Muzium Budaya Borneo ikonik terbaharu Sarawak

Muzium Budaya Borneo, muzium terbesar di Malaysia, destinasi wajib di kunjungi di Sarawak dan mampu menjadi pusat menimba ilmu.

Oleh NISA K.

Bersempena dengan majlis perasmian pembukaan Muzium Budaya Borneo (BCM), penulis BASKL berkesempatan untuk melawat bangunan yang telah mula dibina sejak tahun 2014 ini. Setelah hampir 8 tahun kini muzium ini telah membuka pintu mereka buat orang ramai bermula hari ini (9 Mac).

Dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Mac yang lalu, BCM disifatkan mampu menjadi pusat menimba ilmu dalam usaha memahami kekayaan sejarah, budaya dan alam semula jadi di kepulauan itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menjelaskan bahawa objektif muzium itu adalah untuk memacu penyelidikan akan menggalakkan masyarakat menghargai kepentingan penyelidikan dan diserap dengan budaya penyelidikan.

“Seperti yang dapat dilihat di negara-negara maju, masyarakat yang telah berakar umbi dengan budaya penyelidikan dan minda yang dipacu oleh data akan memiliki kemahiran analisis lebih baik untuk memperbaiki setiap aspek kehidupan,” katanya ketika berucap pada malam perasmian BCM di Kuching.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika membuat lawatan Muzium Borneo Sarawak selepas majlis perasmian.

Menurut Abang Johari, selain memelihara warisan, Jabatan Muzium Sarawak juga boleh memainkan peranan lebih besar terutama menyumbang ke arah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak dengan menggalakkan pekerjaan serta kesan ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam sektor perkhidmatan.

Dengan pembiayaan kos sebanyak RM323 juta yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri Sarawak, BCM juga akan menjadi destinasi wajib dikunjungi bagi pelancong yang tiba di Sarawak.

Antara artifak yang dipamerkan di Muzium Budaya Borneo.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pula, beliau yakin BCM akan memanjangkan penginapan pelancong ditambah dengan tarikan lain yang akan datang di negeri tersebut. 

“Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching, muzium ini akan meningkatkan imej bandar dan menjadi pemangkin segera kepada pemulihan bandar.

“Saya yakin Muzium Budaya Borneo, selain Muzium Sarawak lama akan menjadi kebanggaan rakyat Sarawak,” katanya dalam ucapan pada malam sama.

Muzium ikonik serba baharu itu mempamerkan lebih seribu artifak mewakili budaya dan sejarah Sarawak yang menakjubkan.

Ia juga merupakan muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara dengan ruang pameran berkeluasan lebih daripada 6,000 meter persegi dengan keseluruhan keluasan lantai lebih kurang 31,000 meter persegi. 

Sehingga kini, lebih seratus pengunjung dilapor telah mendaftar secara dalam talian untuk melawat muzium tersebut.

Antara artifak yang dipamerkan di Muzium Budaya Borneo.

Untuk pengetahuan semua, hanya 500 orang sahaja dihadkan dalam bangunan itu pada satu-satu masa. Hal ini adalah penting bagi menjaga SOP dan keselamatan semua pengunjung.

Dibuka setiap hari, lawatan ke BCM dibahagikan kepada dua sesi (pagi dan petang) yang mana, setiap satu sesi dihadkan kepada 300 pengunjung sahaja.

Sesi pertama bermula pada 9 pagi hingga 1 tengah hari, sementara sesi kedua bermula 1 tengah hari hingga 4:45 petang. Bagi anda yang ingin mengunjungi muzium ini, ada boleh menempah tiket anda di SINI.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites