Jom buat batik di tepi sawah bersama penulis dengan menghadiri Kelas Asas Batik yang diadakan di tepi sawah di Sekinchan yang telah dijalankan oleh Masde Batik House, sebuah perusahaan batik yang diasaskan oleh bekas pelajar Institut Kraftangan Negara (IKN), saudari Siti Sarah.
Oleh NIDA ZAHAR untuk Lensa Seni
Inginkan pengalaman berbeza? Kelas yang diadakan oleh Masde Batik House ialah jawapannya. Kelas ini diajar oleh pengasasnya sendiri, Siti Sarah yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Sarah. Menariknya studio eksklusif mereka ini terletak di tepi kawasan sawah padi di Sekinchan, Selangor. Walaupun lokasinya agak jauh di pinggir Lembah Kelang berbanding bengkel yang lain iaitu 112 km dari pusat bandar Kuala Lumpur, Kelas Asas Batik yang dianjurkan bekas peserta Institut Kraf Negara (IKN) ini mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menurut Cikgu Sarah, ruang bengkel yang digunakan untuk kelasnya ialah studionya sendiri yang didirikan di hadapan rumah keluarga. Dengan peralatan yang lengkap dan ruang yang selesa, bengkel dibuka kepada 5 – 10 orang peserta pada satu-satu masa. Walaupun begitu, dia bersedia untuk mengajar kumpulan yang lebih kecil atau secara individu jika terdapat permintaan.
Bagi Kelas Asas Batik yang dibuka mengikut jadual yang ditetapkan, peserta dikenakan bayaran sebanyak RM100 seorang untuk bengkel selama satu hari. Bengkel akan bermula sekitar 8.30 pagi dan berakhir pada 6.30 petang. Peserta juga akan dihidangkan dengan juadah sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang. Kelas merangkumi latihan praktikal penghasilan dua jenis batik popular, batik canting dan batik ikat. Kesemua peralatan disediakan, jadi penulis merasakan bayaran yang dikenakan amat berpatutan.
Penulis telah mendaftar untuk menyertai bengkel tersebut baru-baru ini dan bergerak ke Sekinchan seawal 6 pagi dari Pusat Bandar untuk menghadirinya. Apa yang menarik perhatian penulis, perjalanan ke Sekinchan sendiri amat menyeronokkan kerana sebelum sampai ke daerah tersebut, penulis melalui daerah-daerah pinggir dan luar bandar yang jarang dilawati seperti Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Karang. Malah, sebaik melepasi Tanjung Karang, pemandangan indah sawah padi terbentang di hadapan mata berselang-seli dengan rumah-rumah kampung sehinggalah ke Sekinchan menjadikan suasana terasa nyaman dan menyeronokkan.
Lokasi bengkel mudah ditemui kerana sudah ditanda di dalam Google Maps dan tidak begitu jauh daripada jalan utama. Mengikut pengalaman penulis, perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit menggunakan kereta dan melalui Lebuhraya PLUS ke arah Rawang dan Lebuhraya LATAR.
Setibanya penulis di lokasi, parkir juga mudah didapati memandangkan tapak studio adalah sebahagian daripada rumah persendirian. Sebaik mendaftar, peserta diberikan tempat di meja masing-masing dengan dua peserta berkongsi satu meja bersama peralatan yang sudah tersedia. Sementara menunggu peserta lain tiba, mereka yang sampai lebih awal dijamu dengan minuman ringan. Pada sesi yang penulis hadiri, terdapat enam orang peserta kesemuanya dan penulis mendapati SOP juga diamalkan dengan baik dengan penjarakan secukupnya dalam kalangan peserta, dengan keluasan ruang yang bersesuaian.
Kelas Asas Batik Masde Batik House dimulakan dengan penerangan secara asas mengenai seni batik dari sudut sejarah dan jenis-jenisnya. Setiap peserta juga dibekalkan dengan nota yang telah disediakan oleh penganjur.
Kemudian, kelas praktikal bermula dengan latihan penghasilan t-shirt batik tie-dye atau batik ikat. Peserta diberikan sehelai t-shirt mengikut saiz yang diingini untuk diwarnakan dengan teknik batik ikat. Cikgu Sarah juga menggalakkan para peserta untuk membawa bahan sendiri jika mahu seperti sapu tangan, tote bag, seluar, selendang dan seumpamanya untuk turut diwarnakan. Untuk proses mewarna bahan tambahan ini, mereka tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas kos warna dan penggunaan peralatan. Aktiviti ini berakhir sekitar tengah hari dan t-shirt yang siap diwarnakan dicuci dan dijemur di anjung bengkel.
Sementara menunggu t-shirt kering, para peserta memulakan sesi kedua iaitu latihan praktikal penghasilan batik canting. Sebelum diajar teknik mencanting, peserta diberikan satu set batik Do-It-Yourself (DIY) yang telah siap dicanting untuk diwarnakan terlebih dahulu. Ini bagi memastikan peserta mahir dengan kaedah mencampur dan mengolah warna sebelum mula mencanting.
Untuk kelas ini, Cikgu Sarah menggunakan warna jenis serbuk yang perlu dilarutkan terlebih dahulu menggunakan air paip. Terdapat tiga warna prima yang digunakan iaitu biru, kuning dan merah. Untuk mendapatkan warna sekunder seperti hijau, oren dan ungu, para peserta telah diajarkan teknik mencampur warna.
Selepas makan tengah hari, Cikgu Sarah mula mencairkan lilin sambil memberikan penerangan tentang sukatan lilin dan bahan-bahan lain yang perlu dilarutkan bersama. Selepas lilin panas dengan suhu yang betul, peserta diberikan canting dan diminta mencanting beramai-ramai pada sehelai kain panjang yang telah siap dipasangkan pada bingkai kayu khas yang digunakan dalam pembuatan batik.
Peserta diberi kebebasan untuk melukis corak dan motif yang diingini. Cikgu Sarah menasihatkan agar lakaran pada kain dilakukan dengan betul agar warna tidak bercampur semasa proses mewarna. Kepanasan lilin juga perlu selalu diperhati kerana suhu yang terlalu panas atau sejuk tidak akan menghasilkan cantingan yang baik. Selepas mencanting, peserta memulakan proses mewarna sehingga selesai.
Pada ketika ini, bahan pertama yang dihasilkan tadi iaitu t-shirt batik ikat telah pun kering. Para peserta membasuh pula hasil batik canting dengan air dan pemati warna sebelum dijemurkan untuk kering. Sementara menunggu kesemua hasil siap sepenuhnya, peserta telah disajikan dengan juadah minum petang.
Kelas Asas Batik Masde Batik House diakhiri dengan sesi penyampaian sijil dan bergambar. Semua peserta berpuas hati dan melahirkan rasa gembira dengan kraf batik yang mereka hasilkan. Bagi memastikan para peserta dapat membuat latihan di rumah, Cikgu Sarah telah membekalkan peserta dengan warna, lilin dan berus tambahan. Ini juga bagi memastikan peserta dapat menyimpan contoh bahan sekiranya mahu membelinya sendiri pada masa akan datang.
Selain daripada menjalankan bengkel, Cikgu Sarah yang merupakan graduan IKN tahun 2019 juga menjual produk batik hasil air tangan beliau di media sosial dan juga di laman My Craft Shoppe, platform jualan dalam talian yang disediakan Kraftangan Malaysia. Beliau juga terlibat secara aktif dengan aktiviti mempromosi batik termasuk membuka gerai di acara Hari Kraf Kebangsaan 2022 yang telah diadakan baru-baru ini.
Hasil produk Cikgu Sarah boleh dilayari di pautan ini. Untuk mengetahui jadual Kelas Asas Batik anjuran Masde Batik House, anda boleh sila layari laman sosial Masde Batik House.
Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di Lensa Seni dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.
Nida Zahar ialah peserta CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021
Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.