SEKUTOO: Keberadaan dan Kebersamaan Dalam Kolektif

Sekutoo, sebuah pameran yang memfokuskan kepada keberadaan dan kebersamaan dalam sesebuah kolektif.

Oleh AMIR AMIN program Lensa Seni, gambar oleh SEKUTOO dan HARNI JONET

Karya 11 Anak Kapal Tanpa Nakhoda oleh Kolektif Empati Studio yang dipamerkan sewaktu pameran SEKUTOO | The Self in Art pada 19 November hingga 5 Disember yang lalu, sangat menarik untuk diperhatikan. Terdapat 11 keping karya kecil yang dicantumkan bersama membentuk imej sebuah kapal.

Apa yang menarik tentang kesemua 11 keping karya ini ialah setiap satunya dihasilkan oleh artis yang berbeza dengan stail dan medium yang tersendiri. Ada yang menghasilkan karya yang bersifat realisme dan ada yang bersifat seni pop. Namun bila digabungkan bersama, ia membentuk sebuah karya yang sangat harmoni dan seimbang di mana setiap karya saling menyokong serta mendukung satu sama lain.

Itulah intipati kepada sebuah kolektif. Setiap ahli kolektif akan saling membantu antara satu sama lain. Bermula dengan sekumpulan artis yang berkerja dengan satu misi dan visi, maka dari situ lahirlah kolektif atas beberapa sebab yang pada kebiasaannyauntuk tujuan berkongsi – perkongsian secara fizikal dan idea.

Ruang ini digunakan untuk berkongsi ideologi, fahaman estetika, pandangan politik, komuniti malahan berkongsi ruang studio dan material serta peralatan. Jika diamati karya 11 Anak Kapal Tanpa Nakhoda menggambarkan walaupun setiap ahli sentiasa bersama (berkongsi studio), namun cara penghasilan karya masih berbeza.

Empati Studio, 11 Anak Kapal Tanpa Nakhoda, Media Campuran I Pelbagai dimensi I 2021. Gambar oleh SEKUTOO

Apa yang menarik tentang 11 Anak Kapal Tanpa Nakhoda selain daripada bentuk karya tersebut ialah tajuknya sendiri. Jika dilihat, pada kebiasaannya sesebuah kolektif mempunyai seorang ketua. Sepertimana dalam sesebuah pasukan bola sepak, kita ada kapten yang akan menggalas tanggungjawab membawa dan memberikan hala tuju kepada setiap pemain yang lain.

Namun untuk Empati Studio, perspektifnya sedikit berbeza. Pada mereka untuk berjaya sebagai sebuah kolektif, tidak perlu untuk mempunyai seorang ketua yang dilantik secara rasmi. Sebaliknya, setiap daripada mereka menggalas tanggungjawab sebagai nakhoda kapal tersebut.

Empati Studio memilih kapal sebagai simbol kepada perjalanan mereka sebagai sebuah kolektif. Namun untuk berada di tempat mereka tidaklah semudah yang disangka, sebaliknya merupakan satu perjalanan yang sangat kompleks. Jika dilihat pada 11 keping karya yang dicantumkan bersama, namun setiap karya mempunyai stail yang berbeza dari realisme hingga surrealisme.

Paling penting untuk diingat adalah, sesebuah kolektif seni tidak menyekat perkembangan ahli mereka sebaliknya saling menyokong antara satu sama lain di samping sentiasa bersama dan berada untuk setiap ahli. Mereka tidak ekslusif untuk menghasilkan karya dalam kolektif sebalik setiap ahli masih lagi bebas untuk bergerak aktif secara individu dalam Seni Rupa Malaysia (SERUM). Ini dapat dilihat melalui beberapa buah kolektif seni antaranya Matahati, Studio Dikala Jingga dan Sebiji Padi. Setiap kolektif pernah menghasilkan pameran berkumpulan dan pada masa yang sama, setiap ahli tetap menghasilkan karya-karya peribadi. 

Hakikatnya dalam dunia seni, seorang artis memerlukan artis yang lain untuk sama-sama berkongsi idea, menggarap persoalan dan membuahkan wacana-wacana seni. Justeru itu kita dapat dilihat beberapa artis yang mula untuk bergerak secara berkumpulan sewaktu awal pembabitan dalam dunia seni demi mengumpul pengalaman serta sokongan. Dengan bergerak secara berkumpulan juga dapat membantu, terutamanya bagi artis muda dalam memberikan mereka keyakinan dan kekuatan untuk mengemudi perjalanan seni mereka. Sesebuah kolektif seni tidak menyekat perkembangan ahli mereka sebaliknya sentiasa menyokong antara satu sama lain di samping sentiasa ada untuk setiap ahli mereka.

Idea saling sokong-menyokong, kebersamaan dan keberadaan ditekankan dalam karya Nafasyahdu Art Group yang bertajuk Together. Karya ini sangat menarik kerana mereka membina sebuah ‘pondok’ yang diperbuat daripada buluh dan bersifat ‘site-specific’. Karya ini dibina di lokasi dan mengambil berat tentang situasi dan lokasi karya dibangunkan. Pada mereka, pondok ini merupakan lambang kepada sebuah kolektif.

Setiap tiang melambangkan ahli kolektif yang mendukung dan menyokong struktur pondok tersebut. Seperti juga ahli kolektif, mereka saling membantu antara satu sama lain. Dengan sokongan dari setiap ahli, barulah sesebuah kolektif itu dapat bergerak maju ke hadapan.

“Bagi kami, ia satu keperluan terutamanya bagi artis muda untuk berada dalam kolektif, lagi-lagi jika kita baru mula berjinak dalam duni seni. Semasa kita mula menceburi bidang seni rupa Malaysia, kita masih lagi kurang keyakinan dan kekuatan untuk mengemudi perjalanan seni kita, tetapi jika kita bergerak dalam sesebuah kolektif, kita akan lebih berkeyakinan tinggi kerana kita tahu yang kita ada sokongan daripada ahli kolektif kita.” Jelas Nafasyahdu Art Group.

“Alone we can do so little; together we can do so much.” Petikan ayat oleh Helen Keller ini secara tepat menggambarkan kepada situasi dunia seni. Kolektif seni bertindak sebagai sebuah platform bagi setiap ahli dalam melebarkan sayap mereka ke dalam SERUM.

Nafasyahdu Art Group, Together, Media campuran | Pelbagai dimensi | 2021. Gambar oleh Harni Jonet

Walau bagaimanapun, pameran kolektif seni bukanlah satu kelaziman dalam SERUM namun beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa buah pameran kolektif yang memberi impak kepada SERUM. Antara pameran-pameran kolektif tersebut ialah pameran Flush!!! oleh Sebiji Padi Art Community (2015), Attract Retract oleh Studio Pisang, Berdiri (2015) dan Jogja Journal (2017) oleh Paksi dan pameran Empat Persepsi oleh Empat Persepsi (2019). Dan kini kita ada SEKUTOO.

Sebiji Padi Art Community, Flush!! Group Exhibition, 2015. Gambar oleh G13 Gallery
Studio Pisang, Attract Retract Group Exhibition, 2015. Gambar oleh G13 Gallery
Paksi, Berdiri Group Exhibition, 2015. Gambar oleh HOM Art Trans

SEKUTOO merupakan sebuah pameran yang berbeza dengan pameran-pameran lain kerana ia memfokuskan kepada karya-karya kolaborasi berbanding karya-karya individu seperti yang kita boleh lihat dalam pameran lain. Ia merupakan sebuah pameran yang diilhamkan oleh kempen #KitaJagaKita yang menekankan kepada kebersamaan. . Setiap kolektif dikehendaki untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah karya kolaboratif yang menggambarkan mereka sebagai sebuah kolektif. Pameran ini membawakan 10 buah kolektif seni bagi menjawab persoalan kuratorial ini, iaitu Studio 333, Studio Atas, Empati Studio, Studio Kongsi, Studio Kotak Lampu, Markaz Art Space, NafaSyahdu Art Group, Temu, TuahxKachang dan Yi.Da.

Pameran SEKUTOO ini diadakan di Lot 18 – 24 dan Lot 47 dan 48, tingkat 2, GMBB KL dari 19 November hingga 5 Disember 2021. Ia merupakan sebuah pameran yang berlainan kerana ruang yang dipilih bukanlah seperti ruang kebiasaan sesebuah pameran yakni ruang segi empat dengan dinding putih (White Cube). Melangkah ke ruang pameran tersebut, khalayak disambut dengan tayangan video sesi temuramah antara pengurusan pameran dan kolektif-kolektif ini. Antara soalan yang diajukan ialah mengenai kepentingan sesebuah kolektif dan pandangan mereka tentang kolektif. Antara soalan-soalan yang menarik ialah ‘apakah kepentingan kolektif?’ dan ‘apakah kolektif bagi anda?’.

SEKUTOO merupakan sebuah pameran yang berbeza kerangka kuratorialnya. Ia tidak seperti pameran-pameran kebiasaan yang lebih memperincikan kepada karya-karya individu sebaliknya mengetengahkan karya-karya kolaborasi. Ia bukanlah pameran pertama yang mengetengah kepada karya-karya kolaborasi sebegini dalam sejarah SERUM, dan diharapkan moga lebih banyak lagi pameran-pameran sebegini muncul di masa depan agar dapat mewarnai dan memeriahkan lagi SERUM.

Amir Amin merupakan salah seorang peserta bagi program CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021.

Artikel ini adalah pandangan dan pendapat penulis sahaja dan tidak mewakili pihak CENDANA. CENDANA merizab hak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kegagalan, dan/atau pelanggaran hak intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis artikel ini pada bila-bila masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman sesawang ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau diterbitkan semula dimana-mana platform pihak ketiga yang lain.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites