Filem ‘ERASER’ arahan Mark Lee See Teck, filem terakhir Adibah Noor

ERASER terbitan Fiery Films ini menampilkan Nam Ron, Angela Chan, Dhiya Ariffin dan Alyssa Lee.

Oleh NABILA AZLAN

Kepulangan Adibah Noor ke rahmatullah pada 18 Jun 2022 tentunya menggamit rasa sebak dan rindu penonton kepada sosok tubuh pelakon berprofil tinggi itu. Lakonannya yang bersahaja namun menusuk kalbu semestinya menjadi penantian setiap kali sesebuah filem mengumumkan kemunculannya. Oleh itu, idea asal dan arahan Mark Lee See Teck ini dengan penulisan bersama Tang Yen Yen dan Siti Jasmina Ibrahim memasuki senarai wajib tonton kerana bukan sahaja ERASER tampil sebagai cenderahati terakhir peminat lakonan Adibah, tetapi turut dibarisi pelakon-pelakon tanah air yang hebat seperti Nam Ron, Angela Chan, Dhiya Ariffin dan Alyssa Lee.

Buat makluman pembaca, ERASER selaku filem edaran MyContent sedia untuk ditonton di platform Prime Video mulai 1 Jun 2023. Ia digubah untuk semua ‘memadam’ unsur-unsur simbolik di sekeliling kita, digantikan pula dengan penerimaan perbezaan sesama masyarakat dengan hati terbuka.

Antara barisan pelakon ERASER

Filem ini menjadikan nilai perpaduan, ihsan, kasih sayang, setia, hormat dan harmoni sebagai temanya. Asalnya sebuah filem pendek 3 minit, ia ditukar menjadi naskhah yang lebih panjang hasil kerjasama pihak produksi. Berdurasi 94 minit dengan genre drama, kekeluargaan dan romantik, ia mengeluarkan metafora ‘pemadaman’ bendera Malaysia: jika hilang perpaduan, negara akan turut ‘lenyap’ perlahan-lahan.

ERASER adalah salah sebuah filem yang diuji hebat kerana proses penyiapannya yang berlangsung semasa kemuncak pandemik COVID-19. Namun begitu, pihak penerbit percaya, setiap kesukaran akan terbalas dengan sesuatu yang berharga kerana filem ini mampu disiapkan dan kini bersedia untuk tontonan umum.

Kata penerbit, Mandy Yap, “Kami perlu memastikan setiap warga kru berada dalam keadaan sihat dan mengamalkan SOP yang ketat supaya tiada penularan wabak berlaku di set penggambaran. Terus terang, pembikinan filem pada musim pandemik membuatkan kos bertambah; lima sehingga 10 peratus kos digunakan untuk memastikan keselamatan semua terjamin. Walau bagaimanapun, pihak kami bersyukur kerana tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang 20 hari penggambaran dijalankan.”

Memaparkan gambaran keluarga yang porak peranda namun mampu bertahan dalam menghadapi kerasnya kehidupan, ia turut menceritakan kesukaran perpaduan untuk dipupuk terutamanya jika pergeseran terus berterusan antara kaum.

ERASER membawakan kisah Ahmad, anak kepada seorang pembuat batu nisan yang berhasrat besar untuk memberikan kesenangan kepada hidup Xiao Li, seorang gadis yang diuji dengan turutan hidup yang sukar. Ahmad dan bapanya Azman dengan tangan terbuka menerima gadis itu dan ibunya Ah Yoke dalam hidup mereka dengan menyediakan tempat berteduh, namun pertolongan ini diuji lagi selepas mengetahui bahawa Xiao Li menjadi mangsa buli di sekolah.

Siapa sangka, penyertaan Xiao Li dan Ahmad dalam sebuah pertandingan seni bertemakan Wawasan 2020 mampu mengubah takdir! Kata Lee selaku pengarah filem ini, “Ia membuktikan dengan kasih sayang dan cinta, tanpa perbezaan jantina, bangsa atau agama. Sifat kemanusiaan mengatasi segalanya.”

Filem ERASER sedia ditonton di seluruh Asia Tenggara di platform Prime Video mulai 1 Jun 2023.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites