Travel blogger yang juga anak jati Sabah ini telah merantau lebih 20 negara. Namun kepelbagaian kaum serta budaya Malaysia menjadi sesuatu yang manis sentiasa terpahat di hatinya.
Oleh DANNY ADAM
Memang benarlah pepatah terbilang melayu ada mengatakan “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.” Itulah yang dapat digambarkan anak jati kelahiran Sabah, Mohd Shahril Fawzy Suhaili atau lebih dikenali dengan nama Pojie, seorang “travel blogger” yang gemar mengembara untuk mengenali negara-negara luar selain Malaysia. Pastinya setiap perjalanannya serta kenangan yang dikutip itu diabadikan untuk dikongsi bersama masyarakat menerusi platform sosial medianya.
Menceritakan bagaimana beliau mula berkecimpung dalam dunia “travel dan blogging” ini, sebelum ini Pojie memang gemar menulis, mencatat aktiviti harian dan bercerita mengenai tempat-tempat yang beliau lawati sejak dibangku sekolah lagi.
“Bagi saya ia adalah salah satu cara untuk saya simpan memori sekaligus mengasah kebolehan untuk menulis sebab itu saya jadikan ‘blog’ saya sebagai salah satu cara yang menceritakan ini semua kepada pembaca agar mereka turut sama dapat merasai setiap penceritaan yang saya sampaikan ini, ” katanya.
Selepas beberapa tahun aktif dalam penulisan “blog”, Pojie menjadikan ia sebagai kerjaya dan sumber pendapatan. Beliau mula aktif mengembara semasa belajar di universiti, ketika berusia 21 tahun lagi.
“Apabila pergi pelbagai tempat, saya ceritakan pengalaman dan juga tips semasa mengembara di sana. Dari situ saya dapat respon yang positif daripada pembaca ‘blog’ saya. Sejak tu saya banyak menulis cerita tentang pengembaraan saya dan segala pengalaman serta kenangan yang diperlolehi saya kongsikan melalui ‘blog’ saya. Lama-kelamaan saya melihat bidang ini adalah sangat menarik dan ia sebenarnya boleh pergi jauh,” katanya lagi.
Oleh kerana beliau suka mengembara, Pojie mula mendapat peluang untuk berkolaborasi dengan pelbagai agensi seperti syarikat penerbangan dan pelancongan dalam dan luar negara.
Kenapa suka travel?
Berpeluang untuk mengembara ke lebih 20 buah negara seperti Mexico, Finland, India dan Jepun, bagi Pojie ia memberi peluang kepada dirinya untuk belajar sesuatu perkara yang baharu. Terdapat banyak aktiviti dan pengalaman dinikmati yang mungkin kita tidak dapat dilakukan dalam negara sendiri sekaligus dapat meluaskan perspektif dan pemikiran terhadap kehidupan.
Selain itu, Pojie berkata apabila pergi “travel” ini ia dapat membantu dirinya untuk mengenali ragam masyarakat disekeliling yang pastinya mereka ini berbeza agama, latar belakang dan budaya.
“Saya dapat berkenalan dengan ramai orang, dapat berkongsi maklumat, cerita, budaya dan sebagainya. Ia merupakan kenangan manis yang tidak boleh dilupakan. Apabila kita berada di negara lain, hanya kita sahaja yang mengetahui dan merasai kegembiraan itu.”
“Saya berpeluang mendekati etnik minoriti di Vietnam iaitu Hmong. Semasa berada di SaPa, Vietnam, saya sempat mempelajari serba sedikit cara hidup mereka yang sederhana, malah mereka juga mempunyai pelbagai kebolehan serta kemahiran untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Bagaimanapun, Pojie berkata di Malaysia pula, budaya yang dimiliki sememangnya menjadi tumpuan utama para pengunjung dari luar. Sebagai contoh di Sabah adalah makanan dan juga etnik yang pelbagai dan mempunyai campuran budaya dari negara seberang seperti Filipina dan Indonesia kerana faktor geografi.
“Tidak lupa sebab kenapa saya suka travel ialah dapat cuba pelbagai jenis makanan di luar negara. Orang cakap kalau nak tahu sesuatu tempat itu, kena cuba juga makanan mereka,” katanya.
Malaysia tetap destinasi pelancong terbaik di hati
Tidak dinafikan rata-rata rakyat di negara ini mahu melancong ke luar negara adalah untuk menikmati pengalaman yang menarik seperti pemandangan, beli-belah, mengenali budaya dan melihat bangunan-bangunan yang menarik malah ada yang ingin main salji di negara sejuk.
“Sebelum ini saya pun memang macam tu. Kalau boleh tidak mahu pusing-pusing dalam negara sendiri sebab rasa ada banyak lagi tempat menarik di negara lain. Selepas ‘travel’ banyak negara, ia secara tidak langsung memberi saya kesedaran bahawa semakin kita jauh mengembara, semakin kuat dihati ini untuk terokai negara sendiri,” katanya.
Menceritakan pengalaman beliau ketika sedang melancong luar negara, pernah ada orang yang tanyakan kepada dirinya mengenai Malaysia. Beliau tidak boleh menceritakan lebih lanjut dan banyak lagi mengenai Malaysia ketika itu kerana beliau belum menerokai sepenuhnya 14 buah negeri di negara ini.
“Bila ‘explore’ negara lain tanpa mengenali negara asal kita, rasa dia lain, ‘tak feel’ sebab bila orang dari negara lain tanya pasal Malaysia, saya tak dapat jawab atau bercerita lebih mengenai tempat kita sendiri.”
“Ada satu dialog antara saya dengan orang dari luar negara. Dia tanya saya asal dari mana. Saya jawab saya asal dari Malaysia. Terus dia cakap “I love your country. People are so friendly. You have so many beautiful places from historical places, theme parks, nature and more. What I love the most about your country is THE FOOD,” katanya lagi.
Bermula dari situ, Pojie mulai sedar dan mahu meneroka lebih banyak tempat-tempat menarik, pelancongan dan budaya di tanah tumpah darahnya iaitu Malaysia.
Kalau di lihat pada geografinya, Malaysia mempunyai cuaca yang boleh diramal, di mana mempunyai kawasan tarikan seperti di pantai, kawasan beriklim sejuk dan sebagainya.
“Saya cuba aktif untuk meneroka seberapa banyak kawasan yang menarik di negara ini. Ini membuatkan saya berasa semakin yakin untuk menceritakan mengenai keindahan Malaysia kepada orang lain,” katanya.
Jelas Pojie lagi, negara lain sememangnya menarik untuk diterokai tetapi bagi beliau Malaysia sangat unik dan istimewa kerana rakyatnya yang berbilang kaum, budaya dan pelbagai jenis makanan yang sangat sedap untuk dirasai.
“Pada pendapat saya, makanan kita sangat sedap berbanding negara-negara lain yang pernah saya kunjungi. Kita ada nasi lemak, roti canai, nasi ayam, nasi dagang dan banyak lagi. Malah pelancong dari luar negara sendiri cakap mereka nak datang Malaysia kerana dapat rasa makanan yang lazat dan sedap,” katanya.
Walaupun ketika ini negara masih berdepan penularan wabak COVID-19, Pojie terpaksa melakukan pekerjaan sambilan untuk menampung keperluan harian berikutan sempadan negara untuk tujuan melancong ke luar negara malah rentas negeri di Malaysia juga untuk tujuan percutian dan pelancongan masih lagi tidak dibenarkan. Namun Pojie yakin, sebaik sahaja kelonggaran atau kebenaran untuk melancong sama ada dalam atau luar negara dibenarkan beliau akan terus berkongsi dan menceritakan pengalamannya di laman sosial medianya.
Sekiranya anda berminat untuk melayari laman sosial media Pojie, anda boleh pergi ke pautan yang disediakan. Blog Facebook Youtube Twitter Instagram