Melihat gaya hidup Jakun melalui lensa Shima Sidek

'Tempok Pelendong Ang' merupakan sebuah buku foto hasil rakaman Shima Sidek, seorang jurugambar dari suku kaum Jakun yang menetap di Pahang.

Oleh DANIAL FUAD

Tempok merupakan sebuah hiasan kepala yang sering dipakai oleh Orang Asli. Selain digunakan di dalam upacara penyembuhan seperti sewang, hiasan kepala ini juga merupakan pakaian harian komuniti Orang Asli. Namun begitu, adat menganyam serta amalan memakai tempok ini juga sedang dimakan zaman kerana golongan muda kian hilang minat terhadap adat dan tradisi.

Bagi mengatasi permasalahan tersebut, seorang jurugambar dari suku kaum Jakun di Pahang iaitu Shima Sidek telah mengeluarkan sebuah buku foto yang berjudul Tempok Pelendong Ang. Menurut Shima, “Dari dulu lagi saya cuba untuk menghidupkan kembali budaya yang sudah dilupakan iaitu tempok.”

Hari ini, Orang Asli giat berkongsi tentang kehidupan mereka melalui acara-acara berkaitan kesenian dengan kerjasama penggiat seni seperti Syarifah Nadhirah, tidak dilupakan juga galeri seperti Gallery Gerimis. Oleh sebab itu, kerjasama seorang lagi jurugambar Malaysia, Jeffrey Lim daripada Studio 25 dalam menghasilkan buku ini tidak datang sebagai suatu kejutan.

“Buku Shima adalah sebahagian daripada sebelas buku foto yang dikomisenkan kepada artis fotografi muda, dan salah satu daripada lima buku di mana saya bekerjasama dengan artis untuk menghasilkan buku foto mereka semasa pandemik,” ujar Jeffrey.

Jeffrey dan Shima telah bekerjasama untuk menghasilkan buku foto ini untuk pameran The Invisible Future, Facing the Visible Past anjuran Lightbox Photo Library di Taipei, Taiwan pada tahun 2020 . Tambah Jeffrey, “Kami akhirnya membuat tiga buku contoh, satu yang dihantar ke Taipei untuk koleksi perpustakaan mereka, satu untuk Shima, dan satu untuk studio saya.”

Usai projek tersebut, Jeffrey memberikan dorongan kepada Shima untuk teus mengambil peluang dalam memohon Geran Pemulihan Industri Kreatif Sastera dan Penerbitan yang ditawarkan oleh MyCreative Ventures. Geran yang dilancarkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada tahun 2021 ini telah membantu dalam pencetakan semula buku foto Shima ini untuk penerbitan.

Terdapat dua bahagian dalam buku foto Tempok Pelendong Ang ini; sebahagian memaparkan gambar pemandangan kontemplatif manakala sebahagian lagi mengandungi gambar potret yang mempunyai elemen anyaman tempok. Kata Shima lagi, “Saya mengambil gambar secara keseluruhan, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya terhadap kehidupan sekeliling.”

“Gambar pemandangan saya rakam secara spontan sahaja. Saya merakam apa yang saya lihat, apa yang menarik minat saya,” ulas Shima. Jelasnya, gambar-gambar pemandangan hasil garapan Shima lebih menceritakan hubungkait kehidupan Orang Asli dengan alam. Terdapat sedikit lelucon (jenaka) yang terkandung dalam gambar-gambar beliau, misalnya Permandangan Tasik Biru di Bukit Ibam yang memaparkan gambar kerusi menghadap tasik berwarna biru yang beracun akibat daripada perlombongan bijih besi; sebuah kerosakan alam akhirnya menjadi tarikan pelancong.

Bahagian kedua buku foto ini diisi dengan potret Shima serta orang kampungnya lengkap dengan tempok. Terdapat juga anyaman hasil tangan ibu saudara serta ibunya yang dirakam dalam buku foto ini.

Apa yang menambah lagi tarikan terhadap buku foto ini adalah muka depan dan belakangnya. Para pembeli buku ini berpeluang untuk menganyam sendiri kulit buku ini. Mengambil inspirasi daripada karyanya pada tahun 2016, separuh daripada kulit buku ini perlu dianyam untuk mendedahkan potret Shima. Perkara ini sedikit sebanyak memberi pendedahan yang lebih mapan tentang anyaman Orang Asli.

“Karya seni saya bercakap bukan hanya untuk saya tetapi juga untuk orang-orang yang telah lama diam dan senyap,” tambah Shima lagi.

Buku Tempok Pelendong Ang ini telah dilancarkan pada 22 November 2023 di Sunda Shelves, No. 32 (Tingkat 1) di Jalan SS 20/10, Damansara Kim, Petaling Jaya, Selangor. Terdapat acara anyaman yang berlangsung semasa pelancaran tersebut bersama Shima dan Jeffrey. Bagi yang berminat untuk mendapatkan buku Shima, boleh terus pergi ke Sunda Shelves atau pun hubungi Shima melalui Facebook.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites