Kwan Kee Yang Diiktiraf Michelin Guide Hong Kong Kini Di Malaysia

Kwan Kee, kedai manisan dari Hong Kong dibuka secara rasminya pada 9 November lalu dan merupakan cawangan pertama di luar Hong Kong. Kwan Kee mula beroperasi pada tahun 1965 sebagai kedai manisan yang diusahakan oleh Encik Fu Kwan.

Masih menggunakan kaedah tradisional untuk mengisar tepung beras, Encik Fu Wing Cheung merupakan generasi kedua pemilik Kwan Kee. Hasil usaha yang dilakukan mereka, Kwan Kee kini diiktiraf antara kafe jalanan yang disarankan oleh “Michelin Guide Hong Kong” selama 6 tahun berturut-turut dari tahun 2016 sehingga 2021.

Antara manisan yang laris terjual adalah kek rice bowl, kek bijan kukus, kek span gula putih dan kek kacang merah kukus. Pastinya setiap manisan yang disediakan dibuat setiap hari menggunakan mesin pengisar tepung tradisional.

Berikutan keadaan kesihatan yang tidak baik Encik Fu Wing Cheung dan keputusan anak beliau yang tidak mahu meneruskan perniagaan keluarga, jenama yang sudah melangkaui usia lebih setengah abad ini, kini diambil alih oleh Encik Sundy Chim, seorang perantis yang dipercayai oleh Encik Fu Wing Cheung.

Encik Sundy Chim berkata “Walaupun sudah bertukar milik, Kwan Kee masih meneruskan tradisi yang telah diusahakan oleh Encik Fu. Setiap kuih dan manisan dibuat setiap hari untuk menjamin kesedapan dan kesegaran. Tepung beras dikisar setiap hari untuk membuat manisan tanpa menggunakan tepung beras yang dibeli dari kedai dan menggunakan mesin pengisar tepung tradisional. Selain itu kami juga masih mengekalkan resipi yang sama”.

Untuk cawangan di Malaysia, mereka memperkenalkan manisan istimewa iaitu Kek Beras Durian yang menggunakan durian Musang King. “Kami memilih Malaysia kerana rakyat Malaysia yang gemar menikmati makanan yang enak sehingga digelar sebagai “foodie destination”. Selain itu kepelbagaian jenis makanan boleh didapati di Malaysia antara penyebab kami membuka cawangan pertama kami di Malaysia” tambah beliau.

Kafe Kwan Kee di Malaysia kini dalam proses untuk mendapat sijil pegiktirafan HALAL dari JAKIM dan buat masa ini kesemua bahan yang digunakan dibeli dari pembekal yang HALAL untuk memastikan semua kaum di Malaysia dapat merasai keenakan manisan dan kuih dari Kwan Kee. 

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites