Kelab YSD-Kakiseni Junior menyediakan pembelajaran seni tambahan di sekolah awam

Sebanyak 16 buah sekolah terlibat dalam menubuhkan Kelab YSD-Kakiseni Junior di sekitar negara.

Oleh DANIAL FUAD

Seni yang sering dipandang enteng oleh kebanyakkan orang kini semakin diterima masyarakat. Perkara ini dapat dilihat ketika wabak COVID-19 melanda, ramai orang mencari kelas seni dalam talian untuk menghilangkan tekanan dihadapi. Percambahan tadika kreatif seperti The Yellow Submarine juga menunjukkan masyarakat makin cenderung dalam pembelajaran seni.

Pendedahan seni kepada anak kecil merupakan suatu perkara yang penting. Melalui penghasilan karya, anak-anak dapat mengembangkan kreativiti mereka, memantapkan kemahiran motor serta membantu mereka meluahkan perasaan.

Laman Sesawang Kakiseni Junior

Merasakan kepentingan yang ada dalam membangunkan pembelajaran seni terhadap kanak-kanak, Kakiseni dengan sokongan Yayasan Sime Darby telah melancarkan Kakiseni Junior pada tahun 2021. Sebuah platform dalam talian untuk para seniman menawarkan kelas seni kepada orang awam melalu laman sesawang www.kakisenijunior.com. Pada tahun 2022 pula, platform tersebut telah berjaya memberi impak ketara kepada 160 kanak-kanak dari empat komuniti melalui Seni Making A Difference (SeniMAD).

Dengan momentum tersebut, Kakiseni Junior kini meluncurkan Kelab YSD-Kakiseni Junior 2023; bertujuan untuk memupuk penghargaan terhadap seni dalam pelajar serta memperkasakan peranan mereka dalam masyarakat.

Melalui program tersebut, setiap sekolah yang terlibat dipadankan dengan seorang seniman tampak atau pun persembahan. Seniman tersebut akan memainkan peranan utama dalam menjalankan aktiviti-aktiviti Kelab YSD-Kakiseni Junior; bekerjasama dengan para guru untuk memastikan para pelajar mengalami pembelajaran seni yang menyeluruh.

“Program-program Kelab YSD-Kakiseni Junior bertujuan untuk memupuk minda anak muda, memupuk penghargaan terhadap seni dan memperkasakan kanak-kanak untuk meneroka potensi kreativiti mereka,” ujar Presiden Kakiseni Junior; Low Ngai Yuen.

Tempoh Inkubasi

Seramai 13 orang seniman dan 32 orang guru daripada 16 sekolah yang terlibat telah melalui tempoh inkubasi daripada Dec 13 hingga 18 2023 di Kuala Lumpur. Pengalaman mendalam yang telah disokong Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan ini menyediakan para peserta untuk pelaksanaan Kelab YSD-Kakiseni Junior untuk tahun 2024.

Antara perkara yang dipelajari mereka adalah Koreografi oleh Hanafi Rosdi, Pengenalan Kepada Penghasilan Prop oleh William Koong, silibus Kakiseni Junior oleh Lok Shi Shuen dan Lylatul Qadrina, Pengunaan Semula Plastik oleh Hung Bee Ling, Aktivisme Sosial oleh Low Ngai Yuen, Shaq Koyok dan Farzana Yakta serta Teater untuk Kanak-kanak oleh KL Shakespeare Players.

Program perintis Kelab YSD-Kakiseni Junior ini telah berlangsung pada awal tahun lepas. Disertai oleh tiga buah sekolah di sekitar Lembah Klang dengan 90 orang pelajar telah terlibat. Dijangkakan seramai 390 orang lagi bakal menyertai kelab tersebut apabila program ini dilaksanakan ke seluruh negara tahun ini.

Yuen menyatakan, “ikhitiar ini bukan sahaja memberi platform kepada pengamal seni berkongsi kemahiran mereka malahan turut memupuk minat terhadap seni, memberi asas yang kukuh kepada generasi akan datang yang berimaginasi tinggi serta ekspresif.”

Sekolah Yang Terlibat

16 sekolah yang terlibat adalah SK Bandar Baru Sentul, SK Seri Tasik, SMK Bandar Baru Seri Petaling, SK Taman Pulai Emas Johor, SK Temonyong Langkawi, SK Machang 1 Kelantan, SK Kem Gerakhas Melaka, KL Salak Nama Negeri Sembilan, SMK Tanjong Lumpur Pahang, SMK Dato’ Jaafar Hassan Perlis, SK Iskandar Perdana Perak, SMK Limbanak Sabah, SK Sri Simalajau Sarawak, SK Pusat Kuala Ibai Terengganu dan SK Sungai Berdaun W.P. Labuan.

“Pelancaran Kelab YSD-Kakiseni Junior merupakan sebuah langkah bermakna dalam komitmen Yayasan Sime Darby terhadap seni, berikutan kejayaan laman sesawang Kakiseni Junior yang membolehkan program pembelajaran seni lebih mudah diakses oleh pelajar sekolah awam,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Hjh Yatela Zainal Abidin.

Buku Kerja Kelab YSD-Kakiseni Junior

Membuktikan komitmen mereka dalam menyediakan sumber yang lebih menyeluruh, Kakiseni Junior juga telah menerbitkan Buku Kerja Kelab YSD-Kakiseni Junior di laman sesawang mereka.  Buku kerja tersebut merangkakan bagaimana untuk menjalankan Kelab YSD-Kakiseni Junior di sekolah-sekolah yang ingin mengadakan program ini.

Untuk tahun 2024 ini, Kakiseni Junior telah meletakkan cita-cita tinggi untuk meluaskan capaian dan impak inisiatif Kelab YSD-Kakiseni Junior. Matlamat mereka adalah untuk menubuhkan Kelab YSD-Kakiseni Junior ini kepada banyak lagi sekolah seluruh negara. Memperluaskan pengaruh platform mereka dan menyediakan peluang yang lebih banyak untuk para pelajar terlibat dalam pembelajaran seni.

Gambar oleh KAKISENI

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites