Cinta, kasih dan sayang di Revolution Stage

Tidak banyak tempat di Lembah Klang yang ada untuk kita nikmati teater-teater berbahasa Melayu. Kebanyakan sanggar yang ada mungkin menggunakan gaya 'komando' atau bahasa yang lebih mudah pementasan yang sekali-sekala. Kalau mahu persembahan yang gah sedikit mungkin boleh kita dapati di Istana Budaya. Itu pun boleh dikira dengan jari pementasannya dalam setahun. Ada satu rumah produksi teater yang kita boleh harapkan. Kecil tapi meledak dengan persembahan hampir setiap minggu. BASKL pergi menemui pemilik panggung yang diberi nama Revolution Stage ini untuk bersembang untuk mengenali mereka lebih lanjut.

Oleh AZUWAN AHMAD

Cinta, kasih dan sayang. Itu adalah ungkapan yang selalu kedengaran di rumah produksi teater Revolution Stage (RS) buat sesiapa sahaja yang pernah menyinggah menonton persembahan di sana atau pernah menimba ilmu teater organisasi kecil itu.

Kalimat inilah yang menjadi kata-kata magis buat panggung kecil ini terus bertahan mengharungi pelbagai cabaran dalam mengekalkan kewujudannya dalam komuniti teater berbahasa Melayu yang sangat kecil di tanah air kita berbanding medium Bahasa Inggeris.

Ulasan penjelasan Khairunazwan Rodzy atau mesra dipanggil Abang Wan yang merupakan pengasas RS sememangnya mengejutkan penulis. “Ia sebenarnya dari kata Bismillahirahmanirahim. Di situlah sebenarnya bermula saya meminjam kata itu dan mengamalkannya di RS, setiap satu perkara kita bermula dengan kata itu. Dengan Izin Allah,” tuturnya.

Melalui pengalaman Abang Wan belajar teater, dia merasa kaedah orang-orang terdahulu terlalu keras diselang-selikan dengan kata-kata kasar serta makian. Dia mengaku bahawa dia seorang pencinta yang sejati bukan seorang ‘fighter’. Apa yang lebih menarik adalah oleh kerana RS bermula daripada bawah dan tidak dapat menawarkan kemewahan kepada orang yang menuruti jalan dunia teater yang kecil itu, maka semuanya harus dilakukan dengan rasa sayang dan hormat yang tentu menjadi amalan warganya dalam setiap proses pembikinan sesuatu pementasan.

Revolution Stage bertumbuh baik di bawah pimpinan Abang Wan.

Seni teater dan keberadaan di pentas membawa kebahagiaan sebenar bagi Abang Wan. Itu membawanya keluar daripada Sungai Petani untuk menuntut ilmu di Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Kekagumannya terhadap budaya di ASK telah lebih lagi menjulang api semangatnya. Namron, aktor tersohor tanah air yang merupakan ayah saudaranya sendiri yang memberikan borang kemasukan kepadanya.

Suatu hal yang barangkali tidak ramai orang tahu mengenai Abang Wan adalah dia pernah bekerja sebagai penyelia gudang di Bukit Raja selepas tamat sijil diploma. Lucunya, dia hanya bertahan sebulan sahaja walaupun melakukan pekerjaan dengan baik sekali biarpun ia tidak sesuai dengan jiwanya dan dalam masa yang sama sedar bahawa teater di Malaysia belum ada industri yang mampu memberikan pulangan kepada negara.

Hasil daripada  duit gaji sebulan itu, Abang Wan telah mendaftarkan nama syarikat Revolution Stage yang telah wujud sejak zaman belajar lagi. “Pada mulanya RS bertapak di Menara Mara. Premis itu diberikan kepada kita secara percuma oleh salah seorang penonton yang terlalu teruja dengan produksi pementasan kita di awal-awal penubuhan.

Pementasan pertama kita selepas pendaftaran itu adalah Waktu: Eksperimental Merdeka yang bercerita tentang kritikan terhadap 50 tahun negara kita merdeka namun masalah atau isu yang sama tetap berlaku”. Antara pelakon terkenal tanah air sekarang yang pernah menyertai produksi RS pada waktu itu adalah Amerul Effendi dan juga Zahiril Adzim. Di premis yang pertama ini , RS telah belajar satu pengalaman yang ‘menampar’ Abang Wan, saat mereka sebagai sebuah produksi terlalu fokus mengenai pembikinan karya tanpa melihat sudut perniagaan. Itu menyebabkan ia tidak mampu bertahan dan premis tersebut diambil kembali oleh pemiliknya. Setelah 6 bulan barulah mereka menemui premis yang mereka tempati kini di Petaling Jaya. 

RS adalah satu-satunya panggung teater berbahasa Melayu di Malaysia ini yang mengadakan persembahan berbeza tanpa gagal setiap minggu. Satu hal yang lebih menarik adalah apabila anda masuk ke panggung ini, ruangnya kecil tidak segah panggung lain. Anda dapat melihat persembahan di depan mata yang mungkin beberapa jengkal dari tempat anda duduk.

Cerita Abang Wan, “Pada mulanya kami jadikan ruang ini sebagai tempat operasi pejabat dan kelas sahaja. Kami sudahpun menemui satu premis yang sesuai untuk dijadikan panggung persembahan namun pemiliknya akhirnya tidak mengizinkan kerana faktor keselamatan. Walaupun pada tahun 2014 kejayaan produksi teater Asrama-Ra All Stars yang membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Siti Saleha meledak, tahun berikutnya adalah merupakan tahun kejatuhan untuk RS. Pada ketika itu diumumkan perlaksanaan GST, ramai orang mula takut untuk mengeluarkan duit bagi aktiviti seni. Itu berlaku ketika kami sedang menjalankan produksi Sekuntum Mawar Merah lakonan Remy Ishak yang diharapkan berjaya lagi namun ia menemui kegagalan.”

Semua hal yang berlaku ketika itu bakal berubah selepas Abang Wan diilhamkan sebuah idea bijak dengan menggunakan ruang sempit premis sekarang untuk dijadikan tempat persembahan dan memanggilnya dengan nama Projek Bilik Sempit.

Ternyata hal itu membuahkan hasil sementelah pada saat artikel ini ditulis, ratusan produksi teater sudah dipersembahkan di RS. Ini adalah berkat kerja keras Abang Wan dan pasukannya yang menghubungi rumah-rumah dan kumpulan produksi teater saban minggu untuk memenuhkan jadual. Hal ini bagi RS adalah seperti sambil menyelam minum air.

Dua perkara penting yang mungkin secara tidak langsung menyelamatkan dunia teater Melayu dari mata penulis adalah pengekalan kewujudan RS dengan bayaran sewa yang diperolehi daripada yuran penggunaan premis dan yang kedua menjadikannya destinasi untuk pelajar-pelajar seni dan graduan seni teater serta persembahan untuk mengasah serta menunjukkan bakat ketika tidak banyak ruang yang dapat memberikan peluang begitu.

Kalau RS atau Abang Wan tidak diberikan perhatian sepenuhnya selepas ini, maka penulis benar-benar tidak mengerti apa lagi yang ‘mereka’ mahu? Namun, Abang Wan merasakan bahawa dia berhutang kepada masyarakat untuk memberikan persembahan yang hebat sebagai seorang graduan seni yang dilahirkan sebuah institusi seni tempatan. Dia mempunyai misi untuk membuka mata banyak orang dan menyatakan bahawa dunia teater mempunyai masa depan untuk graduan-graduan yang lain. 

Kumpulan poster sebagai ingatan terhadap ratusan persembahan yang pernah diadakan di RS

Kejayaan bagi RS dalam ingatan Abang Wan bukan dalam bentuk anugerah sahaja walaupun baru-baru ini mereka memenangi “Best Ensemble/Group Performance” di 18th BOH Cameronian Awards 2023 melalui teater Bangsawan Indie Raja Bersiong dan banyak kali dicalonkan dalam pelbagai kategori di anugerah yang sama tapi kejayaan yang sebenar adalah dapat memenuhi persembahan setiap minggu dan memenuhi ruang penonton sehingga melimpah ke luar studio. Kementerian Pelancongan juga turut memberi penghargaan kepada RS melalui Anugerah Khas Pendukung Seni baru-baru ini. 

Satu lagi perkara yang istimewa mengenai RS adalah cerita-cerita yang dipersembahkan di pentas ini adalah isu-isu yang kontemporari dan tidak seperti ramai orang di luar sana yang kenal teater hanya dengan mempersembahkan kisah-kisah tradisional atau teater bangsawan.

“Saya suka cerita-cerita lama jugak. Saya suka sistem bekerja teater bangsawan. Ratna Kadhal tulisan saya pun berlatarbelakangkan 60-an. Raja Bersiong pun bangsawan tetapi ini adalah cara dan interpretasi saya terhadap karya-karya lama,” jelasnya. Abang Wan mahu membuatkan masyarakat berfikir mengenai interpretasi cerita-cerita sejarah dari sudut berbeza dan dia mengambil contoh Wangi Jadi Saksi karya U-Wei Shaari yang mengambil kisah Hang Jebat dan Hang Tuah yang tidak bertikam di dalam istana tetapi sebenarnya melepaskan rindu dan berkasih sayang sebagai dua sahabat sejati mengaku saudara. Dia mengakui antara sebab mengapa RS sering mempersembahkan cerita-cerita kontemporari adalah untuk menarik minat orang-orang muda menonton. 

Selain daripada menjadi tempat untuk persembahan, RS menjadi lokasi untuk mempelajari ilmu teater dari segi penulisan skrip, pengarahan dan juga lakonan. Ramai juga pelakon-pelakon yang sudah masuk ke dalam industri dan menjadi terkenal selepas mendapatkan khidmat RS sebagai jurulatih lakonan sama ada secara individu atau sebelum para pelakon masuk ke dalam set telefilem, drama atau layar perak.

“Tujuan utama saya membuka kelas adalah untuk menambah peminat dan penonton teater. Yang kedua, saya ingin memberi peluang kepada mereka yang berminat dengan teater untuk terlibat biarpun pernah mendapat kekangan-kekangan tertentu sebelumnya. Banyak pelajar saya yang datang terdiri dari orang berpangkat tinggi yang duduk sebagai pensyarah atau ahli-ahli korporat. Saya berpegang kepada kepercayaan bahawa seni teater boleh ‘mengubati’ dalaman seseorang contohnya saya sendiri,” jelasnya.

Pelajar-pelajar di RS setelah beberapa tempoh berpeluang mementaskan karya mereka tidak kiralah sebagai penulis skrip, pengarah atau pelakon. “ Kita juga harus mempunyai pelapis-pelapis yang akan terus menghidupkan seni teater kerana tak mungkin kita larat untuk membuat semuanya, selama-lamanya,” tegasnya. 

Antara penghargaan untuk hasil usaha RS selama ini.

Pada tahun hadapan, RS bakal melangkah lebih jauh apabila diangkat menjadi pusat tauliah oleh SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) untuk orang ramai mendapatkan sijil rasmi dalam seni teater. “Kalau mereka mendapatkan sijil daripada RS, mereka boleh memohon langsung untuk belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),” ujarnya. Sijil ini juga laku untuk digunakan bagi mendapat pekerjaan dalam dunia seni di dalam dan luar negara kerana diiktiraf. 

RS mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada CENDANA kerana secara langsung membantu dalam pendanaan ketika kami hampir rebah ketika musim pandemik beberapa tahun yang lalu. “Ia memberi kami hidup yang baru dan kami sendiri dapat membina semula sistem bekerja. Kami mengerti yang mahu dibantu bukan hanya kami tetapi jika bantuan dana dapat diteruskan ia akan memberikan ‘sayap’ kepada kami untuk terbang lebih tinggi supaya dapat kami memberi sumbangan kepada negara. RS bukan pasukan yang main-main. Kenapa tidak diberi peluang?” mohon Abang Wan.

Harapannya, dengan segala usaha yang dilakukan ia dapat menjadikan RS sebagai model bagi anak-anak seni untuk berjaya serta tidak menjadikannya hanya sebagai hobi tetapi cita-cita. Seni penting dan tak harus dipandang enteng kerana ia dapat menyelamatkan manusia daripada menjadi robot.

Jika anda mahu mengetahui persembahan terbaru atau mahu membeli tiket mahupun bekerjasama dengan rumah produksi teater Revolution Stage, anda boleh terus melayari laman web mereka di revolutionstage.com atau di laman media sosial mereka, Instagram RS. Anda juga boleh terus menghubungi Abang Wan di talian 019-6031262.

Ikuti artikel-artikel lain yang menarik di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites