Lebih 500 penyertaan bulan Julai, KLiK Ogos kembali!

Lebih 500 penyertaan bulan lalu, KLiK kali ini kembali dengan tema Dari Jendelaku. Jom KLiK bersama BASKL!

Oleh MARIA MURUGIAH

Peraduan Fotografi KLiK kembali dengan edisi bulan Ogos! Menariknya melalui entri bulan lalu, kami telah mendapat lebih 550 penyertaan dan kali ini peraduan BASKL membawakan tema dan peraturan baharu yang telah ditetapkan untuk anda semua. Jika anda tidak sabar untuk KLiK, kami juga tidak sabar untuk melihat kreativiti yang akan anda kongsikan dalam bulan Ogos nanti!

Sebagai perkongsian, dalam tempoh kami mencari pemenang, sempat juga kami menemu ramah beberapa pemenang bulan Julai, supaya mendapatkan kata-kata hikmat untuk memberikan semangat kepada peserta Ogos nanti.

Menurut Syed Syahmi Said Busu (@syed.official) yang telah menyandang tempat ke-4 dalam pertandingan sulung BASKL ini, dia telah menemui peraduan ini dalam laman Instagram CENDANA Malaysia dan mula berasa minat untuk menyertainya. 

“Lebih-lebih lagi, pada masa PKP ini saya tidak dapat melakukan banyak aktiviti jadi ini adalah peluang untuk meluangkan masa saya serta menonjolkan bakat fotografi. Sebagai seorang jurugambar part-time, saya sering menyertai peraduan fotografi. Pada pendapat saya, syarat-syarat peraduan KLik adalah antara yang paling mudah dan sesiapa pun, sama ada beginner atau expert boleh sertainya.”

Sebagai seorang jururawat serta sebahagian daripada barisan hadapan pandemik Covid-19, Syed berharap karyanya dapat menyampaikan mesej untuk mengingatkan rakyat agar dapat menjaga diri, menjaga SOP dan tidak mengambil mudah akan aspek kebersihan atau kesihatan.

Bagi Amsyar Naaif Shahmaruddin (@amsyarnaaif) yang juga pemenang tempat pertama pula, “Semestinya saya berasa agak gementar untuk mengetahui keputusan pertandingan kerana semua peserta mempunyai saingan yang kuat. Dalam pada masa yang sama juga saya agak yakin dengan gambar saya kerana saya telah membuat yang terbaik dari segi emosi dan penceritaan gambar yang telah saya tangkap menggunakan telefon pintar saya.” 

Selain mencungkil bakat fotografi dalam kalangan rakyat Malaysia, BASKL juga ingin memberi ruang dan peluang untuk semua mengekspresikan diri dan seni dalam diri mereka dengan gambar- gambar yang telah diambil. Tidak kira golongan tua mahupun muda, asalkan mereka mengikuti syarat yang telah ditetapkan, semua berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini. 

Menurut Amsyar, peraduan seperti ini harus kerap diadakan supaya bakat-bakat terpendam yang ada pada rakyat Malaysia ini dapat diketengahkan. Hal ini kerana, terlalu banyak anak muda yang berbakat, namun agak sukar untuk ditonjolkan diri dalam situasi dunia dilanda pandemik ini.

“Melalui peraduan KLiK, ia telah membuka peluang kepada saya dan juga rakan-rakan fotografi yang lain untuk mengetengahkan bakat dan hasil karya masing-masing,” kata Mohd Muhiyadim Mohamad Yusoff (@perantau_21) yang berjaya memenangi tempat ke-6 dengan karyanya yang sungguh menyentuh hati. 

“Beberapa tahun lalu saya telah melihat beberapa karya seni foto tentang isu kemanusiaan di negara yang bergolak. Melalui foto tersebut ia seolah-olah telah membawa saya bersama menyelami penderitaan, kesedihan dan harapan mereka. Sejak itu, saya mula meminati seni fotografi dan berkarya untuk menyampaikan mesej tentang kemanusiaan, alam dan kehidupan,” kata Muhiyadim sewaktu bercakap bersama wartawan BASKL melalui temu bual di laman zoom.

Buat pembaca BASKL yang baharu, mahupun yang sudah mengikuti kami sejak dari pelancaran lagi, semestinya kami tidak lokek untuk berkongsi rahsia kejayaan pemenang-pemenang KLiK! Kami mendapatkan Amsyar untuk turut berkongsi tips kejayaannya pada bulan lalu. Amsyar mengingatkan supaya anda semua memahami terma & syarat secara teliti sebelum menyertai peraduan. Selain itu, kajian haruslah dibuat sebelum menyertai sesebuah pertandingan bagi memastikan karya yang dihantar adalah unik dan menyerlah.

Syed juga menambah, “Bagi saya, sangat senang. Sertai sahaja peraduan ini tanpa berasa segan, takut atau tak confident. Ambil peluang semasa PKP ini untuk menyertai aktiviti yang dapat membawa faedah. Kalau kita takut, sampai bila-bila kita tidak akan maju ke hadapan.”

Bagi Muhiyadim pula, dia memberi galakan buat semua untuk memberanikan diri mencuba dan pilih gambar yang terbaik untuk dipertandingkan.

Sudah dengar nasihat daripada pemenang-pemenang? Ayuh, sertai peraduan fotografi KLiK bulan Ogos! Tema bagi bulan ini adalah Dari Jendelaku. Jangan lupa untuk semak peraturan. Pemenang akan dinilai melalui 70% sumbangan juri, manakala 30% lagi akan dinilai daripada bilangan “Likes” anda! Jangan lepaskan peluang ini untuk memenangi wang tunai. Kami menantikan karya-karya daripada anda! Selamat mencuba dan selamat maju jaya.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites