Pelbagai tarikan dari tengah hari hingga tengah malam di NUSAFEST 2023!

NUSAFEST menggabungkan barisan 24 suara Nusantara berbakat merentasi tiga negara pada 8 dan 9 Julai 2023. Nikmati angin Nusantara ini berserta seni kraf!

Oleh NABILA AZLAN

Acara dua hari NUSAFEST anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd bakal menemui peminat pada hujung minggu ini di Bandar Malaysia, Sungai Besi. Dari jam 12 tengah hari sehingga sekitar tengah malam, kemeriahan di festival ini bersumberkan koleksi genre muzik berbeza, antaranya rock, ska, rap, grunge dan reggae!

Sepatutnya disajikan awal tahun ini, festival muzik yang memaparkan 12 kumpulan muzik dari Malaysia, 11 dari Indonesia dan 1 dari Singapura ini telah mengalami banyak kekangan sewaktu awal perancangannya, lebih-lebih lagi di ambang pandemik COVID-19. Namun, penantian peminat NUSAFEST tidak disia-siakan kerana hamparan muzik yang dibawa terdiri daripada nama-nama yang hebat!

Tiga bintang utama yang diumumkan adalah ikon-ikon muzik tanah air yang tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu Search, Wings dan Butterfingers. Peminat tegar arena rock pasti akan merasai bahangnya kerana bukan selalu kumpulan Search dan Wings turun padang dan berkongsi panggung; ini juga merupakan kemunculan semula Butterfingers setelah empat tahun menyepi dari persada seni tempatan.

Turut serta di NUSAFEST adalah Kugiran Masdo, Salammusik, Forceparkbois, Iqbal M., White Percussion Unit, Jemson, Budak Nakal Hujung Simpang, Gerhana Skacinta dan Monoloque. Dari Indonesia, festival ini membawakan Fourtwnty, Barasuara, Pusakata, Efek Rumah Kaca, Kelompok Penerbang Roket, The Changcuters, Burgerkill, Seringai, Diskoria, Dipha Barus dan Ras Muhamad. The Pinholes pula merupakan bakat sulung yang berasal dari Singapura.  

Selain penangan muzik yang pelbagai sepanjang 8 dan 9 Julai, pengunjung juga berkesempatan untuk menikmati PASAR NUSA, sebuah kurasi istimewa hasil kolaborasi bersama R!UH. Diadakan di ruangan pesawat lama Bandar Malaysia, kurasi kreatif ini menghimpunkan sebanyak 60 jenama barangan dan hasil dari penggiat industri kreatif selari dengan misi dan visi R!UH sebagai sebuah inisiatif yang menghubungkan komuniti kreatif dengan orang ramai.

Menurut Shirazdeen Karim (Shiraz), Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, “PASAR NUSA akan mempunyai produk dan vendor yang dipilih secara eksklusif oleh R!UH dan disusun atur oleh Waknat. Ini merupakan kali pertama R!UH bekerjasama dengan NUSAFEST untuk mengurus kurasi jenama-jenama tempatan hasil dari bakat industri kreatif Malaysia unik, sejajar dengan misi kami untuk membantu menyediakan platform demi ekonomi kreatif.”

Nama-nama yang bakal menghadirkan aura tersendiri menerusi substage di PASAR NUSA pula adalah A.Limin, Kolar Hijau, Motherwit, Satwo dan Teman Lelaki. Ruang set DJ akan dikemudikan oleh Awyn, Emai, Killah Z, MMK, S.Shahrin, Velvet, Wakmy dan Wayne.

Buat pengetahuan pembaca, NUSAFEST juga menyediakan sekitar 60 buah warung makanan dan minuman serta 20 trak makanan yang merangkumi vendor-vendor terkenal tempatan seperti Kopi Dua Darjat, Minuum KL, Laiyan KL, Miker Pizza, Sloopyan Hotdog, Nachoslah Global, Kelava dan The Gorpis. Buat peminat makanan dan minuman Nusantara, hidangan dari Indonesia juga disediakan khusus buat pengunjung!

Jika anda ke NUSAFEST nanti, jumpa anda di sana! Ikuti Instagram riuhinthecity untuk maklumat lanjut berkenaan PASAR NUSA. Tiket boleh dibeli melalui www.nusafest.com.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites