Adiguru CENDANA: Diaman bin Kisah

Oleh NABILA AZLAN

Sewaktu menelusuri corak kehidupan salah satu suku orang asli Malaysia iaitu suku Mah Meri yang tinggal di Pulau Carey di Banting, Selangor, kami pelajari unsur-unsur seni dan kerohanian yang hadir melalui Tarian Topeng. Buat yang tidak biasa dengan kesenian tradisional ini, Tarian Topeng merupakan persembahan berbentuk istiadat yang berkait rapat dengan kepercayaan dan amalan budaya orang Mah Meri sendiri.

Mengambil ilham dari alam sekeliling, ahli persembahan Tarian Topeng seperti Diaman bin Kisah mengambil inspirasi daripada pergerakan haiwan, tumbuhan, dan unsur alam semula jadi yang lain. Satu lambang seni yang jelas dalam bentuk tarian ini adalah topeng yang digunakan; setiap satunya diperbuat daripada kayu, lengkap dengan hiasan dan bentuk yang halus lagi rumit. Topeng yang dihasilkan sesuai dengan penceritaan semula kisah, selain membawa sesebuah watak mahupun semangat yang tertentu. Orang Mah Meri percaya bahawa roh yang digambarkan melalui topeng mempunyai kuasa istimewa yang boleh membantu mereka dalam kehidupan seharian, misalnya dalam membawa tuah atau menghalau roh jahat.

Muzik iringan pula disediakan dengan bantuan alatan muzik tradisional seperti gendang, serunai, dan gong dalam menambahkan lagi suasana mistik dan dunia lain persembahan. Sesetengah persembahan menggunakan tuntung, juga biola.

Pentingnya Tarian Topeng ini sejak turun temurun bukan sahaja sebagai sebuah bentuk hiburan, malah sebagai satu tradisi budaya yang penting bagi masyarakat Mah Meri. Tarian ini menjadi kewajipan semasa berlangsungnya pelbagai acara dan upacara kebudayaan, termasuk perkahwinan dan pengebumian. Ia merupakan satu cara untuk menghubungkan warisan budaya dengan identiti mereka, lantas mewariskan tradisi ini ke generasi yang seterusnya.

Diaman merupakan penari Tarian Topeng yang mewarisi lenggok tari ini daripada ahli keluarganya yang terdahulu (nenek moyangnya) menerusi ajaran langsung bapanya, seorang nelayan. Sebuah penghubung kerohanian, tarian ini juga dipersembahkan pada Hari Moyang (usai tahun baru Cina setiap tahun) yang juga hadir sebagai sebuah sambutan kebesaran tahun baru untuk masyarakat Mah Meri. Pada Hari Moyang ini, mereka percaya bahawa pintu masuk ke alam lain terbuka luas.

Tarian ini diiringi nyanyian dalam bahasa Mah Meri sendiri. Diaman lazimnya mempersembahkan Tarian Topeng tanpa bersuara (kecuali diminta terlebih dahulu). Sambutan yang boleh memakan masa berjam lamanya ini boleh membuatkan dia memakai topeng tersebut selama itu, hasil hubungan sang penari dengan roh nenek moyang yang keluar.

Buat pengetahuan pembaca, penghasilan topeng Moyang Bajau (moyang laut) oleh Diaman ini sudah menjangkau tiga generasi lamanya.

Salah satu cerita terkenal yang digunakan dalam persembahan tarian ini digelar Harimau Berantai, di mana konsep Tukar Ganti dipersembahkan. Dalam kisah ini, sekumpulan lelaki ke hutan untuk memburu haiwan sebagai makanan. Mereka mendirikan umpan di sekitar hutan dengan harapan ia akan mengena sewaktu mereka kembali ke kawasan tersebut. Setibanya mereka, ada seekor harimau yang terperangkap. Sekumpulan lelaki ini pula ‘terjerat’ di antara dua pilihan: lepaskan harimau itu, ia akan mengundang bahaya, namun kekalkan ia di dalam jerat dan haiwan itu bakal mati. Mereka bertindak untuk balik ke rumah masing-masing, menghasilkan ukiran harimau yang mampu berhubung secara spiritual dengan haiwan tersebut. Dengan meletakkannya di hadapan harimau yang telah mati itu, ia telahpun ditukar ganti rohnya (ukiran dengan harimau). Tukar Ganti berfungsi sebagai cara Mah Meri untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman, sehingga ke hari ini.

Menggunakan pohon Mahogani yang teguh (yang biasa digunakan dalam pembuatan piano), suku kaum ini menghasilkan karya ukir. Kayu Pulai yang tidak terlalu berat pula diguna pakai untuk menghasilkan topeng untuk dipakai. Sayangnya, kayu Pulai sudah sukar untuk ditemui di pulau kediaman mereka dan perlu dicari di kawasan lain untuk digunakan. Menurut anak perempuan Diaman sendiri, kayu pohon Pulai sekarang dibekalkan dari pepohon lama dan kayu-kayan terbiar di Gombak, Selangor.

Buat pengetahuan anda, tarian Mah Meri generasi sebelumnya tidak datang dengan kelengkapan pakaian seperti yang anda mampu lihat sekarang. Diaman merupakan seorang pengamal seni berani yang inovatif, mengiringi persembahan dengan perhiasan yang diperbuat daripada daun nipah. Idea ini diperkembang dengan ‘perut buncit’ yang ditambah kepada watak yang dia mainkan, Tidak ada paksaan untuk dia menukar atau mengikut sebulat-bulatnya, namun Diaman tegar untuk menjadikan tarian unik ini identiti dan hasil karya yang dekat dengan dirinya.

Melalui program Adiguru CENDANA, Diaman mampu membawa masuk dua orang pelajar tarian di bawah jagaannya, serta lima orang pelajar seni ukir. Kesemuanya pelajar lelaki, kata Diaman, “Sukar untuk saya menerima pelajar perempuan. Tetapi, kalau semangat [seseorang pelajar perempuan itu] kuat, boleh sahaja [dia belajar].”

Katanya, proses menghasilkan topeng yang diajar adalah seperti berikut – pertama, mereka mengumpul kayu, kemudian mula membentuk rupa awal ukiran, sebelum meneruskan karya topeng ukiran dengan pahat, pisau dan pensel untuk mengeluarkan corak muka – hidung, diikuti pipi dan mata. “[Proses ini] tak boleh terburu-buru, walaupun saya sudahpun menghasilkan topeng sendiri dengan begitu lama.”

“Saya bertuah [terpilih sebagai] Adiguru,” katanya. “Saya perhati, bila orang luar panggil saya untuk persembahan sekarang, mereka harus bayar [saya] tinggi. Semangat saya lebih kuat sekarang,” katanya, bersyukur dengan penghargaan dan pengiktirafan yang datang kepadanya. “Topeng ini, buat masa ini tak ada orang yang boleh buat lagi, kecuali anak dan cucu saya, samalah dengan menari. Tak boleh [seni ini] sembarangan orang lain buat. Bila orang nakkan persembahan [seperti ini], minta kebenaran dahulu. [Cara ini’ selamatkan tarian saya dan topeng saya untuk anak cucu saya pada hari esok.”

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Mah Meri telah mendapat pengiktirafan buat warisan budaya mereka yang unik, sekaligus menjadikan Tarian Topeng sebagai sebuah tarikan popular bagi pelancong yang melawat Malaysia. Melalui tarian ini, Mah Meri dapat berkongsi budaya dan tradisi mereka yang kaya dengan seisi dunia. Menerusi program Adiguru CENDANA dengan sokongan PUSAKA ini, generasi muda dapat belajar sendiri kesenian yang tiada tolok bandingnya terus dari pengamal seni yang berpengalaman. Semoga Tarian Topeng terus menjadi tarikan seni bukan sahaja untuk mereka dari luar negara, tetapi seakan keajaiban seni buat pelancong di tanah air.

Diaman bin Kisah merupakan penerima geran Adiguru fasa pertaman dalam Tarian Topeng Mah Meri. Program Adiguru dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites