maya ia berupaya untuk meningkatkan keseronokan pengalaman tersebut.

Kedua-dua pameran fizikal dan maya perlu dilihat setanding. Tambahan pula dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pembangunan NFT juga banyak membantu merangsang artis untuk meneroka wilayah baharu. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah itu NFT? Secara teknikalnya, NFT ialah non-fungible token yang merupakan satu digital representation of good yang unik, secara khususnya karya seni. Apa yang menarik tentang transaksi NFT ini adalah, pembeli (pengumpul) menjadi pemilik kepada aset-aset digital ini. Ia seperti sijil pengesahan pemilikan atau sijil keaslian sesuatu karya dan ia akan direkod dalam blockchain yang biasanya bersifat terbuka (open source). Antara platform bagi NFT yang popular seperti Pentas, OpenSea dan Hic Et Nunc (HEN).

Profile Page Kymio di Pentas.IO.

Kymio merupakan salah seorang artis NFT dari Malaysia. Bila ditanya tentang apakah itu NFT, ini merupakan jawapan beliau.

Laman Marketplace di Pentas.IO.

“NFT adalah satu bentuk output karya era baru yang tercipta melalui wujudnya teknologi blockchain. Penggunaan matawang kripto sebagai pengantara membuka peluang kepada pengkarya untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian global tanpa sempadan geografi. Ini membolehkan pengkarya untuk bersaing di persada tertinggi dengan sesiapa sahaja tanpa batasan. Selain itu NFT juga membuka peluang pasaran baharu dikalangan pelabur-pelabur digital dan perkembangan teknologi penghasilan seni itu sendiri seperti contoh generative artworks, pembangunan projek komuniti NFT, revisiting potential of our past medium like merchandising dan sebagainya.”

Mungkin dengan pembangunan pameran maya dan NFT yang lebih bersifat terbuka dan global ini dapat membawa SERUM ke persada yang lebih tinggi.

Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di LENSA SENI dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

Amir Amin merupakan salah seorang peserta program CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021.

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites