Dalam pembukaan sektor dan rentasan negeri yang telah dibenarkan, ambil peluang untuk melawati tempat-tempat menarik di dalam Malaysia yang belum pernah anda kunjungi, seperti di Penang Street Art. Kesebatian hasil seni jalanan dan bangunan lama menjadi antara penyeri dan tarikan di negeri tersebut.
Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI
Menjadi antara tapak warisan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) di Malaysia, Pulau Pinang kaya dengan monumen penting dan bersejarah yang dipelihara sejak dahulu lagi. Ini menjadikan destinasi ini antara lokasi yang signifikan untuk dilawati buat pelancong dalam mahupun luar negara.
Dalam keadaan kita yang dilanda pandemik, pastinya keselamatan kita harus menjadi keutamaan, apatah lagi dengan pembukaan semula sektor, termasuklah industri seni kreatif, kebudayaan dan pelancongan yang sering berkait rapat. Pembukaan daerah pula memanggil kita untuk melawati lokasi menarik dalam negara yang mungkin selama ini diambil enteng, atau hanya dipandang sebelah mata. Bukan kerana lokasinya yang tidak menarik, tetapi lebih kepada apabila kita memiliki sesuatu membuatkan kita kurang menghargai khazanah yang tersimpan di dalamnya. Sehinggalah kita mengambil peluang untuk melancong, melihat dan merasai pengalaman sendiri akan kekayaan negara kita dengan hasil seni dan budaya.
Selalunya jika kita sebut mengenai lokasi menarik di Pulau Pinang, selain makanan yang cukup menyelerakan seperti nasi kandar, rojak, buah jeruk dan sebagainya, Pulau Pinang sangat terkenal dengan mural di Penang Art Street. Mural yang dihasilkan di sebalik dinding bangunan sekitar pulau ini, dulunya bermula dengan lukisan di kawasan George Town yang dibuat khas bersempena George Town Festival pada tahun 2012. Kini seni mural ini mula berkembang ke kawasan lain seperti Butterworth dan Balik Pulau yang diwarnai oleh artis dalam mahupun luar negara bagi menghiasi bangunan-bangunan di sekitar negeri ini.
Terkadang terpegun melihat keindahan dan ketelitian hasil seni di sekitar bandar yang membuatkan ia tampak menarik dari setiap sudut jalanan, namun masih mengekalkan perasaan nostalgik zaman kanak-kanak dengan lukisan seperti anak kecil bermain basikal oleh pelukis dari Lithuania, Ernest Zacharevic, antara artis pertama yang mula memenuhi ruang-ruang dinding di sekitar George Town.
Menurut Nicole Chang, seorang penulis dan juga penyelidik seni dan budaya, perkembangan seni mural di sekitar George Town menarik minatnya. Dia yang mula membuat penyelidikan sejak di awal kemunculan mural di kawasan ini dapat melihat bagaimana pengaruh seni mural dapat menyumbang kepada kenaikan pengunjung di sini sebagai sebuah lokasi yang kian aktif buat sektor pelancongan terutamnya bagi menarik golongan muda. Di sini juga Chang dapat melihat bagaimana seni berfungsi sebagai penghubung antara sektor pelancongan dan juga masyarakat. Dengan adaptasi nilai seni yang tepat, sesuatu kawasan dapat menjadi penarik buat pengunjung untuk kemari.
Namun dengan perkembangan seni yang pesat, pernah juga satu ketika dimana terdapat perbincangan yang membincangkan tentang seni mural di sekitar bandar George Town. Tumbuhnya mural di sekitar bandar ini seperti cendawan selepas hujan. Ini sedikit sebanyak akan menghakis monumen atau khazanah Pulau Pinang yang menimbulkan kerisauan semua.
“Sebagai seorang pengkaji dan penulis, saya banyak menemu ramah artisan serta pihak kerajaan. Dari sudut pandangan peribadi saya, kerajaan telah membuat keputusan yang betul untuk menguruskan tapak warisan ini, kerana ia perlu dipelihara serta dikenakan pengurusan yang khusus untuk membenarkan artis berkarya. Hal ini kerana, hasil seni yang relevan atau bersesuaian sebenarnya menyumbang dalam mengekalkan nilai warisan yang dipertahankan selama ini agar dapat mengelakkan daripada impak negatif terhadap kewujudan hasil seni di sekitar kawasan ini,” tambah Chang yang menerangkan tentang perkembangan pembangunan seni mural di sini.
Walaupun ada sedikit perselisihan faham di situ, namun Chang juga menganggap impak dari Kawalan yang khusus ini adalah wajar kerana George Town adalah sebuah bandar yang kecil. Kegagalan dalam mengawal lukisan mural akan menjejaskan pemeliharaan kawasan ini serta menyumbang kepada kepadatan hasil seni dalam bandar. Ini akan mengakibatkan kejatuhan nilai estetika buat kawasan ini.
“Kawalan ini juga sebenarnya membuahkan perkembangan yang baik di sekitar Pulau Pinang. Artis-artis mula mengembangkan mural di kawasan lain seperti di kawasan Balik Pulau dan Seberang Perai, menjadikan kawasan tersebut antara tarikan lain apabila berkunjung ke Pulau Pinang. Dari perkembangan itu juga, sebenarnya ia dapat membantu perkembangan ekonomi kawasan setempat dari pelbagai sektor,” tambah Chang yang ingin menerangkan antara impak positif yang dapat dilihat daripada kawalan kerajaan di sini.
Bagi penulis pula, seorang yang gemar berjalan dan memerhatikan keunikan sesuatu kawasan, penulis berasa benar, ruang seni di sini memberikan impak yang lain buat dirinya, perasaan yang sayu serta nilai sentimental yang berbeza. Ya, walaupun penulis bukanlah seorang yang berasal dari pulau mutiara ini, namun penerapan rasa yang ditonjolkan seolah-olah menceritakan zaman kanak-kanaknya sewaktu pulang ke kampung suatu ketika dahulu. Rasanya aman, dan tenang, walaupun berada di tengah-tengah Jalan Armenian, George Town.
Dengan penerapan SOP seperti dua dos vaksin yang lengkap buat pengunjung serta pemakaian pelitup muka dan penjarakan antara pengunjung, merupakan antara faktor yang menyebabkan penulis berasa selesa untuk berkunjung ke lokasi ini. Sepanjang perjalanan di lorong ini, suasananya agak selesa dan tidak ragu-ragu untuk masuk ke kedai kerana, peniaga juga turut mengikut pematuhan SOP yang telah ditetapkan.
Buat anda yang ingin melawati tempat yang menarik seperti Penang Art Street ini, kami ingin mengingatkan anda untuk mengamalkan SOP yang telah ditetapkan kerajaan. Ini adalah tanggungjawab kita bersama agar tiada sekatan terhadap mana-mana sektor lagi selepas ini. Sekatan ini sememangnya akan menjejaskan sumber pendapatan banyak pihak, terutamanya peniaga, sektor pelancongan, artisan tempatan dan banyak lagi dalam usaha kita mencari sumber pendapatan.
Bagi Shazleen Sharif pula, salah seorang pengunjung di Penang Art Street, dia memilih untuk berkunjung ke Pulau Pinang selepas pembukaan daerah kerana seperti yang semua sedia maklum, selain khazanah warisan dan mural di sini, Pulau Pinang merupakan antara syurga makanan. Walaupun masih ada sesetangah restoran yang masih tidak membenarkan dine in, baginya itu tidak menjadi penghalang. Dengan keindahan pantai di Pulau Pinang, dia beranggapan bahawa lebih mudah dan selesa untuk membungkus makanan yang diingini dan memilih untuk berkelah di tepi pantai sambil menikmati udara yang segar bersama rakan-rakan. Selain dapat menikmati juadah yang lazat, dia tidak perlu bersesak atau risaukan tentang penjarakan sosial. Yang penting sentiasa membawa pelitup muka dan sanitiser sebagai langkah berjaga-jaga sewaktu bercuti.
Bagi Shazleen, penjarakan adalah amat penting apabila berada di khalayak ramai dan jika hendak mengunjungi tempat yang menjadi tarikan pelancong seperti di sekitar George Town ini, lebih baik untuk kita pergi ke tempat-tempat ini pada hari minggu; Isnin hingga Jumaat. Rancang perjalanan dan percutian anda supaya keadaan kurang sesak. Ini juga membantu dalam penjimatan masa kerana tidak perlu beratur panjang apabila hendak ke sesuatu tempat.
“Bila saya sampai di Penang Street Art ni perasaan saya adalah, seronok sebab banyak tempat yang boleh digunakan untuk mengambil gambar OOTD, dan tengok hasil seni yang tak semua tempat ada, kalau dekat tempat lain ada pun tak sama seperti di Penang,” tambahnya lagi.
Sebenarnya Chang juga turut memberikan jawapan yang sama apabila diajukan soalan sebegini. Seni jalanan di Pulau Pinang tidak seperti di tempat lain. Nukilannya jelas terpampar, namun penetapan lokasinya lebih strategik dan telah disusun terlebih dahulu sebelum diwarnakan dinding-dinding jalanan ini. Oleh sebab lokasi yang diawasi oleh banyak pihak, ini membuatkan masyarakat menyedari akan tarikan yang ada di sini. Jika penerapan yang sama dipertahankan di setiap lokasi khazanah negara, pastinya kita dapat membentuk lokasi hab seni yang mempunyai daya tarikan pelancongan seperti di Pulau Pinang. Di mana jelas ternyata kesebatian seni jalanan dan bangunan lama dapat menjadi penarik dan menyeri sesebuah lokasi.