Puisi sering dianggap sebagai bahan bacaan sastera semata-mata, sedangkan puisi juga membawa amanat dan mesej yang menjangkaui ruang aksara. Ikuti perjuangan Rumah Ripta menjulang dan membebaskan puisi dari belenggu helaian kertas melalui pementasan puisi.
Oleh ATIKAH HANAFI untuk Lensa Seni | Gambar oleh Rumah Ripta
Karya sastera sering diterhadkan dalam ruang bahan bacaan semata-mata seperti dalam bentuk penulisan yang dibukukan. Memang tidak dinafikan, salah satu medium utama untuk bercanda dengan sastera adalah dalam bentuk tulisan sama ada melalui puisi, novel, skrip pentas dan sebagainya. Karya sastera wujud dalam aksara-aksara yang tersusun kemas dan akan terus hidup selagi ada yang membacanya. Namun, apa akan terjadi sekiranya sastera, khususnya puisi, tidak lagi dibaca?
Sastera itu sendiri makin dipinggirkan masyarakat akibat terlalu mengejarkan kemajuan sains dan teknologi, yang sering dianggap lebih penting dalam pembangunan negara. Walhal, pembangunan budaya, seni dan sastera sesebuah masyarakat itulah yang memanusiakan kita.
Kadangkala puisi boleh bersifat peribadi, tetapi puisi juga boleh membawa maksud yang lebih besar dan mendalam. Puisi boleh menjadi cerminan kepada masyarakat dan memahami kemelut yang dihadapi oleh segenlintir kumpulan manusia yang hidup di zaman puisi itu dilahirkan. Ia boleh dijadikan satu bentuk dokumentasi dan juga satu senjata untuk membangkitkan kesedaran pemikiran.
Puisi Bukanlah Sekadar Bacaan Karya Sastera
Namun, terdapat satu tembok tebal yang memisahkan kata-kata seseorang pemuisi itu dengan pembacanya. Disinilah pentingnya acara seperti pesta buku dan acara pembacaan puisi bagi menyambung nyawa karya-karya sastera dan puisi ini agar terus menyubur dalam hati masyarakat.
Apabila kita berbicara tentang mendeklamasi puisi pula, gambaran tipikal yang muncul di minda ialah seorang lelaki mahupun wanita yang menginjak usia berdiri di hadapan khalayak sambil membaca satu per satu bait kata yang tertulis di dalam naskhah yang dipegang kemas di tangannya. Gambaran ini masih benar namun pemuisi kontemporari juga terdiri dari golongan muda belia yang sudah mengorak langkah untuk memperkenalkan karya mereka dengan cara yang lebih dinamik dan interaktif.
Bagi menyampaikan amanat rasa dan mesej yang terkandung dalam karya, pemuisi menggunakan bahasa tubuhnya dan bermain dengan nada suara mereka. Kadangkala, rasanya sampai ke sukma yang menontonnya, menerbitkan rasa marah, simpati, sedih, kecewa dan gembira. Terkadang, pembacaan puisi hanyalah bacaan sepi seorang pemuisi yang bertemankan aksara. Bukan salah puisi atau penulis tersebut, cuma penyampaiannya sahaja yang kurang hidup dan tidak cukup terkesan di sanubari penonton.
Pementasan Puisi Rumah Ripta Memberi Nafas Baru
Namun, puisi bukanlah sekadar bacaan karya sastera yang hanya ‘dihidupkan’ melalui bacaan yang mekanikal dan kurang nyawa. Sesebuah puisi membawa rahsia dan cerita penulisnya. Rumah Ripta, sebuah kolektif yang mengelola acara seni dan menerbitkan buku-buku puisi, telah memberi nafas segar kepada karya sastera dan bagaimana sesebuah naskhah itu boleh disampaikan kepada penonton menerusi sebuah pementasan puisi yang dipersembahkan di Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB 2022) pada 27 Februari lalu.
Pementasan puisi yang bertajuk ‘Tumbuh: Melawan Kalah, Menuju Pulih’ menampilkan lima pemain utama yang terdiri daripada Mucky, Ash Mime, Adam Hazin, Wani Ardy dan Mosyuki Borhan. Apa yang menjadikan pementasan ini lebih menarik ialah tambahan beberapa elemen lain seperti muzik, tarian dan lakonan mimos (mime act) sebagai ‘penambah rasa’.
Pementasan dimulakan dengan iringan instrumen pekin dan modular synthesizer yang masing-masing dimainkan oleh Suki dan Mucky. Kemudian, empat pemain masuk ke pentas lalu menyeru kata kunci masing-masing, “Menuju” (Adam Hazin), “Kalah” (Ash Mime), “Melawan” (Wani Ardy), dan “Pulih” (Mosyuki Borhan).
Persembahan mereka kemudiannya dipecahkan kepada lima bahagian berbeza. Kesemua pemain masing-masing mendukung cerita dan perjuangan sendiri. Setiap mereka sedang berdepan dengan cabaran kehidupan. Namun, cabaran dan masalah sememangnya menjadi lumrah kehidupan manusia. Laksana sebuah pohon kecil, yang makin dicantas makin lebat pertumbuhannya, kesemunya cabaran dan masalah inilah yang mematangkan dan menjadikan kita manusia.
Walaupun tiga pemain masih menggunakan kata-kata sebagai medium untuk meyampaikan puisi mereka, dua daripada mereka membawa kelainan dengan menggunakan lakonan mimos dan elemen muzik dan bunyi-bunyian untuk bercerita. Mucky sebagai pemula membawa ceritanya melalui penggunaan modular synthesizer, elemen muzik, bunyi, rakaman dan suara.
Membawa naskhah puisi dalam bentuk dan medium yang berbeza nyata mencipta kesan unik kepada keseluruhan pementasan. Namun, fragmen pertama yang dibawa Mucky ini dirasakan terlalu meleret dan boleh membuatkan penonton hilang tumpuan. Tambahan pula, jenis bunyi yang dimainkan agak berulang dan membingit sehingga boleh membuatkan penonton merasa sesak dan tidak keruan. Sama ada ini memang perasaan yang ingin disalurkan Mucky, tidaklah dapat diketahui kerana merungkai puisi yang disampaikan dalam bentuk dari bunyi dan elemen muzik semata-mata masih lagi sesuatu yang baru dan sukar ditafsirkan.
Sayangnya, mood dan perasaan yang dirasakan di bahagian pertama ini boleh terbawa-bawa ke bahagian kedua yang dimainkan oleh Adam Hazin. Sekaligus mengganggu tumpuan penonton untuk memahami cerita yang dibawa walaupun pemain kedua ini memberi penyampaian yang cukup dinamik dan bertenaga.
Penyampaian yang Sarat dan Berat dengan Mesej dan Rasa
Secara peribadi, persembahan Ash Mime dan Wani Ardy merupakan yang paling meninggalkan kesan mendalam, baik dari segi cerita yang dibawa dan juga gaya penyampaian. Ash Mime membawa cerita seorang yang ‘tewas’ dalam arus kedewasaan. Masa kecil yang naif dan penuh gelak tawa beransur-ansur menjadi kehidupan yang gundah. Bermula dengan tawa dan ejeken rakan sekelas disebabkan kesilapan-kesilapan kecil, menjadi lebih parah dengan tekanan dan herdikan pegawai atasan di tempat kerja.
Kita sering mengganggap kata-kata itu sesuatu yang remeh, namun impaknya kepada mereka yang menerima boleh memberi luka dalam yang sukar disembuhkan. Watak yang dibawa Ash Mime ini tenggelam dalam bisik-bisik yang menghantui dirinya. Bisik-bisik ini terus membingit sehinggakan dia hilang diri dan kewarasannya.
Uniknya, Ash Mime tidak mengeluarkan sebarang kata-kata untuk menyampaikan kisahnya. Semua ini ditafsir sendiri oleh para penonton melalui gerak-geri tubuhnya dan ekspresi wajahnya yang dikuatkan dengan sokongan bunyi-bunyian dan muzik latar belakang. Ash secara literal menyampaikan puisi melalui gerakan (poetry in motion). Puisinya mungkin tidak terzahir dalam kata-kata. Namun, puisinya jelas ‘berkata-kata’ melalui gerak-geri pemainnya.
Manakala mesej yang dibawa Wani Ardy mungkin bukanlah sesuatu yang baru. Bagi mereka yang sudah lama mengikuti cerita dan peribadi insan bernama Wani Ardy, kisah mengenai dirinya yang dilahirkan tanpa rahim dan kini bergelut pula dengan masalah pendengaran tentunya sudah pun diketahui ramai.
Meskipun begitu, kata-kata dan penyampaiannya yang seolah-olah melirih dan merintih tetap sarat dengan seribu satu perasaan sehingga rasa pedih dan ngilunya turut dirasa oleh mereka yang menontonnya. Lebih tepat buat para wanita yang menginginkan zuriat tapi hasratnya masih tidak kesampaian dan juga mereka yang menyandarkan minat dan punca pendapatan mereka pada deria pendengaran, persembahan Wani Ardy sudah pasti lebih menyentuh sanubari mereka.
Pementasan puisi tersebut disimpulkan dengan persembahan Mosyuki Borhan yang tidak kurang hebat impaknya. Disebalik lagaknya yang tenang dan bersahaja, mesej dan amanat yang dibawa pemain terakhir ini cukup berat. Mosyuki berbicara mengenai kesinambungan antara rutin dan pemulihan. Peralihan pagi dan malam mungkin terasa biasa, namun hidup itu memang satu rutin untuk pulih. Apa yang kita isi dalam kebiasaan hari-harilah yang memulihkan.
Melestarikan Dunia Puisi
Pementasan puisi Rumah Ripta ternyata membawa pendekatan yang menarik. Naskhah yang digunakan oleh para pemain dalam pementasan merupakan karya pemain-pemain itu sendiri yang lahir dalam bentuk puisi terlebih dahulu. Walaupun, pementasan mereka menggabungkan beberapa puisi dalam satu pementasan, namun kesemua karya mereka mempunyai keharmonian dan berkongsi tema yang sama.
Sedekad lalu, acara kecil-kecilan seperti Pasar Boco, Eksotikata dan Pekan Frinjan, Rumah Titi memberi platform buat penulis indie untuk mengetengahkan puisi mereka. Malangnya, pesta buku alternatif dan acara-acara mendeklamasi puisi sudah makin jarang diadakan, lebih-lebih lagi semenjak dunia didatangi wabak COVID-19.
Justeru, pementasan puisi yang disajikan oleh Rumah Ripta dan Pesta Buku Alternatif KLAB yang diadakan baru-baru ini terasa seperti sebuah hidangan istimewa buat peminat buku dan puisi tanah air.
Membaca puisi di ruang bacaan sendiri pastinya membangkitkan rasa dan pengalaman tersendiri, lebih-lebih lagi apabila disela dengan beberapa hirupan kopi. Tidak kiralah jika anda sememangnya seorang peminat puisi atau seseorang yang baru berkenal-kenalan dengan puisi, melihat dan mendengar puisi-puisi dihidupkan melalui pembacaan dan pementasan puisi pula tentunya membawa tarikan dan aura berbeza.
Jika pementasan puisi seperti yang dibuat Rumah Ripta ini dapat membuatkan makin ramai jatuh cinta dengan puisi, maka seharusnya pendekatan sebegini digalakkan malah dipelbagaikan lagi. Dengan harapan agar puisi bukan sekadar mekar dalam lembaran kertas semata-mata, malah tumbuh malar dalam hati dan sanubari masyarakat.
Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di Lensa Seni dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.
Atikah Hanafi ialah peserta PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021
Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau ,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.