Malam yang ditunggu-tunggu ramai peminat muzik Malaysia akhirnya tiba beberapa hari yang lalu, saat salah seorang penghibur tersohor Malaysia, Faizal Tahir mencuri perhatian dengan mengadakan konsertnya yang berjudul AKU Faizal Tahir di World Trade Centre, Kuala Lumpur pada 2 September 2023.
Memenuhi permintaan para peminatnya, bintang pop-rock tersebut telah mempersembahkan sekitar 21 karyanya yang paling popular sepanjang 17 tahun kerjayanya dalam arena seni tempatan.
Biarpun berjiwa rock, Faizal sebenarnya turut dikenali dengan ajnas karya popnya yang dia persembahkan pada malam tersebut demi memuaskan para peminat setianya.
Bakal menginjak usia 45 tahun, malam itu dibuka dengan lagu yang memperkenalkannya kepada industri muzik Malaysia iaitu, ‘Mahakarya Cinta’, gubahan komposer terkenal Audi Mok dengan lirik nukilan Shah Shamshiri yang sama-sama hadir malam itu.
Selepas menghidupkan suasana, acara diteruskan dengan dendangan lagu ala komedi iaitu karya terbaharunya ‘OK’ yang kemudian disambung dengan irama terdahulunya iaitu ‘Bencinta’ serta ‘Karma’.
Terkenal dengan celotehnya yang suka berbicara, Faizal banyak menghabiskan waktu berbual dengan penonton dan sempat mengucapkan terima kasih kepada beberapa figura penting yang ada dalam kalangan penonton pada malam itu. Ini termasuk tokoh-tokoh industri muzik serta beberapa selebriti tempatan yang datang memberikan sokongan.
Dan sungguhpun ramai menyukai gurau-sendanya, bintang yang sudah mempunyai tujuh cahaya mata itu sempat berkongsi bahawa penerbit konsert pada malam tersebut, Jennifer Thompson sudah mengingatkan dia untuk kurangkan bercakap dan lebihkan menyanyi sepanjang konsert. Lantas, Faizal pun akur dan terus menghibur.
Menyanyikan lagu-lagu hit paling popularnya sepanjang 17 tahun, dewan konsert gamat dengan suara nyanyian latar sekitar 3000 penonton yang turut sama menyanyi dengannya tiap kali lagu didendangkan pada malam itu.
Ini jelas ketara tika Faizal menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti ‘Assalamualaikum’, ‘Sampai Syurga’ dan (lagu kegemaran peribadi penulis) ‘Cuba’.
Malam itu juga menjadi lebih istimewa kala penyanyi nombor satu negara Dato Sri Siti Nurhaliza dan rakan alumni Faizal dari siri realiti One In A Million, Alif Satar tiba-tiba turut sama menyertai Faizal secara spontan di atas pentas untuk menyanyikan sedutan lagu ‘Dirgahayu’ serta ‘Gemuruh’ secara berasingan.
Turut dikenali dengan lagu-lagu patriotiknya, Faizal juga mengambil kesempatan untuk ,menyerikan malam dengan ‘Negaraku’ serta ‘Malaysia’ sambil meminta peminatnya untuk mengangkat potongan bendera Malaysia buatan yang ada di bawah kerusi dewan.
Kemeriahan juga diserikan lagi dengan penampilan khas pelakon veteran terkenal Sabri Yunus yang memainkan peranan sebagai Tukang Karut dalam sebuah persembahan dikir barat istimewa yang mengiringi Faizal Tahir.
Untuk menutup persembahan Faizal sempat menyelitkan lagu-lagu popular lain seperti ‘Fire and Water’, lagu berentak reggae ‘Ragaman’ serta ‘Gemuruh’ sebelum mengakhiri malam dengan ‘Santai’.
Malah peminat turut serta menari dan bergoyang bersama, saat Santai didendangkan sebelum malam berakhir.
Lagu-lagu lain yang juga disampaikan pada malam itu termasuk ‘Star Feather’, ‘Karma’, ‘Hanyut’, ‘Sejati’, ‘Bisa Aja’ ‘Ratu’ ‘Adam’ dan ‘Syahadah’.
Faizal yang sempat ditemui semasa sidang media selepas acara memberitahu kejayaannya tidak mungkin dapat dikecapi tanpa sokongan padu para peminat setianya serta keluarga dan rakan-rakannya.
Semoga 17 tahun yang hebat ini akan berterusan! Terima Kasih Faizal Tahir untuk malam yang tidak mungkin kami lupakan!
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: