Masih ada sinar dalam kisah cinta tragis, Butterfly Lovers raih lebih 3.9 ribu tontonan dalam talian

Masih ada ruang dan peluang untuk artis Teochew Opera berkongsi karya mereka dengan penonton walau dalam talian.

Oleh SOFIA AMANEE

Lantunan suara yang hebat dari para aktor diiringi dengan alunan muzik opera membuka tirai episod kedua Panggung Rakyat yang membawakan teater tradisional Teochew Opera bertajuk Butterfly Lovers: Maiden Meeting. Persembahan yang mendapat lebih 3.9 ribu tontonan di Facebook CENDANA Malaysia ini telah ditayangkan secara ekslusif pada 11 September yang lalu.

Teater adaptasi yang cukup sinonim di kalangan masyarakat Cina ini memaparkan dugaan kisah percintaan di antara Liang Shanbo yang merupakan hero yang dimainkan oleh Goh Hooi Ling, pewaris ke empat Teochew Puppet & Opera House dan Liu Xioli memainkan watak Zhu Yintai iaitu heroin dalam kisah percintaan ini. Yintai dan Shanbo yang terpisah bertemu kembali di atas satu perjanjian, iaitu Yintai akan mengahwinkan adik perempuannya kepada Shanbo.

Setibanya mereka di tempat yang dipersetujui, kelibat adik perempuan Yintai tidak pula kelihatan. Akhirnya dia berterus terang bahawa adik perempuan yang dikatakan itu tidak pernah wujud, itu hanyalah rekaan semata-mata. Yintai yang tersipu-sipu malu mula mengakui wanita yang dimaksudkan untuk dikahwinkan kepada Shanbo adalah dirinya sendiri.

Cinta Yintai tidak bertepuk sebelah tangan, Shanbo memberitahu bahawa dia sudah lama mengetahui perkara sebenar. Perasaan cinta dan sayang yang selama ini terpendam di dalam hati mereka akhirnya diikrarkan.

Liang Shanbo dimainkan oleh Goh Hooi Ling (kanan), dan Liu Xioli memainkan watak Zhu Yintai dalam kisah percintaan ini.

Tetapi seolah takdir tidak mengizinkan mereka untuk bersama, kegembiraan yang baru mereka raikan sebentar tadi bertukar kepada momen yang menyedihkan. Yintai memberitahu bahawa dia telah ditunangkan kepada lelaki pilihan bapanya. Tunangnya berasal dari keluarga yang berdarjat tinggi dan berketurunan hebat, tiada tandingannya jika hendak dibandingkan dengan Shanbo.

Nyanyian dan alunan muzik yang tenang pada mulanya bertukar serious dan pilu bagi menggambarkan perasaan Shanbo yang hatinya dirobek. Momen manis bagai berlari di atas gula-gula kapas bersama wanita yang dicintainya bertukar kepada perjalanan yang memedihkan seolah berjalan di atas sebilah pisau.

Menonton tayangan live streaming ini dari rumah, saya harus menegaskan penyampaian opera ini cukup lengkap. Lantunan nyanyian sepanjang 30 minit video oleh para pelakon Teater Teochew harus dipuji! Sangat luar biasa, kerana bukan senang mahu menyanyi dalam masa yang lama, tetapi mereka berjaya melakukannya.

Di samping itu, muzik opera yang mengiringi pertunjukkan tersebut disulamkan dengan gerak tari yang kemas melengkapkan penyampaian cerita yang lebih menyeluruh. Alatan props yang digunakan juga tidak begitu berat, bersesuaian dengan pembawakkan cerita yang ringan.

Sebenarnya saya amat tertarik untuk menonton tayangan Teochew kali ini kerana walaupun penyampaian opera ini disampaikan dalam dialek Teochew, tetapi pada pementasan kali ini penonton disajikan dengan sari kata. Ianya sangat membantu saya untuk lebih memahami dan menghargai kisah cinta sejati diantara Shanbo dan Yintai.

Kisah Butterfly Lovers: Maiden Meeting ini tidak begitu berat, tetapi pengajaran yang dibawa bersama cukup besar untuk kita teladani. Teater adaptasi Cina purba ini mengajar kita bahawa cinta sejati itu wujud, tidak kira apa halangan sekali pun.

Nak tahu kesudahan cinta sejati di antara Shanbo dan Yuntai? Anda boleh saksikannya di  Panggung Rakyat – BASKL.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites