Pusat pembuatan kraf kayu perlu diperbanyakkan demi memartabatkan industri kraf Malaysia

Seni kraf kayu tradisional miliki nilainya tersendiri yang sangat eksklusif. Lakaran dan keunikan yang dihasilkan pada kayu dengan pelbagai motif perlu dikekalkan sebagai tradisi bangsa Melayu.

Oleh DANNY ADAM

Seni ukiran kayu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana perlu melalui beberapa proses yang sangat rumit, teliti dan cermat bagi memastikan hasil yang diinginkan tampak menarik dan eksklusif. Begitulah yang dilalui oleh salah seorang pengukir kayu yang hampir 40 tahun dalam bidang ini iaitu Norhaiza Noordin, 58 tahun. Anak kelahiran Kampung Raja, Besut di Terengganu ini tidak menyangka minatnya dalam seni ukiran kraf kayu tradisional ini telah membawa dirinya terbang jauh hingga ke luar negara.

Menceritakan jatuh bangun serta pengalamannya kepada BASKL baru-baru ini, Norhaiza atau lebih dikenali dengan panggilan Ja percaya setiap kerja yang dilakukan perlu ada rasa minat, jika tiada minat agak sukar untuk meneruskan sesuatu kerja yang dilakukan. Begitulah beliau yang sangat meminati seni ukir berasaskan kayu ini sejak kecil lagi. Malah beliau tidak menyangka minat secara semula jadi ini terbit dengan hanya berbekalkan ilmu mengenai seni kraf kayu sehingga menjadikan beliau salah seorang pengukir kayu yang disegani ramai.

”Setiap ukiran dihasilkan memberi penekanan mengenai motif Melayu Tradisional yang mempunyai ceritanya sendiri. Saya mempunyai lebih 100 karya pelbagai reka bentuk koleksi peribadi yang menjurus kepada seni-seni alam dan tradisonal seperti ukiran keris, seni telepuk, stensil, lukisan berasaskan seni bina dan banyak lagi.”

Ukiran pintu Balai Rong Seri Istana Negara 2020

”Antara hasil seni ukiran beliau ialah ukiran pintu utama Oxford Centre of Islamic Studies UK (2011), ukiran pintu Balai Rong Seri Istana Negara (2020), ukiran silat 4 lapis motif bunga kesidang di Kraftangan Malaysia (2005), Cokmar Universiti Islam Cyberjaya, Selangor (2017), ukiran mimbar dan mihrab Masjid Raja Haji Fisabilillah Cyberjaya, Selangor (2015) dan ukiran pintu utama Istana Kota Lama, Kota Bharu, Kelantan (2017),” katanya.

Dek kerana minatnya dalam bidang ukiran kayu ini, Norhaiza telah berguru dengan enam orang pengukir kayu tersohor suatu ketika dahulu di negeri Terengganu dan Kelantan iaitu Allahyarham Wan Su, Wan Mustafa Wan Su, Allahyarham Tengku Ibrahim, Allahyarham Rahman Long, Latif Long dan Allahyarham Nik Rashiddin. Hasil daripada teknik-teknik ukiran yang dipelajarinya bersama enam guru ini membuatkan beliau menubuhkan syarikat Seni Ukir Bakawali, Tunjang Bakawali dan Norhaiza Noordin Galeri.

“Saya juga telah melakukan beberapa kajian berkaitan seni ukiran kayu dan menghasilkan beberapa buku, kertas kerja serta menyertai pameran berkaitan seni ukir sehingga ke luar negara seperti pameran ‘Spirit of Wood’ di Asia Civilization Museum Singapore, Brunei Gallery dan Universiti of London, UK pada tahun 2003 dan 2004.  Manakala antara buku yang dihasilkan pula adalah seperti ‘Ukiran Melayu Warisan Melayu (bersama Kraftangan Malaysia) dan Spirit of Wood, The Arts of Malay Woodcarving.” katanya.

Beliau yang dinobatkan gelaran Adiguru dalam seni ukir halus amat berharap agar lebih banyak pusat pembuatan seni kraf tradisional diwujudkan dalam usaha memartabatkan dan merancakkan lagi industri kraf di negara ini. Jelas Norhaiza ia penting untuk menarik minat pelapis muda mencuba bidang ini agar seni ukiran kayu tradisional ini tidak pupus ditelan zaman.

Pintu Utama Istana Kota Lama Kota Bharu Kelantan 2017

“Generasi muda pada hari ini lebih tertarik kepada peralatan canggih, ukiran moden yang menggunakan fabrik kain dan sebagainya. Namun sebagai salah seorang pengukir kayu, ingin saya ingatkan bahawa kayu berukir ini masih mempunyai peminat tersendiri kerana sentuhan tangan si pengukir dan hasilnya yang sangat menarik dan eksklusif.”

“Inilah peluang yang perlu diambil oleh anak muda masa kini. Kalau bukan kita siapa lagi yang akan kenalkan ukiran kayu ini. Kita tidak mahu generasi muda tidak kenal kayu jati, kayu cengal, kayu meranti dan sebagainya yang sememangnya kayu-kayu ini adalah kayu yang berkualiti dan bermutu tinggi. Saya amat berharap agar kerajaan buka lebih banyak pusat pembuatan seni kraf dan pada yang sama di pusat tersebut juga pengukir-pengukir kraf kayu ini dapat menjualkan hasil mereka di pusat berkenaan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga sedang berusaha untuk memulih dan menghidupkan semula seni telepuk iaitu satu seni menghias tekstil tradisional Melayu yang sudah tidak diusahakan lagi sejak awal kurun ke-19. Pelbagai bengkel berkaitan telepuk telah diadakan oleh beliau untuk menarik minat generasi muda mengetahui dengan lebih dekat mengenai seni tradisional menghias kain ini yang dipercayai dibawa masuk oleh pedagang Bugis dari Sulawesi.

Sijil Penghargaan Warisan Kebangsaan Orang Hidup 2018

“Menurut sejarah, seni tata hias emas ini dimiliki dan dipelihara oleh pihak istana dan pemakaiannya dikhaskan untuk keluarga diraja dan golongan bangsawan seperti di negara China, India, Jepun dan Indonesia. Malah usaha ini juga turut mendapat perhatian daripada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sememangnya amat menggemari seni telepuk dalam mengekalkan warisan kraf tradisional ini,” katanya.

Antara pencapaian Profesor Adjung dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini adalah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan Orang Hidup 2018 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dilantik sebagai Yang Di-Pertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR)  dari tahun 2011 hingga kini, disenaraikan oleh British Publishing berpusat di London UK sebagai Successful people in Malaysia 2020, Anugerah Seni Negeri Terengganu 2005, Perlantikan sebagai Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM  pada tahun 2009, Anugerah Usahawan Terengganu kategori sederhana 2010, Anugerah Adiguru Kraf 2011, Anugerah Usahawan Terengganu Kategori Pelancongan Kraf dan Warisan 2013 dan Perlantikan sebagai Residen Adiguru di Muzium Warisan Melayu, UPM Serdang pada tahun 2014.

Untuk mendekati dan memahami tentang ukiran kayu, anda boleh terus pergi ke laman AITC INI dan daftar untuk sesi bersama Norhaiza Noordin, atau boleh layari Open art Class untuk menyertai program-program lain.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites