KL Urban Youth Festival: ruang belia tunjukkan bakat

DBKL mengambil inisiatif mengembalikan ekosistem negara dengan mengadakan program menarik, namun masih bertepatan dengan SOP yang ditetapkan dalam Plan Pemulihan Negara.

Oleh HANNA FAKARUDIN

Minggu lalu BASKL berkesempatan untuk melawat Kuala Lumpur Urban Youth Festival 2021 yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Festival yang berlangsung selama dua hari ini bermula pada 27 hingga 28 November dan telah diadakan di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.

Antara hasil lukisan grafiti penyanyi tanah air Bunga oleh @nasr_din dan @akid_one (Instagram).

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang festival ini berlangsung bagi menarik golongan belia. Antara aktiviti-aktiviti utama yang menarik dianjurkan dalam festival ini ialah Urban Showdown (Hiphop), FIFA21 Youth Championship (eSports), KL Big Band Showcase dan Battle of the Botanic (X-Games).

Selain itu, terdapat juga aktiviti-aktiviti lain seperti sukan ekstrem (skateboard), pertandingan Beatbox & Breakdance, bengkel keusahawanan, kelas muzik (Kompang for beginners), bengkel seni kanak-kanak, dan graffiti.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk mengerakkan kembali ekosistem setelah negara kita beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Ia juga sebahagian usaha kerajaan bagi menyediakan platform untuk golongan belia menonjolkan bakat mereka termasuklah dalam seni dan budaya.

Menurut Ketua Unit Acara Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan, Faqrul Hakim bin Hidzir, walaupun penganjuran kali ini telah menarik ramai pengunjung, namun SOP tetap menjadi keutamaan.

Rata-rata pengunjung yang hadir memakai pelitup muka dan mengikut penjarakan SOP.

“DBKL ambil semula tanggungjawab bagi mengaktifkan semula dalam penganjuran program ini dengan keadaan yang terkawal dengan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), juga pihak polis untuk beri guideline supaya kita ikut. Kita juga dari semasa ke semasa, sebelum program, semasa program kita sentiasa ingatkan agar ikut SOP,” kata Faqrul.

Menurutnya lagi, bagi memastikan keadaan terkawal peserta-peserta yang terlibat serta pengunjung telah membuat pendaftaran secara online sebelum hadir ke acara ini. Namun begitu, pendaftaran secara walk-in juga disediakan dengan SOP yang ditetapkan.

“Secara keseluruhannya, dari pagi sehingga ke malam sepanjang dua hari ni ada dalam 2,000 pengunjung, dari pihak peserta sahaja macam semalam, eSports 60 lebih, skateboard 70 orang. Alhamdulillah setakat ini dalam target kami kapasiti ini just nice kita juga risau terlalu ramai tetapi yang penting target kumpulan kita, golongan belia hadir kebanyakannya,” katanya.

Program seperti ini sangat membantu golongan belia dalam menonjolkan bakat mereka di dalam platform yang betul setelah sekian lama kita terkurung dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Aktiviti seperti B-Boyz battle memberi mereka ruang untuk bertanding selain daripada bakat. B-Boyz battle mempunyai saringan sehingga top 8 dan top 4 bagi menilai pemenang untuk tempat pertama, kedua dan ketiga. Pastinya hadiah berupa wang tunai buat para pemenang menaikkan lagi semangat peserta untuk beraksi.

KL Urban Youth Festival 2021 menawarkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari.

Antara lain yang dapat kami lihat sebagai tarikan sepanjang menyertai Kuala Lumpur Urban Youth Festival 2021 ini, rata- rata pengunjung hadir memakai kostum seperti Joker, Squid Game, Spiderman dan banyak lagi.

Aktiviti seperti Kompang for beginners yang mengajar generasi baharu yang tidak mengenali atau tahu cara bermain kompang pula merupakan antara cara yang bagus bagi memupuk minat generasi muda. Platform seperti ini sebenarnya dapat menggalakkan mereka mengenali budaya.

Antara pemenang yang berjaya membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai dalam pertandingan di sini.

Pastinya pengunjung yang hadir dilihat menghargai dan gembira dengan adanya aktiviti sebegini daripada penganjur. Setelah sekian lama kita “terkurung” dalam rumah, aktiviti yang membolehkan kita bersua muka mampu membantu untuk mengatasi kemurungan atau kesihatan mental akibat terlalu lama duduk di rumah dengan mengambil peluang untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Bagi anda yang mencari aktiviti-aktivi lain anjuran DBKL untuk memenuhi hujung minggu anda, anda boleh pergi ke Facebook DBKL atau Events di laman sesawang kami.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites