Makna Anak Malaysia dari pandangan juru gambar

#KlikAnakMalaysia mendapat sambutan menggalakkan di Instagram! Kami di BASKL ingin membantu anda untuk mewarnai idea dan imaginasi anda untuk #KLik gambar yang lebih kreatif dan puitis bersama empat jurugambar profesional.

Oleh SOFIA AMANEE

Banjiran gambar penyertaan memenuhi ruangan #KlikAnakMalaysia di laman Instagram merupakan satu initiatif untuk mewarnai Hari Kebangsaan negara yang ke-64. Selain itu, kumpulan editorial BASKL ingin memberi ruang buat semua pembaca untuk mengambil bahagian dan mengetengahkan bakat serta kreativiti yang terpendam dengan penyertaan pertandingan fotografi menggunakan telefon bimbit.

Tahniah buat semua peserta yang telah berkongsi gambar-gambar yang menarik di “feed” Instagram anda. Namun, kami tertarik dengan tema KLik bulan ini dan pemahaman umum tentangnya. Rata-rata gambar yang dilihat menggunakan Jalur Gemilang sebagai subjek bila dikaitkan dengan anak Malaysia. Jadi ini mengundang pertanyaan dalam diri kami, “Apakah maksud Anak Malaysia dan apakah cara untuk menginterpretasikan makna tema ini dalam gambar”? 

Untuk itu, BASKL telah menemu ramah empat orang jurugambar profesional bagi mendapatkan erti Anak Malaysia dari sudut pandang mereka serta bagaimana untuk mendapatkan inspirasi bagi menghasilkan gambar yang unik dan masih bertepatan dengan tema yang telah ditetapkan.

Kenny Loh

Bak kata Malique dalam lagu Mantera Beradu, “Ijazah terbaik datangnya dari jalanan, dari pengalaman bercakap dan bersalaman.” 

Begitulah petikan yang dikongsikan oleh Kenny Loh, anak jati Ipoh, Perak yang telah mengembara dunia, menimba ilmu kehidupan melalui perjalanan, berinteraksi dan bertukar pandangan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Beliau telah mendokumentasikan pengalaman mengenali masyarakat di tanah airnya menerusi buku Born in Malaysia.

Menurut Loh, walaupun sudah jauh berjalan, berbukukan pengalaman yang luas di dada, cara terbaik untuk menggambarkan “Anak Malaysia” adalah selalu melihat asal usul kita. 

Dengan erti kata lain, bagi Kenny, seni fotografi dapat dirasai semua, jika subjeknya tulus dan dekat di mata semua, pastinya perasaan itu akan turun ke hati. Jika anda dibesarkan di kampung yang nyaman, dipenuhi pokok hijau dan sawah bendang, lokasi anda unik untuk diketengahkan, sesuatu yang mungkin tidak ada pada peserta lain.

Tambah Kenny, “kalau duduk ‘mengeteh’ di mamak, janganlah asyik bermain telefon bimbit. Letakkan telefon bimbit anda dan perhatikan keadaan sekeliling.” 

Anda akan dapat melihat gelagat seorang mamak sedang giat menebar roti, ada yang dengan handalnya menarik teh tarik serta suasana pelanggan berbilang kaum menikmati Teh-O ais mangkuk. Suasana keharmonian di bawah satu bumbung ini adalah gambaran yang cukup dekat dengan konteks “Anak Malaysia”. 

Kadangkala kita tidak perlu melihat jauh, semuanya ada berdekatan dengan kita. Berhenti dan perhatikan suasana di sekeliling anda. Itu bezanya anda dengan peserta yang lain, mereka tidak mengalami hari-hari anda, dan suasana di sekeliling anda. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Loh, anda boleh melayari laman ini.

Airil Ezuan

“Fotografi adalah elemen yang menyampaikan dan menceritakan tentang sesuatu kisah,” itulah pegangan Airil Ezuan, seorang “lifestyle photographer” dari Ipoh, Perak. Beliau meraikan seni fotografi dengan merakam gaya hidup masyarakat di sekelilingnya, seperti sambutan majlis perkahwinan dan kehidupan seharian.

Bagi Airil, penceritaan dalam sesebuah gambar itu amat penting. “Anak Malaysia ialah penyatuan kepelbagaian bangsa yang diraikan” banyak idea yang boleh dikupas.

Misalnya, Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama. Anda boleh mengambil gambar yang berunsur kebudayaan seperti aktiviti kesenian dan juadah asli negara kita yang amat menarik! 

Selain itu, memberi fokus kepada mesej tentang nilai perpaduan dan keharmonian yang kita pertahankan selama ini juga mampu memberikan penceritaan yang mempunyai sentimen yang bermakna, sekali gus dapat membeli jiwa mereka yang melihat seni fotografi ini.

Anda boleh klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai Airil.

Vinoth Raj Pillai

Meninggalkan kerjaya sebagai seorang jurutera, Vinoth Raj Pillai memilih untuk menyarung kamera di lehernya. Vinoth merupakan seorang “self-taught artist” yang mengejar impiannya sebagai seorang jurugambar perkahwinan. Beliau percaya, kisah setiap pasangan pengantin adalah unik dan mereka mempunyai momen tersendiri yang menarik untuk diceritakan. 

“Gambaran Anak Malaysia boleh didapati dengan mudah, ianya berada di sekeliling anda! Sebagai contoh, anda boleh memegang sebungkus Nasi Lemak, bermain permainan tradisional dan memakai pakaian kebangsaan,” menurut beliau, dan ini sudah memadai untuk menggambarkan semangat Anak Malaysia. 

Menurut Vinoth anda juga boleh cuba sisi kreatif yang lain dengan mendekati konsep trend yang tular di TikTok seperti “Show me you are Malaysian, without telling me you are a Malaysian”. Gambar yang “trending” semestinya dapat menarik lebih banyak perhatian dan “like” dari mereka yang melihat gambar anda, kerana mereka faham dan merasakan gambar anda dekat dengan jiwa mereka.

Sedikit tips dari Vinoth untuk mengambil gambar yang luar biasa ialah anda perlu berani untuk merakamkan gambar dari pelbagai sudut yang berbeza. Teknik perspektif yang berlainan amat membantu dalam menghasilkan gambar yang unik.

Klik Vinoth untuk anda kenali beliau dengan lebih dekat. 

Louis Pung Ji Tian

Berkecimpung lebih 11 tahun dalam bidang fotografi landskap dan dokumentari, Louis Pung Ji Tian, anak kelahiran negeri di bawah bayu, Kota Kinabalu, Sabah ini berdedikasi dalam memperlihatkan keindahan kampung halamannya kepada masyarakat luar. Melalui fotografi, Louis ingin mengabadikan keistimewaan dan kebudayaan negeri Sabah yang dianggap tinggi nilainya di mata beliau.

Seperti kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Louis berpegang pada moto “kita haruslah hidup bermuafakat dan saling hormat menghormati antara satu sama lain agar kedamaian negara dapat dikekalkan.”

Konteks “Anak Malaysia” di mata beliau ialah kesatuan bangsa yang berbilang kaum di Malaysia. Cara yang terbaik untuk merealisasikan konsep ini adalah dengan merakam masyarakat harian yang berinteraksi dengan harmoni walaupun berlainan kaum. 

Louis menambah pertandingan fotografi yang bertemakan patriotik sebegini adalah
sangat menarik! Hal ini kerana kita dapat melihat makna “Anak Malaysia” yang akan
disampaikan dengan pelbagai kisah atau penceritaan mengikut pendapat dan
pemahaman jurugambar yang berbeza.

Klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai Louis.

Melihat pada sisi positif pertandingan KLik ini, selain hadiah berupa wang tunai yang ditawarkan, ianya mengajar kita untuk lebih menghargai keunikan kita sebagai anak Malaysia. 

Melalui pendapat empat jurugambar yang diwawancara, tema bulan ini sebenarnya dapat memberi pelbagai inspirasi. Kerana melalui proses mendalami dan merakam konteks “Anak Malaysia”, seseorang individu itu secara tidak langsung telah menyuntik semangat mencintai budaya bangsa dan patrioktik dalam diri mereka.

Tarikh akhir pertandingan semakin hampir, jangan lepaskan peluang ini! Gunakan ilmu dan idea yang telah dikongsikan secara percuma oleh juru gambar yang hebat ini untuk anda paparkan sisi Anak Malaysia melalui lensa telefon bimbit anda. Sertakan kapsyen yang menarik seperti yang telah ditetapkan untuk penyertaan bulan ini.

Jangan lupa untuk hashtag #KLikAnakMalaysia #BASKL #CENDANAMalaysia . Gunakan perkongsian ini sebaik mungkin, dan selamat mencuba.

*Gambar Utama pada permulaan cerita ini adalah hakcipta Kenny Loh.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites