Kisah hidup melalui ayam masam manis

Alya Hatta dan Leily Moghtader Mojdehi menceritakan kisah hidup mereka inspirasi daripada hidangan Asia

Oleh DANIAL FUAD

Setiap negara mempunyai keistimewaan mereka sendiri, terutamanya jika bercakap tentang makanan seperti hidangan kebangsaan Nasi Lemak di Malaysia dan Nasi Ayam di Singapura. Namun apa yang dilihat oleh seniman yang berpusat di London, Alya Hatta dan Leily Moghtader Mojdehi adalah di sana, keunikkan makanan Asia telah dicairkan kepada hanya ayam masam manis yang sering dihidangkan di kedai makanan Asia di sana.

Pada pendapat mereka, ayam masam manis hanyalah satu hidangan yang sangat biasa kerana terdapat pelbagai jenis hidangan yang lebih menarik. Ini telah membuatkan mereka mengaitkan perkara ini dengan pandangan orang ramai tentang Asia yang terdapat pelbagai jenis keunikkan namun yang sering diketengahkan hanyalah stereotaip.

Di sinilah juga tercetusnya idea untuk mereka menghasilkan pameran yang kini sedang berlangsung di Zhan Art | Space berjudul Sweet and Sour sehingga 9 Nov ini. Dengan mentafsir semula keaslian budaya Asia, Alya dan Leily menjemput orang ramai untuk meneroka karya mereka melalui lensa dunia yang penuh dengan maksud tersirat.

“Kami sangat teruja untuk mempamerkan karya-karya Alya Hatta sekali lagi dan kali ini, beliau telah berganding dengan Leily yang karyanya meneroka identiti kepelbagaian budaya. Pameran Sweet and Sour ini berkisarkan tentang kisah hidup mereka di mana ia akan menarik minat orang ramai terutamanya yang membesar dengan nilai dan tradisi Asia yang kuat,” ujar Demond Tong, pengasas dan kurator bagi Zhan Art | Space.

Sebanyak 15 lukisan dipamerkan; daripada lukisan figuratif hinggalah mujarad di mana para seniman membincangkan tentang pengalaman yang mereka lalui. Kedua-dua seniman menceritakan tentang asal usul mereka di mana Alya yang mengorek memori silam ketika membesar untuk menceritakan pengalaman beliau membesar di Malaysia.

“Sebagai seorang yang agak berisi ketika membesar, saya bergelut dengan perasaan kebimbangan setiap kali ke kolam renang kerana ia penuh dengan orang yang tegap. Saya akan menyedut perut saya untuk membuatkan abs saya timbul,” ujar Alya tentang karya figura mujaradnya yang berjudul 5 Feet.

Leily lahir di England tetapi dibesarkan di Timur Tengah dengan identiti berbilang kaum dan untuk pameran kali ini, dia ingin berkongsi tentang kekayaan warisan budaya keluarganya yang bercampur antara Iran, Singapura dan juga British.

Seperti yang boleh dilihat dalam karya Intercontinental Breakfast, di mana terdapat pelbagai jenis makanan dihidangkan daripada Milo, nasi ambeng dan roti antaranya menunjukkan kepelbagaian budaya yang Leily lalui ketika membesar.

Walaupun mereka bedua membincangkan tentang asal usul Asia yang berbeza, setiap karya mereka sarat dengan persoalan bagaimana kehidupan sebagai orang Asia dan secara keseluruhan, pameran ini menceritakan tentang bagaimana memori peribadi boleh mempengaruh tanggapan kita tentang menjadi orang Asia.

“Sebagai orang Asia yang berpusat di United Kingdom, saya dan Leily sedar bahawa ke-Asian-an sering kali dicairkan ke hidangan bawa pulang yang ringkas dan dijual dalam kotak Styrofoam. Kami ingin mempamerkan asal-usul Asia kami dan juga bagaimana kami membina naratif cerita kami sendiri dan bukanlah melalui tanggapan orang,” tambah Alya.

Pameran Sweet and Sour ini bakal melabuhkan tirainya pada 9 Nov jadi masih sempat untuk orang ramai hadir bagi menyaksikannya di Zhan Art | Space di The School, Jaya One. Maklumat lanjut berkenaan pameran ini boleh didapati di laman sesawang mereka dan boleh ikuti Zhan Art | Space untuk kemaskini terbaru mereka di Instagram dan juga Facebook.

Pelbagai lagi kisah menarik boleh diikuti di bawah

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites