Ruang pameran alternatif di CIMB Hotel Art Fair

CIMB Art Hotel memuatkan 18 buah galeri di Four Points by Sheraton pada 28 hingga 30 Julai lalu.

Oleh DANIAL FUAD

Pameran dagang seni (art fair) bukanlah satu perkara baharu dalam latar seni di Malaysia kerana kita mempunyai Art Expo Malaysia yang sudah bertapak di sini semenjak 2007 lagi. Baru-baru ini juga terdapat Beyond Contemporary Art Penang yang dianjurkan buat pertama kalinya tahun lepas bagi meluaskan lagi capaian seni ke khalayak massa serta meningkatkan penjualan karya seni. Art Cologne yang diadakan pada tahun 1967 merupakan pameran dagang seni pertama dunia selaku buah fikiran Rudolf Zwirner dan Hein Stünke bertujuan untuk memecahkan stigma kebencian terhadap negara Jerman usai perang dunia kedua.

Lama kelamaan, pameran dagang seni semakin meningkat jumlahnya seiring revolusi perindustrian yang kedua di Eropah dek kemunculan orang kaya baharu hasil daripada kapitalisme yang kian berkembang. Akibatnya, kos penyertaan pameran dagang seni ini meningkat dari setahun ke setahun — harga bagi sebuah reruai di Art Basel 2018 boleh mencecah sehingga USD400,000! Ini merupakan cabaran bagi galeri kerana setiap satunya perlu mencapai jualan yang sangat tinggi bagi memulangkan modal mereka.

Susulan yang demikian, ramai mencari alternatif dalam memasarkan seni mereka ke khalayak yang lebih luas kerana pameran dagang seni tidak terjangkau oleh sesetengah mereka, terutamanya galeri yang baru bertapak. Wujudlah Gramercy International Art Fair, sebuah pameran dagang seni alternatif pada tahun, anjuran pengusaha seni Pat Hearn, Colin de Land, Matthew Marks, dan Paul Morris. Nama tersebut muncul daripada lokasi pameran dagang seni mereka yang terletak di Gramercy Park Hotel, menjadikan mereka antara perintis bagi pameran dagang seni hotel (hotel art fair) pada tahun 1994.

Kini, model perniagaan tersebut semakin berkembang luas dengan kemunculan pameran dagang seni hotel sekeliling dunia seperti Dependent di New York, Hotel Warszawa Art Fair di Poland, Asia Hotel Art Fair di Hong Kong serta Hotel Art Fair di Bangkok. Negara kita juga tidak ketinggalan dalam persaingan ini — pada hujung bulan Jun 2024, sebuah pameran dagang seni hotel hujung bulan lepas di Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, City Center dianjurkan dengan judul CIMB Hotel Art Fair.

Ini merupakan siri ketiga pameran dagang seni hotel anjuran CIMB Group Holdings Berhad di mana acara pertama mereka berlangsung pada tahun 2021 di Element Kuala Lumpur. CIMB Hotel Art Fair kali ini mempersembahkan 18 buah galeri gabungan tempatan serta antarabangsa seperti G13 Gallery, The Back Room, Segaris Art Center dan juga B Gallery dari Jepun. Seperti pameran dagang seni hotel yang lain, setiap galeri diberikan sebuah bilik hotel untuk disusun letak karya mengikut cita rasa mereka.

Hal ini tampil seakan sebuah cabaran kerana galeri seakan-akan tersepit antara penghasilan pameran yang signifikan dengan penumpuan tenaga terhadap penjualan karya. Pada pendapat saya, salah sebuah galeri yang bermain dengan konsep hotel ini secara cukup baik adalah A+ Works of Art. Dapat dilihat semangat yang wujud dalam susun letak karya mereka — karya Joshua Kane Gomes yang berjudul The After Party dipamerkan di ruang mereka. Karya-karya yang terlihat cukup muat dengan suasana hotel; terdapat pinata di atas katil, cermin tandas diconteng dan kepala paip tergolek di lantai, mirip keadaan pasca pesta di dalam bilik hotel.

Selain itu, pameran dagang seni hotel ini dilihat lebih intim berbanding dengan pameran dagang seni yang biasanya dilakukan di ruang pameran gergasi untuk memuatkan sebanyak reruai yang boleh. Dek ruang bilik hotel yang kecil, hanya beberapa orang sahaja dapat melawat ruang sementara sesebuah galeri dan hal ini membuatkan khalayak dilayan dengan lebih mesra. Perkara ini dianggap penting kerana berbeza dengan pameran seni yang biasanya dikunjungi oleh peminat tegar, acara seperti ini menarik bermacam-macam orang yang tidak biasa dengan seni. Layanan yang lebih mesra ini secara tidak langsung akan menarik minat lebih ramai orang untuk mendalami seni yang lazimnya dianggap sebagai sesuatu yang sangat eksklusif.

Di samping pameran, terdapat juga perkongsian berkaitan perusahaan seni, misalnya bagaimana untuk menguruskan ruang seni, membangunkan pameran serta langkah-langkah untuk menceburi perniagaan seni. CIMB Hotel Art Fair merupakan sebuah usaha murni daripada pihak CIMB Group dalam memastikan kelestarian ekonomi seni di Malaysia ini. Cara ini diharapkan dapat membuka mata lebih ramai lagi tentang keindahan seni serta membantu pengusaha galeri untuk meneroka alternatif dalam membuat jualan selain daripada penghasilan pameran sahaja.

Perkara seperti ini perlu diteroka oleh lebih banyak pihak kerana pembangunan seni visual ini memerlukan kerjasama yang jitu bagi memastikan ia tidak mudah dipandang enteng oleh golongan masyarakat.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites