Melihat alam lewat karya Jaafar Taib

Setelah hampir 30 tahun menginspirasikan alam dalam ketelitian karyanya yang menampilkan kepelbagaian genre dan teknik, Pengasas Majalah Gila-Gila, Jaafar Talib konsisten menyuarakan mesej serta pandangannya terhadap alam semula jadi dan isu berkaitan dengannya.

Oleh WAN NUR AQMAR ZULKIFLI untuk Lensa Seni

Jaafar Taib dilahirkan di Alor Gajah, Melaka pada 28 Julai 1952. Dia memulakan karier di dalam bidang seni lukis lebih dari 25 tahun yang lalu sebagai seorang illustrator dan sehingga kini Jaafar telah pun mencapai reputasi yang teguh di dalam dunia penerbitan. Jaafar tidak hanya berjaya sebagai seorang kartunis dan ilustrator bahkan telah berjaya mencipta nama sebagai seorang ahli perniagaan yang disegani. Dia telah berjaya menubuhkan dan menerajui syarikat Creative Enterprise Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat penerbitan yang mengumpulkan antara artis-artis dan karyawan seni berbakat dan mahir di tanah air.

Bakat semula jadi Jaafar Taib terserlah melalui berbagai aspek seni lukis, termasuk melalui figura manusia dan haiwan, dan juga hasil-hasil kerja seni yang menggabungkan elemen-elemen kebudayaan. Hasil karya seninya mendapat perhatian dari pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat dan mendapat penghargaan dari serata tempat pameran yang diadakan di tengah-tengah hutan sehingga ke galeri di dalam istana.

WhatsApp Image 2021-12-25 at 7.23.20 PM(1)
WhatsApp Image 2021-12-25 at 7.23.20 PM
Sumber Majalah Gila-Gila, Majalah Humor Nasional.

Pada 1 April 1978, Majalah Gila-Gila diterbitkan dimana bermulanya penglibatan Jaafar dalam bidang kartun. Kemunculan majalah humor berkenaan menjadi fenomena serta membawa dimensi baru dalam dunia kartun dan pasaran majalah tempatan. Gila-Gila juga adalah salah satu majalah humor yang hingga kini mengekalkan mottonya sebagai majalah satira nasional’ diterbitkan sebanyak 2 kali sebulan dan tidak hanya terhad kepada edisi bulanan tetapi juga terbitan. 

Abstrak komik dan karikaturnya memberikan sindiran-sindiran dan kritikan terhadap segala hal yang berlaku dalam kehidupan manusia. Di samping dilihat sebagai suatu bentuk seni serta wadah komunikasi yang penting, kartun juga dianggap sebagai senjata budaya yang berpengaruh. Kiasan dan jenaka yang digunakan dalam kartun pula memungkinkan mesej yang ingin disampaikan oleh kartunis cepat sampai kepada pembacanya. Sehingga kini dia dikenali sebagai seorang kartunis yang berkaliber dan serba boleh.

Meskipun dalam kartun-kartun yang dihasilkan, Jaafar sering menggunakan imej haiwan sebagai objek tumpuan dan hutan rimba sebagai latar, ia tidak sedikitpun menjejaskan mesej dan sindiran yang ingin disampaikan. Ini kerana, kedua-dua imej tersebut yang sering melatari karya Jaafar Taib mewakili imej masyarakat Malaysia itu sendiri secara realiti. Penulisan ini sedikit sebanyak dapat mengupas citra masyarakat Malaysia dalam kartun-kartun Jaafar Taib menggunakan pendekatan Semiotik oleh Pierce (1867). Semiotik adalah ilmu yang mempelajari tentang lambang (sign), fungsi lambang, dan makna daripada lambang. Penulisan majalah seperti ini memainkan peranan utama dalam menyiarkan tulisan dan bahan berkaitan seni.

Bidang komik telah memberi satu pengertian baru kepada perkembangan politik dan sosial sesuatu masyarakat. Lukisan berbentuk kartun sangat popular dan ia merupakan satu pendekatan yang agak mudah bagi menceritakan sesuatu perkara ataupun untuk menyampaikan mesej. Ia juga mencerminkan dengan jelas sikap, selera dan tabiat masyarakat. Selain komik dan kartun, Jaafar adalah pelukis hebat dengan menghasilkan catan. Antara catannya yang sangat dikagumi ialah siri burung-burung di Malaysia.

sang juara
Jaafar Taib, Sang Juara, Cat Arkilik, 2005.

Sekeping kanvas yang telah siap dilukis adalah hasil terjemahan idea pelukisnya. Idea pelukis merupakan himpunan khazanah kreativiti yang penting bagi mereka. Sukar digambarkan bagaimana seorang pelukis dapat menterjemahkan kembali idea-idea untuk tatapan penghayat seni.

Menurut ahli falsafah klasik Plato dalam konsepnya Mimesis atau disebut sebagai imitasi yang merupakan seni ialah satu peniruan alam.  Dalam teori itu, Plato menjelaskan terdapat empat perkara yang berkaitan dengan peniruan iaitu mengulangi dan mengeluarkan semula kata-kata atau gerak tangan ataupun perbuatan orang lain. Kedua, membuat satu peniruan atau sesuatu yang mempunyai persamaan dengan objek atas apa yang dilihat. Ketiga, berlagak seperti orang lain dan yang terakhir, mewakili atau meniru aksi-aksi manusia lain.

Memahami konsep ini, penulis sangat tertarik dengan kebanyakkan karya lukisan Jaafar Taib. Jaafar yang telah berkecimpung dalam dunia seni tampak lebih dari tiga puluh tahun memiliki ciri-ciri yang dinyatakan oleh Plato itu. Antara yang dinyatakan oleh Plato,

“Seseorang pelukis yang baik bukan sahaja dapat meniru sesuatu objek, tetapi juga perlu menghasilkan tiruan yang tepat. Objek yang dilukis itu nampak seperti objek asal dan mereka yang melihat lukisan atau catan itu perlu berpendapat bahawa mereka sedang melihat objek yang asal,“ katanya.

Berdasarkan kepada pandangan Plato itu, penulis berpendapat kemampuan Jaafar Taib merakamkan semula objek yang dilihatnya itu di atas karya seni catannya amat mengagumkan. Socrates berpendapat bahawa karya seni sebenar merupakan satu proses peniruan alam semula jadi dan kemudiannya pelukis  mengolah semula dalam bentuk yang diingini. Pandangan Socrates dan Plato dikembangkan pula oleh Aristotle. Aristotle melihat seni sebagai satu elemen yang dapat mendekatkan manusia dengan alam. Beliau menggunakan istilah Mimesis yang merujuk kepada proses peniruan, iaitu dengan menghasilkan semua isi dan makna, bentuk , kata-kata dan gerak geri orang lain ketika menghasilkan sesebuah karya.

Jaafar taib ingin menyampaikan mesej supaya menyintai khazanah alam Malaysia.  Karya ini berlatarbelakangkan suasana hutan yang sudah diteroka dan ditebang akibat kerakusan manusia. Figura ayam tersebut merupakan ayam yang berani, hal ini dijelaskan melalui tajuk karya tersebut iaitu “Sang Juara”. Dia telah memilih hampir ratusan burung-burung dan unggas sebagai bahan kajian dan rujukannya. Antaranya burung helang, merbok, terukur, merbah , murai enggang, pungguk, pekaka (raja udang) dan sebagainya. Malah Jaafar juga merupakan satu-satunya pelukis tanah air yang berjaya merakamkan subjek itu sebagai salah satu himpunan khazanah seni mergastua untuk tatapan generasi akan datang.

IMG_256
Enggang Badak, Cat Minyak atas Canvas, 2008.

Pelukis yang berasal dari Melaka itu mula berminat untuk merakamkan unggas terutama burung-burung itu sejak tahun 1983 lagi. Menurutnya, di negara kita terdapat lebih kurang 650 spesies burung dan unggas. Bagi memenuhi tanggungjawab sosial, dia berusaha untuk merakamkan semula burung-burung itu ke atas permukaan kanvas dengan menggunakan cat air, akrilik dan cat minyak. Penggayaan seni dalam sesuatu karya adalah berdasarkan pengetahuan dan kemahiran artis menggunakan bahan dan alatan.

Menurut Donald J. Irving (1970) di dalam buku bertajuk Sculpture, Material dan Process menjelaskan aspek melahirkan idea kreatif dalam berkarya iaitu sebelum menghasilkan sesuatu karya, setiap artis perlu menjana idea. Setiap idea yang didapati perlu diteliti dan perhalusi pada peringkat awal proses dengan kepelbagian kaedah seperti kadar banding, warna, bahan, keaslian konsep dan bentuk, supaya karya yang dibina mempunyai identiti dan estetika yang tersendiri.

Karya Sang Juara, dihasilkan dengan penuh ketelitian. Bagi penulis, Jaafar Taib ialah individu yang berkebolehan dalam melukis figuratif, Hal ini adalah kerana wujud  kehalusan garisan yang terdapat pada bahagian bulu ayam tersebut. Jalinan yang terdapat pada bahagian bulu ayam tersebut telah berjaya menimbulkan pergerakkan pada bahagian bulu figura ayam hutan tersebut. Selain daripada itu, dalam usaha menjadikan karya tersebut kelihatan lebih nyata, Jaafar telah membuat bayangan cahaya matahari terhadap bulu ayam tersebut. Situasi ini telah berjaya menjadikan karya tersebut kelihatan seakan -akan nyata. Setiap unsur seni telah diterapkan dengan sempurna dalam catan ini.

Perkara yang sangat menarik perhatian adalah dari aspek penggunaan warna. Pengkarya telah menggunakan warna sebenar yang ada pada seekor ayam jantan. Selain itu, dengan menggunakan warna pengkarya mampu menampakkan bahawa ayam tersebut mempunyai kekuatan dan kelihatan sangat sihat. 

Bagi mendapat kepuasan dalam berkarya, sejak tahun 2001, Jaafar Taib mula memberi perhatian secara serius kepada spesies ayam hutan. Melukis objek sebenar atau realistik memerlukan kekuatan dan disiplinnya yang tersendiri. Antaranya ialah kemampuan pelukis untuk ‘meniru’ atau imitasi terhadap objek yang dirujuk. Menurut beliau, ayam hutan adalah spesies burung yang perlu dilindungi. Keistimewaan unggas ini ialah dapat menyesuaikan diri dengan semua keadaan habitatnya.

Hasil dari temu ramah bersama Jaafar taib, bagi mendapatkan gambaran sebenar kehidupan burung-burung dari ayam hutan itu, dia terpaksa melalui satu laluan yang sukar dan mengambil masa yang lama. Jaafar menyusuri belukar, denai, rimba, mendaki bukit-bukau dan gunung-ganang. Sekiranya keadaan memaksa dia akan berusaha untuk menangkapnya bagi merekodkan butiran seperti menimbang berat , ukuran, mengkaji warna bulu dan melepaskannya kembali. Selain itu, dia berusaha untuk merakamkan pergerakannya dengan kamera.

Mesej yang ingin disampaikan oleh pengkarya ialah tentang penerokaan hutan yang telah berlaku secara berleluasa. Hal ini jelas ditunjukkan pengkarya dengan menggunakan ikonografi ayam hutan yang diletakkan diatas tunggul pokok balak di kawasan hutan yang telah diterangkan. Penerokaan hutan yang dapat dilihat pada tunggul pokok, bulu ayam yang menerima banyak cahaya dan juga pada pokok yang diletakkan jauh dari ayam tersebut.

Ayam hutan ialah antara haiwan yang dilindungi dan kemungkinan akan mengalami kepupusan akibat diburu secara haram. Haiwan ini suka mendiami di belukar-belukar berhampiran hutan dan di ladang-ladang kelapa sawit. Ayam ini mudah didapati kerana cara hidupnya yang berkumpulan dan ayam hutan betina sangat sensitif dengan sebarang pencerobohan terutama musuh yang boleh mengancam anak-anak, manakala ayam jantan hutan bertindak sebagai pahlawan.

Ayam ialah sejenis haiwan yang dikategori sebagai omnivor, yang merupakan haiwan yang memakan tumbuhan dan haiwan lain sebagai makanan. Ini akan merubah sistem habitat spesis tersebut, bilamana perubahan seperti pembalakan dan penerokaan ini akan menjejaskan aktiviti pencarian makanan spesis hidupan ini. Perubahan yang berterusan berkemungkinan menyebabkan kepupusan . Adakah ini mustahil? Mungkin tidak dan sekiranya benar ini bakal menjejaskan perjalanan kehidupan habitat flora dan fauna. Manusia perlu bangun dan jaga dari mimpi seterusnya melihat kepada kebenaran dan realiti ini. 

Jaafar juga meminati bidang penulisan dan telah menulis beberapa buah buku antaranya sepuluh buah buku Siri Sang Kancil. Namun begitu kekuatan Jaafar Taib yang paling terserlah ialah menghasilkan lukisan berbentuk realism iaitu merakamkan objek sebenar dari sumber alam sebagai rujukan bagi kebanyakkan karya seninya. Di samping itu, dia terus menghasilkan karya seni kartun dalam majalah humor Gila-Gila.

Bagi penulis, Jaafar taib telah menyumbang hasil karya dan penulisannya terhadap masyarakat. Penulis amat gemar membaca komik versi jenaka. Majalah Humor Nasional Gila-Gila yang menghiburkan itu diserapkan dengan kata-kata nasihat dan mesej-mesej padat bagi faedah masyarakat. 

Kebolehan Jaafar Taib melukis dan menguasai semua genre seni visual itu memberikan kelebihan buatnya. Walaupun dia tidak mendapat pendidikan secara formal dalam bidang seni, namun dia amat optimis bila berbicara tentang kepentingan seni visual pada generasi akan datang. Kemampuan sesorang pelukis itu akan teruji apabila kita (sebagai penghayat seni) berjaya menyelami karya seni visual yang dilukisnya sama ada berbentuk realistik ataupun abstrak.

Menurutnya, masyarakat kita kurang pendedahan dan perhatian terhadap perkembangan dan kepentingan seni visual tempatan. Dia memberikan contoh bahawa terdapat ibu bapa hanya sanggup menghabiskan belanja terhadap perkara yang tidak berfaedah, tetapi amat kedekut untuk membelikan sekotak pensil warna kepada anak-anak mereka. Malah masih ada ibu bapa yang berpendapat negatif yang menyatakan bahawa bidang seni tidak menjaminkan masa depan yang cerah.  Majalah Gila-Gila juga merupakan satu bentuk pembacaan yang baik untuk para peminat komik dan terdapat gambaran pada setiap penulisan. 

Penulis juga mempunyai pandangan yang sama dengan pelukis itu bahawa persepsi masyarakat terhadap seni visual perlu berubah mengikut masa dan zaman. Kini, bidang seni menguasai bidang kerjayanya. Sama ada disedari atau tidak bahawa semua kehidupan kita itu juga tidak terlepas dari meminati unsur-unsur seni. Pakaian, tempat kediaman, kenderaan dan sebagainya mesti memiliki ciri-ciri seni dan memikat kita seperti cantik, menarik dan indah.

Wan Nur Aqmar merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan dari sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites