Standup Comedy adalah sebuah seni persembahan lawak yang masih asing untuk kebanyakkan rakyat Malaysia. Penulis bertemu dan berbual mesra dengan standup comedian atau Komika, Mad Sabah mengenai dunia standup di Malaysia serta jelajah tour nya di seluruh Malaysia.
Oleh AZUWAN AHMAD
Stand-up comedy atau seperti yang didaftarkan oleh Dewan Bahasa sebagai komediri adalah sebuah seni persembahan lawak yang masih asing di kalangan rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan lawak yang bersifat sketsa di TV atau di pentas-pentas hiburan. Namun, sudah wujud sebuah komuniti komika yang kecil yang aktif membuat persembahan di kelab-kelab komedi sekitar Lembah Klang. Malah, stesyen televisyen swasta juga ada mempunyai usaha untuk menerbitkan rancangan-rancangan yang berunsurkan komediri. Antara komika yang terkenal yang datang dari komuniti ini selain daripada Mad Sabah adalah Harith Iskander, Nizam Jentik-Jentik dan Shahshic. Mereka ini merupakan antara komika yang berjaya pecah masuk ke saluran media arus perdana.
Bagi anda yang yang tidak biasa dengan seni lawak ini, komediri adalah sebuah persembahan lawak solo secara langsung di hadapan penonton secara terus. Bahan-bahan lawak yang mereka bawa kebanyakannya adalah mengenai resah mereka mengenai sesuatu perkara atau isu yang berlaku di sekeliling mereka. Penyampaian cerita atau bahan tersebut boleh digunakan dengan pelbagai teknik untuk mendapatkan punchline seperti teknik one liner dan rule of three. Ada juga komika yang membawa props bersama mereka untuk menguatkan karakter persembahan di atas pentas.
Mad Sabah atau nama sebenarnya Achmad Rusli, 34, yang berasal daripada Sabah memulakan kerjayanya dalam komediri apabila menyertai sebuah rancangan TV terbitan Astro, “Komediri Season 1”. Dia bercerita, “Host dia Harith Iskander. Aku tengok dan aku rasa aku suka lawak yang macam ini yang berdiri seorang. Aku google standup comedy Malaysia dan keluar Crackhouse Comedy Club. Aku telefon dan aku cakap nak perform. Kali pertama aku naik tak kelakar”.
Walaupun dikatakan tidak berjaya kali pertama, Mad merasakan sebuah keterujaan bila melakukan persembahan di hadapan penonton. Dia tekad fokus selama 3 bulan untuk mempelajari seni lawak tersebut melalui saluran Youtube.
“Aku belajar daripada Youtube sahaja. Ada comedian yang namanya Michael Junior. Dia ajar menulis di situ. Semua teknik ada di Youtube. Selepas 3 bulan orang sudah mula panggil untuk job corporate. Jadi aku decide untuk berhenti kerja sebagai customer service dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja ini,” jelas Mad.
Bibit-bibit usaha selama bertahun-tahun yang ditanam Mad selama ini memang membuahkan hasil. Dia menjadi sangat dikenali dan antara kegemaran penggemar komediri di lingkungan lokal. Dia pernah mendapat naib juara dalam Pertandingan Lawak Solo terbitan Astro. Dia juga pernah menyertai pertandingan lawak, Maharaja Lawak Mega. Jangan terkejut kalau dikatakan bahawa Mad Sabah pernah menjadi juruhebah untuk radio Era Sabah. Cuma, barangkali itu bukan keghairahannya jadi dia tidak lama di situ.
Mad selalu membawa bahan lawak yang sangat dekat dengannya iaitu cerita-cerita lingkungan kehidupannya di kawasan pendalaman Sabah. Jerih perit getir kehidupannya dijadikan material yang menangkap perhatian banyak orang yang menonton. Tidak keterlaluan kalau penulis mengatakan Mad Sabah sebagai ‘Messi’ di dalam lingkungan komediri lokal kerana bakatnya yang sungguh asli dan senang melihat orang tertawa.
Penulis bertanya dengan Mad mengenai masa depan komediri di Malaysia. Dia memberitahu bahawa komediri dalam Bahasa Melayu masih dalam keadaan yang lemah. Kalau mahu dibandingkan dengan komediri Bahasa Inggeris untuk lingkungan lokal sudah pun sampai ke platform Netflix. “Di tahun 2022 yang masih aktif membuat persembahan hanya aku. Kebanyakkan komika yang lain semua sudah fokus ke TV buat sketsa. Susahnya adalah kerana aku sendirian. Kalau ramai yang buat, fan base itu akan menjadi semakin besar,” ujarnya.
Mad juga ada menyampaikan kekesalan mengenai komuniti komediri berbahasa Melayu. Dia menyatakan bahawa ramai orang apabila di pentas off air melakukan komediri tetapi apabila dapat peluang ke TV, mereka akan lebih cenderung ke sketsa. “Bagi aku ini adalah pengorbanan. Tak ramai yang sanggup. Sebenarnya apabila ke TV ia sedikit seperti menjual diri dengan maksud memberikan apa yang masyarakat mahukan. Penerbit TV harus lebih rajin turun melihat bakat-bakat komediri untuk mencari yang betul-betul bagus. Kalau untuk siri jelajah ini , memang aku akui segala kos ditanggung sendiri termasuk membayar kru. Ada tempat yang tak untung, ada juga tempat yang rugi, tapi bagi aku ini adalah pengorbanan sebab aku mahu berkarya,” ujar bapa kepada dua anak ini.
Mad berniat untuk memperkenal komediri kepada lebih ramai orang dengan melakukan siri jelajah di lebih banyak tempat di dalam negara ini. Dia juga menyatakan bahawa antara idea yang bagus untuk meningkatkan kemajuan komediri adalah dengan mewujudkan komuniti di pusat-pusat pengajian tinggi. Pelajar universiti kata Mad masih mempunyai idea yang segar, mereka hanya perlu ditunjukkan teknik dan cara yang betul dalam komediri. Dia juga berkongsi tentang aktiviti mengajar kelas pertama komediri di Kuching , Sarawak sempena WAK Festival.
Umum mengetahui tentang kontroversi yang menghebohkan satu negara tahun ini yang membawa cemar kepada dunia komediri di Malaysia. Penulis bertanya kepada Mad apakah kesan yang dialami oleh komuniti komediri dek perkara itu. Mad mengakui bahawa ia sangat memberi kesan mendalam kepada komuniti komediri kerana persepsi-persepsi yang buruk daripada masyarakat. Mad walaubagaimanapun masih melihat ada sinar positif daripada tragedi ini.
Jelasnya, “Ada juga benda baiknya. Baiknya adalah orang mula tahu mengenai standup comedy. Standup ini ada banyak topik. Material aku tak tertumpu pada race dan religion. Tapi oleh kerana peristiwa itu, pihak berkuasa lebih memberikan perhatian. Lebih-lebih lagi ketika hal itu berlaku, aku sedang tour. Pelbagai persoalan macam soal permit mula ditanyakan kepada aku. Aku setuju Crackhouse ditutup kerana tempat itu sudah diganggu. Ia adalah peluang untuk memulakan sesuatu yang baru dengan peraturan yang lebih ketat”.
Keterujaan Mad mengenai siri jelajahnya memang jelas terpancar di wajah. Siri jelajah yang dinamakan “Ndak logik itu” telah bermula menemui peminat sejak beberapa bulan yang lalu. Persembahan di Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Tawau, Kota Kinabalu, Kuching dan Labuan semuanya laris habis.
“Penerimaan mereka bagi aku sangat unik. Banyak kejadian yang aneh. Ada yang bertanya kalau datang kena pakai kemeja ke? Ada yang datang pakai sut lengkap. Ada yang satu jam tak ketawa langsung. Dia kata dia pertama kali tengok komediri dan tak tahu bahagian mana yang nak ketawa,” ketawa Mad. Dia mengatakan setiap tempat mempunyai perbezaan. Penulisannya harus tepat dan betul di semua tempat kerana lain tempat mempunyai isu yang berlainan. Siri jelajah berbahasa Melayu ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Mad berharap lokasi terakhir di siri jelajah Ndak Logik ini juga akan laris habis dan penerimaan orang terhadap komediri berbahasa Melayu semakin baik. Siri jelajah ini akan menemui peminat pada 12 November 2022 bertempat di PJ Live Arts, Jaya One. Tiket masih boleh dibeli di talian 019- 460 5658 atau klik di link ini. Kalau mahu mengikuti perkembangan komika lucu ini, boleh saja terus ke akaun Instagram Mad Sabah.
Anda juga boleh mengikut kisah lain di sini: