Mistik dalam karya Sofia Haron

"Sekarang terlalu banyak orang bercakap buruk tentang perempuan. Saya berazam untuk menepis mentaliti ‘misogynist’ tersebut". -Sofia Haron

Oleh AZUWAN AHMAD

Jika dilihat pada karya-karya lukisan Sofia Haron, pasti ramai di antara kita yang berasa karyanya menjolok mata kerana tema-temanya yang agak berani dan mengangkat wanita sebagai subjek. 

Namun, itu menarik minat penulis untuk berkunjung ke studio milik Sofia di Seremban untuk mengetahui lebih lanjut di sebalik pola pemikiran di sebalik karya-karya pelukis yang kecil molek ini. Nama Sofia Haron tidak asing lagi dalam komuniti seni lukis walaupun masih ramai yang belum mengetahui tentang sosok ini. 

Wanita berumur 31 tahun kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini memperoleh Ijazah Muda Seni Halus di UITM Shah Alam pada tahun 2015 dan dalam karya-karyanya pernah dan sering bereksperimen dengan lukisan cat minyak dan seni ukir. Dia telah melakukan pameran solo yang pertamanya berjudul “EVE” pada tahun 2019 di Suma Orientalis. Karya-karya Sofia boleh dinikmati di laman sosialnya. Klik di sini

Mengakui bahawa dirinya datang daripada keluarga yang bersifat introvert. Dia merasakan dirinya dilahirkan untuk melukis. Jelas Sofia, “Saya sudah melukis sebelum saya masuk ke UiTM lagi. Pada mulanya saya ingin bekerja di pejabat seperti orang lain sebagai seorang pelukis animasi atau pereka industri kerana saya belum didedahkan mengenai seni halus. Tiada seorang pun dalam ahli keluarga saya yang terlibat dalam industri seni di Malaysia, mungkin kerana risiko pekerjaan di dalam industri seni yang dirasakan tidak menjamin dalam negara ini.”

“Kebanyakkan waktu di masa awal-awal bakat saya berkembang, saya banyak belajar sendiri. Artis pertama yang saya kenal adalah Yazid, rakan kepada kakak saya. Saya banyak melihat karya-karya dia dan saya sangat meminatinya. Dari situ, saya mula terdedah dengan karya seni lukis yang lebih besar”.

Sofia sangat bersyukur apabila dapat memasuki institusi pendidikan seperti UiTM kerana di situ dia belajar dengan lebih banyak. “Bagi saya sangat penting untuk mempunyai pendidikan. Di UITM saya belajar mengenai teori, falsafah dan sejarah. Di situ juga saya kenal dengan lebih ramai artis dan komuniti seni. Kalau saya tak masuk institusi pendidikan seperti ini barangkali saya tidak akan berkembang lebih jauh,” ujarnya.

Tambah Sofia, “Saya menemui tujuan hidup dalam melukis. Bagi saya membantu masyarakat bukan sahaja dengan kerja-kerja kebajikan malahan juga menghasilkan karya yang bagus. Karya-karya saya bila tidak lagi di tangan saya, ia adalah milik masyarakat”.

Sofia sentiasa menganggap hasil kerjanya bersifat mistis dan hal ini menjadi asbab dia memilih untuk bergelumang dalam dunia seni.

“Saya melukis menggunakan intuisi saya. Sebab mengapa saya menggunakan warna yang banyak dalam karya saya adalah kerana warna datangnya daripada cahaya. Di antara cahaya dan bayang, di tengahnya ada spektrum. Di tengah itu ada saya. Saya adalah seorang manusia yang sangat berwarna. Semuanya ada jiwa,” ujarnya.

Kalau berbual dengan pelukis kecil molek ini, penulis memang dapat merasakan betapa dia sangat mendalami dan menjiwai karya-karyanya. Apatah lagi, dia merasakan bahawa kerja-kerjanya ini mendekatkan diri dia dengan Penciptanya. 

Jelasnya lagi, dia lahir untuk menconteng, Sewaktu kecil pasti ramai yang menganggap bahawa ia sebuah kenakalan yang parah, namun bagi Sofia, itu merupakan anugerah dari Tuhan dan cara untuk dia mendekatkan diri serta berkomunikasi dengan penciptanya.

Dalam soal ini, paling menarik apabila penulis mendengar Sofia berkata, “Saya percaya karya-karya saya adalah antara medium penyembuhan. Manusia ini sifat semula jadinya adalah cinta tetapi sering dibutakan dengan kesibukan bekerja, dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Fungsi saya adalah supaya manusia tidak terperangkap dalam pemikiran yang begitu. Ini adalah kerja untuk menyembuhkan orang. Saya percaya seni adalah sesuatu yang berkuasa”.

Penulis percaya tidak semua faham akan mesej yang ada pada karya-karya Sofia. Barangkali ada yang merasakan bahawa lukisannya agak keterlaluan. Penulis cuba memahami hal ini dengan mencungkil mengenai hasil karyanya yang kelihatan agak ‘daring’. Sofia akui bahawa adakalanya dia menerima pesanan atau teguran di media sosial daripada warga maya namun dia tidak pernah mendengar atau melihat komen-komen negatif yang dilemparkan kepadanya secara berdepan.

“Manusia ini makhluk yang saya paling suka, juga yang paling saya takut lebih daripada hantu. Itu membuat saya menganggap bahawa manusia adalah sebuah inspirasi. Kalau anda letakkan manusia di dalam hutan, tanpa seurat benang, pasti mereka merasakan bahawa manusia ini sebahagaian daripada alam. Saya suka merakam aura manusia. Tak pernah bosan. Ia sangat menarik,” jelasnya.

Mengenai subjek perempuan yang selalu ada di dalam karyanya, Sofia menjelaskan “Saya bukan mahu melukis perempuan, tapi saya mahu melukis kecantikan tubuh perempuan dalam keadaan mereka menjadi diri mereka. Itu adalah dua perkara yang berbeza. Banyak maklum balas yang positif saya terima .Perempuan-perempuan ini merasa diperkasakan. Lagipun, saya ada hak untuk mengekspresikan diri saya sebagai perempuan.

Foto: Sofia sering menggunakan wanita di dalam subjek lukisannya yang dirasakan sebuah inspirasi agung.

Penulis cuba mengusik Sofia dengan bertanya, Tidakkah dia berasa cliche, seorang pelukis wanita melukis subjek wanita?

Secara sederhana dia menjawab, “Fasa hidup saya sekarang ini adalah mengenai mengenali perempuan secara lebih mendalam. Sekarang saya banyak mendengar perspektif perempuan. Sekarang terlalu banyak orang bercakap buruk tentang perempuan. Saya berazam untuk menepis mentaliti ‘misogynist’ tersebut. Cabaran wanita sekarang adalah mereka hanya mahu menjadi diri sendiri tanpa banyak dipersoal tentang, segalanya”. 

Mungkin ramai yang tidak tahu, Sofia pernah mempamerkan hasil karyanya di Jepun pada tahun 2015 dan itu adalah pameran yang paling di ingatinya. 

“Saya mendapat jemputan untuk mempamerkan lukisan di sana. Seronok sebab penerimaan mereka di sana luar biasa. Seni mereka berada di tahap yang lain. Kali pertama dalam hidup saya, saya merasa diraikan. Mereka melayan artis dengan baik sekali”. 

Dia bercerita lanjut mengenai jemputan beberapa tahun lepas itu, “Ada seorang pengumpul karya seni daripada Shinagawa yang mahu membeli karya saya tetapi sudah dibeli orang lain. Oleh kerana minat dengan karya saya, dia jemput saya untuk pameran di gudang seninya di sana”.

Mengakui baru berjinak-jinak dengan NFT, sebuah platform jual beli karya dengan matawang kripto, kebanyakkan karya Sofia boleh dibeli secara atas talian sama ada melalui media sosialnya atau melalui Galeri Suma Orientalis yang sering menjadi penghubung antara Sofia dan juga pembeli karya-karyanya.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites