Lukisan seni mural Amirul Ariffi miliki nilai estetikanya tersendiri

BASKL menemuramah pelukis seni mural Amirul Ariffi Hamzah yang menjadikan seni lukisan mural sebagai punca pendapatan dan kerjaya sepenuh masa.

Oleh DANNY ADAM

Mungkin anda pernah melihat lukisan mural pada dinding dengan pelbagai corak dan rekaannya. Ada yang menggambarkannya tidak cantik kerana dinding tersebut kelihatan kotor seolah-seolah seperti vandalisme. Namun sebaliknya ada yang menganggap ia adalah seni yang sangat indah jika corak dan hiasan rekaannya itu sesuai dilukis pada dinding tersebut.

Sebenarnya hasil seni mural ini bukanlah suatu yang asing di negara kita dan rata-rata rakyat Malaysia sudah mula menghargainya. Pelbagai corak dan lukisan menarik dapat diterjemahkan pada dinding, seperti lukisan berbentuk abstrak, flora dan fauna, bangunan serta potret tokoh-tokoh setempat. Selain itu lukisan mural ini juga boleh mendatangkan pendapatan yang sangat lumayan, selain dapat memberi impak kepada masyarakat serta menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

BASKL kali ini berpeluang menemu-ramah salah seorang pelukis seni mural Amirul Ariffi Hamzah, 26, yang menjadikan seni lukisan mural sebagai punca pendapatan dan kerjaya sepenuh masa. Dek kerana minat yang mendalam dalam seni lukisan mural, Amirul Ariffi yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni dan Seni Reka daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambilnya ini meskipun tidak bergelar seorang guru.

Sejak dibangku sekolah menengah lagi, Amirul Ariffi sangat meminati seni mural. Beliau bersyukur dengan ilmu dan pengalaman yang diperolehnya ketika menuntut di menara gading tersebut, digunakan sebaik mungkin untuk menyara diri dan keluarga.

“Berminat lukis mural ini daripada sekolah menengah lagi, waktu itu saya ada terima tempahan lukis mural pada dinding salah sebuah tadika yang terletak di kawasan Puncak Alam. Saya dapat bayaran dalam RM100 lebih, saya tidak kisah sebab waktu itu saya memang minat melukis dan sehinggakan selepas sahaja habis belajar di universiti memang saya tekad untuk jadikan seni lukisan mural ini sebagai kerjaya dan pendapatan saya,” katanya.

Jelas Amirul Ariffi lagi, pada awalnya agak sukar untuk beliau meyakinkan kedua-dua ibu bapanya mengenai cita-citanya ini. Namun, beliau bertawakal dan redha dengan keputusan yang dilakukannya selain perlu berani berdepan dengan cabaran yang mendatang.

“Saya buat keputusan untuk tidak bekerja dengan ada bos, tidak suka ada majikan, tidak suka makan gaji dan mahu bekerja sendiri sebab setiap orang mempunyai pilihan dan hala tuju yang dicari dalam kehidupan.”

Oleh kerana itu, saya buat keputusan sendiri dan perlu menyakinkan ibu dan ayah terlebih dahulu, walaupun ketika itu mereka tidak yakin dengan keputusan saya ini. Bagi saya kita perlu bersungguh-sungguh dengan apa yang kita inginkan dan tidak sesekali mudah berputus asa.

“Alhamdulillah berkat doa keluarga, hanya dengan kerjaya melukis mural, pendapatan bulanan saya pernah mencecah RM10,000 dan ia sesuatu yang sangat luar biasa,’’ katanya lagi.

Dari segi rekaan idea (design), Amirul Ariffi berkata pilihan atau idea lukisan mural itu boleh diberikan oleh pelanggan sendiri atau sekiranya pelanggan tidak mempunyai idea untuk lukisan mural yang diinginkan, mereka boleh memilih rekaan yang disediakan oleh beliau sendiri. Harga bergantung kepada kualiti cat, jenis rekaan atau lukisan, mengikut keluasan kaki persegi, kelengkapan alatan melukis dan jarak lokasi yang dituju.

Sejak negara ketika ini sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19 ia sebenarnya sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan dan punca rezeki Amirul Ariffi kerana tidak boleh melakukan rutin hariannya sebagai pelukis mural.

Namun anak muda ini tidak menganggap ia sebagai pengakhiran kerana beliau masih boleh menggunakan bakat dan ilmu yang dimilikinya sebelum ini dalam bidang seni dengan mengambil peluang melakukan kerja yang lain, seperti pereka grafik logo dan sebagainya.

“Bila negara dilanda COVID-19 sebenarnya ia telah membataskan pergerakan saya untuk melukis mural tetapi saya tidak menyalahkan takdir kerana saya menganggap apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Jadi saya cuba cari pendapatan lain dengan alternatif lain sebagai pereka grafik logo untuk menyara hidup,” katanya.

Minat Amirul Ariffi dalam seni lukisan tidak akan pudar selama-lamanya malah beliau akan terus menjadikan lukisan mural ini sebagai nilai estetikanya yang tersendiri.

“Saya harap generasi muda diluar sana bijak mencari peluang dan menggunakan bakat yang ada sebagai kerjaya atau pendapatan sampingan. Tidak mustahil jika minat dan bakat yang dimiliki itu mampu mengubah nasib dan kehidupan anda!”

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang lukisan mural Amirul Ariffi, lawati laman media sosialnya seperti Instagram ‘effimachant’, Facebook  ‘Amirul Ariffi (Iffi Machant)’ dan Tik Tok ‘@effimachant’.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites