Project 555 mengimbau kenangan melalui buku nota ikonik

Projek 555 merupakan kapsul masa berkenaan COVID-19 di Malaysia dicetuskan oleh Malaysian Design Archive.

Oleh DANIAL FUAD

Buku 555 merupakan satu objek yang sangatlah signifikan dengan kehidupan rakyat Malaysia. Cukup terkenal pada tahun 70an, buku nota kecil ini mempunyai pelbagai kegunaan mungkin kerana harganya yang hanyalah 20 sen pada ketika itu. Namun, semestinya perkara yang berkait rapat dengan buku 555 ini adalah kepentinganya dalam merekod hutang. Mungkin ramai yang terbiasa dengan frasa “masuk buku 555 lah” jika ingin berhutang dengan seseorang. Walaupun kegunaannya yang sangat luas dalam kalangan masyarakat kita, tetapi tiada siapa yang mengetahui kenapa terpampang simbol 555 untuk buku yang sangat ikonik ini menurut SAYS.

Disebabkan oleh kepentingan buku nota kecil ini dalam kalangan masyarakat kita, Malaysian Design Archive (MDA) telah menjalankan Projek 555. Pada hujung tahun 2020 dan juga 2021, MDA telah membuat panggilan terbuka bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai projek ini. Ia terbuka kepada semua orang di mana yang berminat akan diberi sebuah buku 555 yang dicetak khas oleh ana tomy untuk mereka mencatat apa sahaja yang mereka inginkan sepanjang satu bulan. Menurut arkib mereka, seramai 83 orang telah turut serta untuk projek ini.

Annonymous

Idea yang tercetus daripada Skechbook Project oleh Brooklyn Art Library, ia dijalankan oleh kerana sepanjang dua tahun lalu, kita semua melalui satu tragedi yang sangat dashyat iaitu wabak COVID-19 ini. Walaupun kita melalui tragedi yang sama, namun pengalaman setiap orang sangatlah berbeza dan inilah yang cuba diteroka oleh MDA melalui projek ini.

Catherine Anne

Setelah dua tahun projek ini berjalan, kini sebanyak 66 buku nota yang telah dikembalikan oleh para peserta dipamerkan di tingkat tiga Galeri Ilham. Seperti apa yang dijangka, terdapat bermacam ragam oleh para peserta yang dicatat dalam buku 555 yang telah dikembalikan semula di mana menurut pihak MDA, “Ada yang menjadikan buku tersebut sebagai tempat untuk melampiaskan emosi, ada yang dipenuhi dengan kesunyian, ada yang sarat dengan cebisan duniawi.”

Amrita Soon

Projek 555 ini sangatlah menarik dimana ia merupakan sebuah arkib visual tentang kehidupan masyarakat Malaysia ketika dilanda pandemik yang skalanya sangat besar. Menurut MDA lagi, buku 555 ini sangatlah rapat dengan kedai runcit yang mencatat urusniaga dan merupakan simbolik kepercayaan pengusaha dan pelanggan; menjadikan ia sebuah simbolik yang cukup bermakna dalam projek tersebut. Ini adalah kerana para peserta memberikan kepercayaan kepada MDA untuk sesuatu yang dianggap peribadi bagi mereka di mana dalam buku tersebut, terdapat pelbagai jenis catatan dan lakaran berkisarkan memori mereka menghadapi pandemik.

Joanne Loo

Pameran Projek 555: Small observations of an on-going pandemic ini sedang berlangsung di Galeri Ilham yang terletak di Tingkat Tiga, Ilham Tower, No 8, Jalan Binjai Kuala Lumpur. Jangka masa pameran ini telah dilanjutkan sehingga bulan Januari 2023 di mana galeri dibuka dari jam 11pg – 7ptg dari hari Selasa hingga Sabtu manakala 11pg – 5ptg untuk hari Ahad. Galeri ditutup pada hari Isnin dan juga cuti umum. Maklumat lanjut berkenaan pameran ini boleh didapati di laman sesawang mereka manakala bagi yang berminat untuk melihat buku-buku 555 dalam bentuk digital, boleh melawat arkib MDA di sini.

Ikuti kisah menarik lain di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites